1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

KENYATAAN MEDIA: Isu Penghapusan Etnik Ke Atas Masyarakat Rohingya Di Myanmar

Untuk Siaran Segera,
25 November 2016

HALUAN terpanggil untuk menyeru seluruh masyarakat madani Malaysia untuk bangkit menentang kekejaman junta tentera dan pasukan sivil di Myanmar yang sedang mengganas membunuh dan menghapuskan etnik Rohingya di dalam negara mereka sendiri.

Permasalahan peminggiran serta usaha pengusiran masyarakat minoriti Muslim keturunan Rohingya sejak lebih 50 tahun ini semakin menjadi kejam dan tragis sejak awal Oktober 2016 di mana penduduk Rohingya khasnya di Maungdaw bahagian utara negeri Arakan sekali lagi dizalimi oleh pihak kerajaan dan masyarakat awamnya yang beragama Buddha. Mereka menderitai penindasan dan keganasan yang paling tragis yang dilakukan tanpa rasa perikemanusiaan oleh pihak tentera Myanmar dan kelompok pengganas Buddha.

Mangsa kepung, disiksa, dibunuh, dipenggal kepala, dikelar, dicincang, dibakar hidup-hidup dalam unggun api, dirogol, diusir dan rumah serta ladang mereka dibakar hangus. Semua ini berlaku dengan restu pemerintahan junta tentera Myanmar sendiri. Aksi genosid terbuka (open genocide) sebegini tidak terfikir boleh berlaku di abad ini namun masyarakat antarabangsa masih terpanggu dengan kekejaman yang sedang berlaku di depan mata.

Lebih sedih lagi, masyarakat majoriti bergelar penganut Buddha itu telah membakar dan menginjak ribuan naskah kitab suci Al- Quran. Menurut organisasi NGO Rohingya, junta tentera Myanmar sekarang mempunyai perancangan penghapusan etnik tersusun terhadap umat Islam Rohingya dengan agenda pembunuhan berterusan, menghalau mereka beramai-ramai keluar dari wilayah Arakan, penahanan suspek “teroris” dalam kem dan deportasi massa ke negara ketiga secara paksa.

Terdapat juga bukti yang jelas kelompok pengganas sami Buddha yang disangkakan jenis damai dan takut dengan tuhan, kini sentiasa dahagakan darah umat Islam Rohingya. Mereka berperanan besar mempengaruhi pihak kerajaan dan tentera untuk mengikut telunjuk mereka melakukan pembunuhan kejam di sana.

Lebih parah lagi, dalam masa dua minggu mutakhir ini, lebih ramai penduduk Rohingya termasuk wanita dan kanak-kanak dibunuh dengan senjata berat seperti pelancar roket daripada helikopter dan juga tembakan daripada kapal tentera laut. Lebih kurang 50,000 kaum Rohingya telah kehilangan tempat tinggal, manakala ribuan juga yang cedera parah tanpa dapat dicapai oleh pasukan perubatan dan kemanusiaan akibat sekatan junta.

Seperti biasa, pihak tentera kerajaan menafikan keganasan mereka, malahan mereka menuduh pula penduduk Rohingya yang memulakan keganasan dan membakar rumah mereka sendiri untuk menarik perhatian dan simpati masyarakat dunia. Pembohongan berterusan ini perlu dihentikan dan didedahkan kepada masyarakat dunia.

Dengan puluhan peristiwa keganasan yang seumpama itu sejak 2012 ke atas masyarakat Rohingya, masyarakat antarabangsa khasnya organisasi PBB, OIC dan ASEAN masih gagal untuk bertindak tegas ke atas kerajaan Myanmar. Tiada dutanya dipanggil untuk menyatakan protes rasmi oleh pihak kerajaan. Perbuatan kerajaan Myanmar itu dengan jelas dan sengaja melakukan perlanggaran undang-undang antarabangsa dan Charter Bangsa-bangsa Bersatu yang melindungi hak rakyat awam termasuklah pencegahan kekejaman ganas serta pembunuhan secara sistematik.

Bersama NGO-NGO antarabangsa yang sentiasa prihatin mengenai isu Rohingya, Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN) dengan ini MENGUTUK SEKERAS-KERASNYA apa yang dicetuskan ke atas masyarakat Rohingya di Arakan. Kami MENDESAK agar badan-badan antarabangsa PBB khasnya Kaunsel Keselamatan Antarabangsa agar meluluskan resolusi-resolusi berikut bagi menyelamatkan masyarakat Rohingya di Arakan daripada terus ditindas secara berterusan.

1. Menyegerakan tindakan menghentikan pelbagai kekejaman ganas ke atas Rohingya dan masyarakat awam di Arakan.

2. Menghentikan penahanan dan pelabelan masyarakat Rohingya sebagai teroris tanpa bukti yang nyata.

3. Membuka pintu kepada pasukan media antarabangsa membuat liputan di kawasan konflik tanpa sekatan.

4. Membenarkan pasukan perubatan dan bantuan kemanusiaan antarabangsa untuk memasuki zon bencana untuk berkhidmat demi mangsa.

5. Menubuhkan segera Badan Penyiasat Bebas di bawah kawalselia PBB untuk menyiasat keganasan dan kekejaman yang dilakukan terhadap masyarakat Rohingya.

Peranan HALUAN

HALUAN sejak 2012 telah berkerjasama dengan beberapa buah NGO Kemanusiaan lokal dan antarabangsa untuk menyantuni mangsa dengan memberikan bantuan kemanusiaan kepada kaum Rohingya di Arakan dan juga pelarian Rohingya di Malaysia. HALUAN akan bersama menjayakan Food Flotilla For Rohingya seperti yang dirancang oleh gabungan NGO Malaysia.

Di dalam negara, HALUAN telah menyalurkan bantuan kebajikan kepada lebih 250 individu dan keluarga pelarian Rohingya yang baru tiba di sekitar Lembah Kelang serta di negeri Kedah. Fokus HALUAN seterusnya ialah memberikan pendidikan tersusun kepada anak-anak Rohingya di Malaysia di peringkat pendidikan menengah dan latihan kemahiran.

Untuk maklumat tambahan, sila hubungi:
Dr. Baharudin Suri, Ketua Biro Misi Kemanusiaan
+60197559169
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.

Untuk sumbangan kewangan membantu mangsa, sila guna akaun:
Tabung Kebajikan dan Kemanusiaan HALUAN
Maybank
5622 6350 2611

##