1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

Kepedulian Nasib Pelarian Rohingya

PENAGA, SEBERANG PRAI, 3 Okt 2017 -- Program Kepedulian Nasib Pelarian Rohingya anjuran beberapa pihak NGO dan masjid di sini mendapat perhatian ramai masyarakat setempat.

Ia telah diadakan di Masjid AtMutaqqin Bakau Tua, Penaga pada 3 November lepas dibawah projek Sinar4Rohingya. Ia anjuran bersama kariah masjid dan beberapa NGO kemanusiaan seperti HALUAN, MAPIM, Yayasan Amal dan juga akhbar Sinar Harian kawasan Utara. Di antara aktiviti yang telah diadakan adalah pameran statik aktiviti kemanusiaan, pemeriksaan kesihatan, serta bacaan khutbah Jumaat dan Qunut Nazilah bagi mendoakan kemenangan ummat Islam yang di zalimi.

Dalam khutbah Jumaat yang disampaikan, Ust. Faizal Hussin telah memperingatkan jamaah akan kepentingan setiap orang Islam agar mengambil peduli semampu yang mungkin akan kesengsaraan umat Islam khasnya etnik Rohingya kerana ia adalah salah satu perintah Allah SWT. Tambah beliau lagi, kita boleh membantu mereka yang dizalimi dan ditindas dengan iringan doa dan sumbangan wang ringgit melalui NGO yang aktif membantu.

Setelah selesai solat Jumaat, satu demonstrasi telah diadakan oleh ahli-ahli qariah Masjid AtMutaqqin untuk membuktikan keprihatinan jamaah terhadap penindasan oleh junta tentera Myanmar ke atas umat Islam Rohingya. Beberapa ucapan menyatakan sokongan kepada etnik Rohingya telah di sampaikan oleh wakil-wakil MAPIM, HALUAN dan Pengerusi jawatankuasa masjid berkenaan.

Pada sebelah malamnya pula, satu Forum Perdana yang menyentuh isu Rohingya telah diadakan. Forum yang dipengerusikan oleh Encik Abd Halim Khudri dari HALUAN cawangan Pulau Pinang itu telah membariskan ahli-ahli panel yang terdiri daripada Ustaz Tarmizi Sulaiman mewakili MAPIM, Encik Bashir Abd Ghani daripada HALUAN dan Encik Salleh Farmin daripada Yayasan AMAL.

Ustaz Tarmizi telah mengupas sejarah etnik Rohingya yang merupakan penduduk asal wilayah Arakan dan peranan penjajahan Britain yang telah melaksanakan kaedah pecah dan perintah. Tindakan penjajah tersebut telah melemahkan kekuatan umat Islam Rohingya yang telah mula bertapak sejak abad ke 8. Beliau menegaskan kepada hadirin bahawa pelarian Rohingya perlulah di panggil muhajirin. Mereka terpaksa berhijrah demi menyelamatkan akidah, manakala kita di Malaysia perlulah bertindak sebagai golongan ansar membantu mereka.

Abd Bashir, seorang aktivis kemanusiaan yang banyak pengalaman pula menceritakan tentang aktiviti-aktiviti kemanusiaan yang telah dilaksanakan oleh HALUAN dan pelbagai NGO untuk meringankan beban penderitaan dan kesusahan pelarian-pelarian Rohingya di beberapa kem di Cox's Bazar dan Teknaf, Bangladesh. Menurut beliau, di antara aktiviti yang dijalankan ialah pembinaan tangga simen, pembinaan masjid, madrasah, khemah kediaman, tandas, telaga tiub (tubewell) di samping pengagihan makanan dan kit penjagaan kebersihan (hygiene kits). Di bawah projek Sinar4Rohingya, sebuah penempatan pelarian yang di namakan sebagai 'ASEAN Village' sedang diujudkan di kem Balukhali, Ukhiya, Cox's Bazar. Penempatan berpusat untuk puluhan ribu pelarian ini adalah gabungan usaha kerja dan sumbangan dana daripada beberapa NGO negara Asean seperti Malaysia, Indonesia, Thailand dan lain-lain.

Salleh Farmin pula telah memberikan pencerahan bahawa sumber dana untuk NGO kemanusiaan menjalankan aktiviti di kem pelarian adalah daripada kocek relawan sendiri dan juga sumbangan orang ramai. Beliau memberikan senario di mana sekiranya semua rakyat Malaysia boleh menyumbang RM1 setiap hari untuk setahun, kita boleh mengutip sumbangan sebanyak RM9.8 billion setahun untuk misi kemanusiaan.

Para hadirin telah dipertontonkan satu persembahan nasyid oleh Kumpulan Nasyid Al-Mizwar dan Ustaz Suhaizi Al-Madadi. Sebelum majlis bersurai, pengerusi kariah Masjid Bakau Tua telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM1,553 kepada Encik Amin yang mewakili Akhbar Sinar Harian untuk Tabung Sinar4Rohingya. Ia merupakan hasil kutipan semasa program berlangsung dan juga termasuk sumbangan tambahan daripada kariah Masjid RantaĆ¹ Panjang.

--
Laporan Fatin Athirah Abdul Sani, Setiausaha Kerja, Biro Misi Kemanusiaan

Dari kiri Encik Abd Halim, Encik Bashir Abd Ghani, Ustaz Tarmizi dan Encik Salleh Farmin

Khutbah Jumaat juga berkaitan umat Islam Rohingya

Ahli-ahli qariah yang hadir untuk membuktikan keprihatinan jamaah terhadap penindasan oleh junta tentera Myanmar ke atas umat Islam Rohingya.

Demonstrasi oleh ahli-ahli qariah