1. Skip to Menu
  2. Skip to Content
  3. Skip to Footer

Ikuti HALUAN di:

FacebookTwitterYoutubeLinkedinFlickr

HALUAN Sertai Majlis Persidangan NGO-i (MAIS)

SHAH ALAM, 16 Nov 2017 - HALUAN telah menyertai barisan NGO-NGO lain di Majlis Persidangan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan Negeri Selangor yang diadakan di sini semalam. Program tersebut adalah anjuran Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan kerjasama Lembaga Zakat Selangor dan Yayasan Islam Darul Ehsan.

Majlis persidangan itu dimulakan dengan slot "Peranan NGO Islam Dalam Membangunkan Ummah Menurut Maqasid Syariah" yang disampaikan oleh Timbalan Mufti di Jabatan Mufti Negeri Selangor, Sahibus Samahah Dr. Anhar Opir. Slot yang kedua bertajuk "Isu Ancaman Keselamatan Negara" telah disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah, Counter Terrorism, Cawangan Khas (E8), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay. Beliau memberi satu garis panduan keselamatan dalam melaksanakan segala program yang dirancang oleh NGO Islam. Beliau menerangkan bahawa ujud kumpulan-kumpulan tertentu yang bertindak tanpa ilmu dan kefahaman yang jelas sehingga menghukum dengan cara yang salah.

Kemudian, peserta didedahkan pula dengan realiti yang terjadi kepada etnik Rohingya (Burma) yang sengaja dibatalkan taraf kewarganegaraan mereka. Slot ini diisikan oleh Timbalan Setiausaha Agung Union of NGO of the Islamic World (UNIW), Encik Ahmad Azam Ab Rahman. Majlis diakhiri dengan perasmian penutupan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa yang juga menyerahkan sumbangan kepada NGO-NGO Islam yang berdaftar di bawah payung MAIS.

HALUAN cawangan Selangor yang diwakili oleh Timbalan YDP, Encik Hamdan Mokhtar telah berbesar hati menerima sumbangan sebanyak RM15,000 daripada MAIS sebagai bantuan kewangan tambahan dalam melaksanakan program-programnya.

--
Laporan Ummu Ilyani Rusli HALUAN cawangan Selangor