Rupanya kalau dah miskin, manusia itu sama saja. Tidak kira Melayu, Cina atau India, kehimpitan hidup akan menimbalkan manusia kepada suatu tahap watak yang hampir sama. Diam, teleku dan menanti ehsan orang lain, tidak kiralah daripada siapa yang sudi menghulurkan bantuan.
Inilah pengalaman penuh keinsafan pasukan Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) semasa melakukan pemeriksaan kesihatan percuma ke atas warga Sekolah Rendah Kebangsaan Jenis (Tamil), Kampung Bangi Lama di Selangor. Walaupun khidmat ini sudah beberapa bulan yang lepas, namun pengalaman kali pertama memasuki kelompok 100% masyarakat bukan Islam sentiasa menggamit memori kami dari masa ke semasa sehinggalah dirasakan bahawa pengalaman Mei 2009 itu harus dikongsikan dengan pembaca laman web ini.
Riak wajah ibubapa serta datuk nenek pelajar yang datang mendapatkan pemeriksaan percuma itu sungguh menginsafkan kami selama lebih 3 jam bersama mereka hari Jumaat itu. Airmuka mereka yang jernih meletakkan sepenuh pengharapan sambil sabar menantikan giliran tidak ubah seperti wajah ratusan makcik-pakcik Melayu yang pernah kami rawati sebelum ini. Cuma yang membezakan, mereka adalah orang-orang India beragama Hindu kesemuanya.
Paling tua di kalangan mereka seorang nenek berusia 72 tahun. Cucunya bersekolah di situ, mungkin juga anaknya suatu masa dulu. Dia tidak kenal siapa KKH dan baginya kami kelihatan seperti perawat daripada Jabatan Kesihatan. Dia tidak tahu apa itu NGO, siapa yang menjemput kami, ataupun adakah kami bermotifkan sesuatu dengan kedatangan itu. Yang dia tahu, ada sekumpulan orang yang akan memberikan perkhidmatan secara percuma. Nak ke klinik swasta di pekan sederet itupun berbayar; inilah peluang baik untuk mengintai apa yang kami tawarkan.
Masyarakat pinggir bandar yang suatu masa dahulu merupakan pekerja di ladang sawit yang amat luas kini terubah psikografi dan mata pencarian mereka dek himpitan pemodenan. Ladang turun-menurun tempat mereka mencari rezeki kini semakin dimamah pembangunan jalanraya, kilang dan taman perumahan baru. Ini mengakibatkan ramai penduduknya bertukar profesion daripada bekerja di ladang kepada kerja lain seperti menjadi pemandu lori, bas, dan teksi, pekerja kilang, peniaga makanan dan lain-lain. Semakin kurang yang bekerja di ladang.
Bukanlah KKH yang menganjurkan pertemuan itu tetapi Persatuan Mahasiswa Jabatan Dakwah dan Pengurusan Kolej Ugama Islam Selangor (KUIS) sebagai penganjur utama. Di samping KKH, rombongan disertai juga oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) melalui Unit Dakwah Globalnya. Objektif penganjur adalah mendekati masyarakat India berhampiran kampus dan mengajar pelajar-pelajarnya berbakti kepada masyarakat tidak kira kaum ataupun agama. Objektif murni ini dilengkapi dengan kehadiran KKH selaku NGO yang menghulurkan pemeriksaan kesihatan percuma kepada ibubapa dan guru-guru sekolah berdinding papan itu. Turut sama di dalam rombongan itu adalah wakil Kelab HALUAN Fitrah yang cuba berbahasa Tamil sepatah dua bagi menceriakan suasana.
Aktiviti utama rombongan itu adalah penajaan penuh Temasya Sukan Tahunan 2009 murid sekolah rendah di mana segala hadiah, penyewaan bahan dan makan-minum disediakan dengan percuma. KUIS diberikan penghormatan memberikan pengucapan utama diikuti MAIS dan KKH.
Bagi Ustaz Syarul Azman Shaharuddin selaku Ketua Jabatan Dakwah KUIS, itulah kali pertama dalam sejarah KUIS memasuki gelanggang bukan Islam dengan aktiviti penajaan seperti itu yang turut dibantu oleh pihak MAIS. Pamitan pengalaman manis itu juga disetujui oleh Ustaz Mohd Makhi Adnan, Ketua UDG MAIS yang turut hadir.
KKH yang diketuai oleh pengerusinya, Dr Basir Towil, membuat pemeriksaan ke atas 65 warga sekolah rendah Tamil itu. Rombongan KKH disertai oleh lima orang doktor dan lapan relawan pembantu. Penolong Guru Besar sekolah tersebut melahirkan rasa terharu mereka kerana kesudian orang-orang Islam datang memberikan perkhidmatan percuma dan penajaan kepada mereka. UDG-MAIS yang turut disertai beberapa orang petugas bangsa India yang petah berkomunikasi mengunjungi tiga buah keluarga miskin berdekatan dan menyampaikan hadiah hamper dan kata-kata perangsang kepada mereka. KUIS pula berjanji yang aktiviti itu akan disusuli dengan lawatan di masa depan dengan program seperti bimbingan UPSR dan kebajikan ibubapa.
Bagi KKH, pengalaman kemanusiaan itu sebuah episod kehidupan yang mengajar kami erti ketulusan hati dan keluhuran budi dalam menyusuri jalan dakwah yang tanpa sempadan ini.
Kepulangan konvoi kami dilambai dengan senyuman luhur guru-guru dan murid sekolah itu. Kami menanti peluang untuk kembali ke sana lagi. Rumber naandri.










