“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Yang menguasai pemerintahan hari pembalasan. Engkaulah sahaja ya Allah yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat.” (QS Al-Fatihah)
Puteri-puteri Islam Sejati!
Perjalanan hidup ini sering disifatkan umpama putaran roda, adakalanya laju adakalanya perlahan. Ada masa di atas, ada masanya di bawah. Kelancaran perjalanan juga akan terganggu bilamana roda sudah mulai buruk dan botak. Begitu juga dengan hakikat hidup sebenar, sering ketenangan terganggu dan kebuntuan menguasai akal. Ini ketara bilamana ketebalan iman menipis dan taqwa terhakis. Kesannya bagaimana?...Terasa lesu dan kurang bersemangat untuk melaksanakan tanggungjawab dan amal soleh.
Bagaimana untuk memulihkan gejala demikian?
Puteri-puteriku yang dikasihi dengan kasih-sayang Islam,
Berbagai jawapan muncul untuk soalan sebegitu, antaranya;
- kembali kepada Allah
- berhubung kepada Allah
- mengenali Allah
- mencintai Allah.
Secara tepat, kesemua jawapan tersebut perlu digabungkan supaya kelihatan sempurna;
Kembali mengenali Allah dengan sebenarnya, supaya terbit kecintaan mutlak kepadaNya yang mendorong hati untuk sentiasa berhubung dengan Allah.
Bilamana keadaan ini menguasai diri kita, semangat akan segar untuk melaksanakan amal-amal soleh. Dengan itu banyak bekalan baru mengisi sepanjang jalan kehidupan.
Sekarang, bagaimana cara paling praktikal untuk kita mulakan langkah mengenali Allah (makrifatullah)?
Sebaik-baik bekalan dalam makrifatullah dapat diperolehi dengan cara bertafakkur dan merenungi bukti-bukti kebesaran Allah dalam penciptaan alam dan semua isinya.
Ini bertepatan dengan firman Allah dalam surah Ali-Imran, ayat 190-191:
“Sesungguhnya di dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal. Iaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata; Ya Tuhan kami! Tiadalah Engkau ciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.”
Puteri-puteri Harapan!
Setiap kejadian di alam ini memaparkan tanda-tanda kekuasaan dan keagungan Allah yang juga membuktikan Allah itu Maha Esa. Memikirkan tentang tanda-tanda kekuasaan Allah di alam ini memang satu perkara yang penting bagi setiap muslim. Dengannya akan menambah iman dan taqwa. Setiap kali kita membuat pemerhatian dan penelitian, akan kita temui perkara yang baru dan menakjubkan. Sungguh unik dan sempurna, tanpa ditemui sebarang kecacatan. Akhirnya kita akan kembali ke dalam diri dengan perasaan tunduk dan patuh serta menyedari kita sangat memerlukan pergantungan dengan Allah.
Anak-anakku,
Mari kita mulai penjelajahan akal, fikiran, ilmu dan pancaindera…semoga dengannya kita akan lebih mengenali Allah yang bersifat Maha Berkuasa.
Bukalah pandangan kita ke alam yang luas…
1. Apabila mendongak ke langit, tersingkap rahsia cekerawala;
Telah kita ketahui di angkasa lepas terdapat bintang-bintang dan planet-planet yang tidak terbilang jumlahnya. Sangat besar dan tidak terukur jarak antara satu sama lain. Semuanya beredar di orbit masing-masing dengan teratur dan tidak berlanggar. Kebanyakkan bintang-bintang itu jaraknya dari kita beratus juta tahun cahaya. Hanya dengan mengetahui saiznya, kelajuannya dan jaraknya kita sudahi terasa akan lemahnya akal dan kerdilnya diri kita… Allahu akhbar!
2. Apabila melemparkan pandangan kepada bumi, terbentanglah hamparan kehidupan yang luas merangkumi;
Alam haiwan – satu kingdom yang sangat luas, di udara, di lautan dan di daratan. Tidak terbilang jenis binatangnya, berbagai bentuk dan rupa. Tabiat, makanan dan cara membiak bersesuaian dengan habitatnya. Ahli kaji haiwan sentiasa menemui sesuatu yang baru, yang menjadi bukti Maha Bijaksana penciptanya. Terserlah hikmahnya, apabila diteliti.
Alam tumbuhan – terpampang keunikan luarbiasa yang membuktikan kebesaran kuasa Allah. Apabila dikaji setiap biji benih, padanya telah ditentukan ciri-ciri khususnya yang membezakan antara satu sama lain, pada daun, buah, warna, rasa dan baunya. Juga berbeza masa dan tempat pertumbuhan. Kajian demi kajian dijalankan, walaupun hanya pada sebiji benih, manusia tidak mampu meletakkan nyawa. Walau disiram dan dibaja, keupayaan untuk tumbuh bagi biji benih terletak pada kekuasaan mutlak Allah.
3. Apabila merenungi kerapian penciptaan diri manusia, dan kita perhatikan bagaimana Allah mengatur sistem hayat…
- dari dalam kandungan, beransur membesar dan mencapai kedewasaan hingga menjadi tua dan kembali lemah.
- diberi tubuh dan wajah, disertai organ-organ dan fungsinya yang tertentu.
Semua sistem yang Allah susun, sifatnya semua seragam dalam mematuhi Allah, sentiasa berperanan menepati sunatullah. Ini juga menunjukkan bukti kekuasaan dan keagungan Allah.
Begitulah Puteri-puteri Islam Sejati!,
Betapa pun kesungguhan manusia menyingkap rahsia ciptaan-ciptaan Allah, tetap masih banyak yang belum diketahui. Segala hasil ujikaji dan hasil penemuan saintis dan ilmuan telah menunjukkan sifat-sifat kesempurnaan Allah. Adalah penting untuk kita hubungkan keupayaan ilmu dengan makrifatullah supaya manusia terdorong kepada iman dan taqwa.
Juga dengan mengaitkan kepada ayat-ayat Allah akan lebih jelas keyakinan kita terhadap kekuasaan Allah. Jiwa akan dipenuhi taqwa dan disirami cahaya iman. Akan mudahlah melaksanakan peranan dan tanggungjawab sebagai khalifah Allah juga mampu beramal soleh. Dengan itu bekalan sepanjang hayat bertambah, dan semangat ubudiyah segar semula!.
Wallahu’alam.
Ummu Anas










