Tanggal 16 April 2005, berangkat Tim MKA14 (Misi Kemanusiaan Aceh) meninggalkan bumi Malaysia, meneruskan perjuangan relawan HALUAN sebelumnya, menuju Nanggroe Acheh Darussalam (NAD).
Aku tinggalkan suami serta enam orang anak tercinta untuk meneruskan kehidupan masing-masing. Aku tahu, aku dan rakan-rakan diiringi doa restu mereka. Aku juga mendoakan agar suamiku tabah menghadapi karenah anak-anakku serta di permudahkan Allah segala urusannya.
Desa Suak Timah. Itulah nama penempatan baruku di Meulaboh. Tenda (khemah) putih di padang stadium yang menyembah bumi akibat tsunami, menjadi rumah sementaraku bersama saudari Ezura. Telah sedia enam saudari relawan dari Medan menginap di situ. Tiada kemudahan langsung di tenda itu, namun kami senang dengannya. Medan membina diri terbaik buat kami. Moga Allah mempermudahkan segalanya.
Guru-guru SD (Sekolah Dasar) dan MIN (Madrasah Ibtida’iyah Negeri) Suak Timah begitu gigih menangani persekolahan pelajar. Perjuangan mereka demi anak-anak Suak Timah tidak pernah luntur. Berbumbungkan kain tenda dan berlantaikan hamparan plastik biru, itulah sekolahnya. Anak-anak duduk bersila di hamparan plastik biru menghadap papan hitam yang usang. Di kala hujan di waktu malam, hamparan tempat duduk basah dan kotor, anak-anak terpaksa duduk di meja tulis yang juga basah dek hujan sebelumnya. Begitu daif keadaannya.
“Biarlah kami susah sekarang, Bu. Kami mahu anak-anak kami terbela nasibnya serta terjamin masa hadapannya,” ujar Ibu Rashidah, seorang guru di situ.
Antara jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari, aku dan Ezura mengajar di SD dan MIN. Itulah rutin kami di Suak Timah. Menjadi ‘bidan terjun’ menampung kekurangan guru di situ.
Anak-anak Suak Timah berani mencuba walaupun tahu diri tidak seberapa, dan serba kekurangan. “Saya mahu baca Ummi Noor! Saya mahu baca!,” berebut-rebut mempelawa diri untuk membaca buku di hadapan mereka.
“OK, Ummi Noor mahu Decky membaca dulu. Anak-anak Ummi yang lain dengar hati-hati, ya,” pintaku pada anak-anak.
“Bismillahhirrahmanirrahim……,” mula Decky dan seterusnya lancar membaca bukunya.
Itulah kelebihan anak-anak Suak Timah. Baik pelajaran apa yang dibaca (Bahasa Indonesia, Inggeris, Sains dan sebagainya), dimulakan bacaan dengan ucapan ‘Bismillahhirrahmannirrahim’. Anak-anak kita di Malaysia bagaimana?
Desa Cot Darat
Antara jam 2.00 petang hingga 3.50 petang, aku dan Ezura ke Desa Cot Darat. Ta’alim dengan anak-anak di sana. Kami menaiki van ke Cot Darat lebih kurang 2 km dari Suak Timah.. Jika tiada van, kami membonceng motosikal yang dipandu saudari Medan. Seorang demi seorang dihantar ke Masjid Cot Darat.
Anak-anak Cot Darat bersemangat tinggi, walaupun ada yang yatim piatu. Setiap kali kami menyentuh topik berkaitan nasyid yang telah mereka pelajari sebelumnya, pasti ada yang memulakan nyanyian. Spontan disambut anak-anak yang lainnya. Berkumandang satu masjid dengan nasyid jihad laungan anak-anak itu. Penduduk kampung hanya memandang dan tersenyum.
Allah Bersama Kami
Perjalanan pulang ke Suak Timah dari Cot Darat adalah masa terbaikku dan Ezura untuk meluahkan rasa hati dan menginsafi kekerdilan diri. Betapa kebesaran Allah mengatasi segalanya. Di kiri kanan jalan, kesan kemusnahan akibat tsunami hari itu masih belum dibersihkan sepenuhnya. Dicelah-celah bongkahan pokok yang tumbang, berdiri rapuh pondok-pondok papan penduduk Cot Darat. Sawah ladang yang terbentang luas sebelum ini, kini menjadi lopak (tasik) air masin di belakang pondok.
Bahang mentari yang terik sewaktu dalam perjalanan tidak dirasai. Tidak terasa keletihannya. Subhanallah… Allah mengutuskan angin laut yang menghembus lembut mengiringi langkah kami. Sesungguhnya, tanah, air, api dan angin adalah tentera Allah yang sentiasa tunduk dan patuh pada arahan untuk melaksanakan tugas.
Sepanjang perjalanan, kami saling bertanya khabar pada ibu-ibu yang ditemui. Gembira mereka dengan sapaa itu.
Sampai di jalan Suak Timah, Doktor yang bertugas di kawasan itu kelihatan sedang berehat di poskonya, menanti kedatangan pesakit. Kami terus berjalan dari satu tenda ke tenda yang lain melawat ibu-ibu. Walau keperitan terpapar diwajah, namun mereka tetap mengukir senyuman.
Tiba di tenda penginapan, aku melihat Doktor tadi sedang menjamah makanan yang tersedia. Ternyata dia kelaparan.
“Pak Dokter! Tadi saya nampak Pak Dokter di posko jauh sana, lagi istirehat. Bagemana tiba-tiba berada di sini, enak-enak makan lagi?” tegur ku.
“Oh, Ibu! Jemput makan ! Sebenarnya saya ikut jalan pintas, Bu! Jalannya di sana, di belakang tenda itu,” kata Pak Dokter sambil menunjukkan jalan pintas yang dimaksudkan.
Aku dan Ezura tidak ditemukan Allah dengan jalan pintas itu agar kami meneruskan perjalanan dan menemui lebih banyak tenda-tenda yang menjadi penempatan ibu-ibu malang Suak Timah. Dahulunya Desa Suak Timah adalah sebuah Desa Contoh di Meulaboh. Ada masjid, sekolah dan Madrasah, Balai Polis, stadium dan sebagainya. Namun kini, semua itu berada dalam lipatan sejarah Meulaboh. Kemusnahan total berlaku di Suak Timah. Tidak ada satu bangunan pun yang tinggal termasuk masjid dan surau.
Tazkirah
Antara Magrib dan Insya’, aku dan saudari Ezura mengadakan tazkirah informal, sesi dialog dan kaunselling dengan ibu-ibu dan anak remaja puteri.
“Bu, di Suak Timah memang ramai anak-anak yatim,” keluh seorang ibu pertengahan umur.
“Tapi tahukah ibu, sebenarnya kami juga ‘anak yatim’, Bu? Kami kehilangan ulama’-ulama’ kami. Kami kehilangan orang yang mengajar ilmu kepada kami. Kami kehilangan kitab-kitab kami. Kami kehilangan segala-galanya , Bu. Kami sebenarnya adalah juga anak-anak yatim,” luah hati ibu tadi.
“Ya, ibu merasa ibu kehilangan segala-galanya, tapi ibu perlu ingat, ibu masih mempunyai Allah di sisi. Ibu masih mempunyai anak yang akan menemani ibu. Ilmu Allah sebenarnya ada di mana-mana, Bu. Alam yang terbentang luas ini adalah ilmuNya bagi mereka yang mahu berfikir…….,” jelas ku lanjut.
‘Ilmu juga perlu selalu dicari. Selalu datang ke masjid, ya, Bu. InsyaAllah, pasti akan ada pengisian ilmu di masjid walaupun sedikit,” kataku.
“Di samping itu, kita perlu saling ingat mengingati antara satu sama lain tidak kira di mana saja kita berada, di samping sentiasa mengingati Allah. InsyAllah, dengan selalu mengingati Allah, jiwa akan menjadi tenang. Ibu bernasib baik kerana diberi peluang oleh Allah untuk terus hidup. Diberi peluang untuk bertaubat dan mengambil iktibar dari musibah yang berlaku,” bujukku lagi sambil memerhati ibu tadi tunduk mengesat air mata yang mengalir tanpa disedari.
“Saya terpikir,ya, Bu, siapa yang akan memandikan kami dan menguruskan mayit kami kalau kami mati nanti?” sampuk seorang ibu tua.
“Orang yang menguruskan mayit sudah tiada lagi di Suak Timah. Sudah jadi korban. Saya tidak tahu bagemana mati saya nanti? Bolehkah saya menyebut nama Tuhan?” perlahan pertanyaannya.
“Ibu, urusan mati kita adalah ditangan Allah. Ibu usah risaukan perkara itu. Pasti akan diutuskanNya seseorang yang akan menguruskan jenazah kita. Apa yang perlu kita risaukan sekarang adalah amalan kita. Sempurnakah amalanku? Adakah amalanku hari ini lebih baik dari semalam? Adakah Allah menerima amalanku selama ini? Adakah kita sentiasa mengharapkan agar doa kita dimakbulkan? Adakah kita sentiasa mengharapkan Rahmat Allah? Amalan yang banyak sekalipun tidak menjamin orang itu masuk syurga tanpa Rahmat dari Allah. Sentiasalah kita memperbaiki amalan kita. Sesungguhnya Rahmat Allah itu dekat dengan orang yang sentiasa memperbaiki amalannya”.
“Allah Terimakah taubatku? Selalukah kita menginsafi diri dan bertaubat, Bu? Hendaklah selalu kita bertaubat kepada Allah. Rasullullah SAW yang maksum dan tidak berdosa itu bertaubat 70 kali satu hari. Kita pula bagemana?”, jelasku lagi.
“Ibu bertanyakan sama ada Ibu akan mampu atau tidak untuk menyebut nama Allah nanti. Bagemana kita dapat melembutkan lidah kita bagi melancarkan ucapan dua kalimah syahadah di akhir hayat kita? Ada orang yang kelu lidah untuk mengucap pada akhir hayatnya san ada yang lancar mengucapkannya.”
“InsyaAllah, untuk mendapatkan lidah yang lancar mengucapkan dua kalimah syahadah di akhir hayat, jadikanlah bacaan al-Quran itu amalan seharian. Lembutkanlah lidah kita dengan ayat-ayat suci al-Quran. Di samping itu, hendaklah kita sentiasa berdiam diri ketika azan berkumandang. Berhenti bercakap dan jawablah azan itu. InsyaAllah, Allah akan memudahkan kita mengucap kalimah suci itu nanti”.
Kebetulan waktu solat Insya’ telah tiba dan azan Insya’ dilaungkan. Aku mengingatkan ibu-ibu tadi agar menjawab azan. Biasanya programku dan Ezura serta ibu-ibu akan bersambung selepas solat Insya’. Kami akan bersurai apabila kedengaran rintik-rintik hujan menimpa bumbung zink masjid Suak Timah. Walaupun aku dan Ezura mempunyai baju hujan dalam backpack masing-masing, kami tidak memakainya.
“Biarlah kita basah bersama ibu-ibu ini”, bisik Ezura kepadaku.
Biasanya hujan akan turun dengan lebatnya apabila kami sampai ke tenda penginapan. Tetapi pada satu malam, hujan turun lebat sewaktu kami dalam perjalanan pulang. Sampai di tenda, basah kuyup!!
Lambaian Perpisahan
Tanggal 12 Rabi’ul Awal 1426 Hijrah bersamaan 21 April 2005 Masihi. Malam itu diadakan Majlis Maulidur Rasul di masjid Suak Timah. Setiap tenda mewakili satu famili dan dikehendaki menyediakan lima bungkus nasi untuk jamuan hadirin. Subhanallah, murahnya rezeki yang Allah turunkan pada malam itu. Beg-beg plastik berisi nasi bungkus memenuhi ruang tepi masjid.
Selesai majlis, satu bungkus nasi diberi kepada setiap yang hadir. Aku dan Ezura mendapat satu beg plastik berisi nasi bungkus! Sesungguhnya, rezeki itu datang dari Allah.
Pada malam itu juga, Tim Medic HALUAN menjemput kami pulang ke Meulaboh. Kami terkejut. Kami menjangka akan dijemput pagi esoknya, seperti dijadualkan. Rasanya baru sekejap saja kami bersama ibu-ibu dan remaja puteri Suak Timah. Banyak lagi perkara yang perlu dibicarakan. Kita merancang dan Allah juga merancang dan sesungguhnya perancangan Allah adalah perancangan terbaik. Kami akur.
Beberapa ibu dan remaja mengiringi kami ke tenda untuk mengambil barang kami yang telah dikemaskan. Ucapan perpisahan dibisikkan. Kucupan ukhuwah kami berikan. Akhirnya aku ‘tewas’, tidak mampu berkata-kata, menahan sebak di dada. Saudari Suak Timah dan remaja menahan airmata, manakala ibu-ibu menangis. Lambaian perpisahan diberikan. Kami membalasnya…lemah.
“Selamat Tinggal Suak Timah….terima kasih kerana menerima kehadiran kami…..….”
Catatan Diari:
Ummu Umair
7/5/2005










