Siswa dan Siswi HALUAN Jayakan KHIDMAH'09 di Johor

E-mail Print PDF

alt20 Disember 2009, Kulaijaya, Johor -Seramai 32 orang peserta yang terdiri daripada siswa dan siswi HALUAN dan pelajar sekolah menengah yang sedang bercuti di Johor telah mengikuti program Khidmat Bakti Masyarakat HALUAN ’09 (KHIDMAH ’09) yang diadakan di Kampung Sri Paya, Kulaijaya, Johor. Program ini telah dapat memberi peluang kepada peserta untuk berdamping dengan masyarakat kampung yang dipilih melalui kehidupan bersama masyarakat setempat, dan dalam masa yang sama berkongsi pengalaman di antara peserta KHIDMAH ’09 bersama anak-anak masyarakat setempat.

 

Program yang berlangsung dari 20hb hingga 23hb Disember ini dianjurkan bersama oleh HALUAN Johor dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama JKKK Kampung Sri Paya, Kulaijaya, Johor.

 

Pada hari pertama, peserta telah diserahkan kepada wakil setiap keluarga angkat dalam majlis ringkas yang diadakan di balairaya Kampung Sri Paya. Majlis tersebut diikuti dengan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada penduduk kampung oleh Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) yang diketuai oleh Dr Baharuddin Suri. Seterusnya, perlawanan bolasepak diadakan untuk peserta lelaki dan bola jaring untuk peserta perempuan, yang  melibatkan penduduk kampung tersebut. Sebelah malamnya pula, satu forum perdana yang bertajuk ”Membina Generasi Masa Depan Aspirasi Bersama” telah dianjurkan. Majlis forum tersebut mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.

alt   alt

Hari kedua KHIDMAH '09 dimulai dengan Kem Anak Soleh. Sepanjang Kem Anak Soleh ini, para peserta KHIDMAH ’09 ditugaskan menjadi fasilitator di mana mereka telah menjayakan aktiviti seperti ice-breaking, perkhemahan dan sukaneka. Pada sebelah malamnya, satu tayangan multimedia telah dikendalikan oleh Encik Zailani bin Mohd Ali yang merupakan ketua Pasukan Kedua dari Misi Kemanusiaan Padang. Beliau telah memberikan maklumat berguna kepada peserta Kem Anak Soleh tentang betapa beruntungnya mereka dapat hidup dengan sempurna di Malaysia tercinta, berbanding dengan kehidupan mereka yang ditimpa musibah gempabumi di Padang, Indonesia.

alt   alt

Hari ketiga KHIDMAH '09 dipenuhi dengan ceramah-ceramah motivasi yang sangat berguna. Sebelah paginya, peserta telah disajikan dengan ceramah motivasi bertajuk ”Rahsia Pelajar Cemerlang ” yang disampaikan oleh Sdr.Helmi bin Abdul Razak dan Sdr. Umar Afifi bin Zainordin. Seterusnya, mereka dapat mengikuti slot ”Bimbingan untuk menjadi Anak Soleh” yang dikendalikan oleh Sdr. Asryaf bin Ishak. Manakala Pn. Salmah binti Hj. Salleh yang merupakan guru kaunseling berpengalaman pula telah menyampaikan ceramah “Cabaran Dunia Remaja”. Aktiviti pada sebelah petang diakhiri dengan ceramah penuh bersemangat bertajuk “Dadah Musuh Negara” oleh seorang wakil dari PENGASIH.

Majlis penutup KHIDMAH '09 telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Encik Tahiruddin bin Abdul Hadi, Penghulu Mukim Bukit Batu. Prof. Dr. Abdul Hakim Mohammed, Naib Presiden HALUAN semasa memberikan ucapan di majlis tersebut telah menjelaskan kesungguhan HALUAN dalam kerja-kerja kebajikan untuk membantu masyarakat. Majlis di akhiri dengan penyerahan hadiah dan sijil kepada semua peserta KHIDMAH '09.

Pada hari terakhir, peserta KHIDMAH ’09 telah berkumpul di Balairaya Kampung Sri Paya untuk berangkat pulang. Ramai bapa-bapa dan ibu-ibu angkat menitiskan air mata kerana sedih untuk berpisah dari anak-anak angkat mereka. Para peserta turut merasa hiba kerana merasakan program yang dilaksakan terlalu cepat berlalu.

Secara keseluruhan program ini berjalan dengan jayanya hasil kerjasama yang erat di antara HALUAN dan JKKK Kampung Sri Paya dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk kampung.

 

Kelab Kesihatan HALUAN

Kelab Kesihatan HALUAN (KKH)

Kelab HALUAN Fitrah

Kelab HALUAN Fitrah

Kelab Siswa HALUAN

HALUANSISWA

Kelab Remaja HALUAN

Kelab Remaja HALUAN (KeARAH)

 

Kelab Guru HALUAN

Kelab Guru HALUAN

Pusat Jagaan HALUAN

Pusat Jagaan HALUAN

PEMANGKIN HALUAN

PEMANGKIN HALUAN

Misi Bantuan Banjir 2007

Laporan Misi Bantuan Banjir 2007