Bagaimana agaknya kita dapat membina sebuah rumahtangga yang sentiasa mendapat redha Allah? Agar semakin meningkat usia perkahwinan, akan semakin terasa sakinah mawaddah dan rahmah? Saban hari, umur akan meningkat, dan manusia itu sentiasa dalam kerugian kecuali tiga golongan. Terdapat tiga rumusan yang dapat dibuat dari al-Quran melalui surah Al-Ashr. Bagi saudara-saudari yang merancang untuk berumahtangga, sama-sama kita renungi panduan-panduan berikut:
1. Tingkatkan keyakinan kepada Allah
Sesebuah rumahtangga harus selalu berfikir dengan bersungguh-sungguh bagaimana keyakinan kepada Allah terus meningkat. Tidak ada orang ikhlas kecuali yakin kepada Allah. Tidak ada sabar kecuali kenal kepada Allah. Tidak ada orang zuhud kecuali orang yang tahu kekayaan Allah. Tidak ada orang tawadhu' kecuali orang yang tahu kehebatan Allah. Makin akrab dan kenal dengan Allah pasti akan memberi kesan positif dalam diri kita. Setiap hari dalam hidup kita seharusnya difikirkan bagaimana untuk kita dekat dengan Allah. Kalau Allah sudah mencintai makhluk segala urusan akan terlaksana dengan sempurna.
Oleh itu, apa pun yang ada di dalam rumahtangga harus menjadi asbab kepada kita untuk mendekatkan diri kepada Allah. Beli barang apa pun harus yang disukai Allah. Supaya rumah kita menjadi rumah yang disukai Allah. Boleh memiliki barang yang bagus, tanpa diwarnai dengan takabur. Bukan perkara mahal atau murah, bagus atau tidak, tetapi apakah nanti mampu dipertanggungjawabkan disisi Allah atau tidak. Rumah kita harus berorientasikan kepada Allah. Perhiasan, kaligrafi dengan tulisan Allah. Kita senang melihat rumah mewah dan Islami. Jadikan semua harta untuk kelansungan dakwah, mulai dari kenderaan hinggalah apa sahaja yang dimiliki, termasuk rumah kita.
Apa yang kita fikirkan, Allah sudah mengetahui semuanya. Yang harus kita fikirkan adalah bagaimana untuk dekat dengan Allah. Kalau hubungan kita dengan Allah akrab, semua akan beres. Barangsiapa yang dekat dengan Allah, akan diberi jalan keluar setiap urusannya. Dan dijamin dengan rezeki dari sumber yang tidak diduga-duga. Dan barang siapa hatinya yakin Allah yang punya segalanya, akan dicukupkan segala keperluannya. Jadi bukan dunia ini yang menjadi masalah tetapi hubungan kita dengan Allah-lah masalahnya.
2. Produktif dalam kebaikan
Rumahtangga hendaynya disuburkan dengan usaha yang paling produktif dalam kebaikan. Wang paling berkat adalah wang yang paling tinggi produktivitinya. Kaya boleh, asal produktif. Boleh mempunyai rumah banyak asalkan diniatkan agar mendapat berkah demi Allah, itu akan beruntung. Kerana itu, teruslah mencari wang. Bukan untuk memperkaya diri semata-mata tetapi bersedia pula untuk mengagihkannya untuk ummah yang memerlukan. Sedekah itu tidak akan mengurangi harta kita kecuali bertambah. Jadi persoalan yang harus bermain dalam fikiran kita bukan 'apa yang akan kita dapat,' tapi 'apa yang boleh kita perbuat.' Orang beruntung setiap waktu fikirannya produktif mengenai kebaikan. Selagi hidup, lakukan yang terbaik, keran sesudah mati kita tidak ada upaya lagi untuk berbuat kebaikan. Kalau sudah melaksanakannya, nanti Allah yang akan memberi, itulah namanya rezeki. Orang yang beruntung adalah orang yang paling produktif kebaikannya.
3. Saling nasihat menasihati
Rumahtangga seharusnya dihiasi dengan suasana saling nasihat menasihati dalam kebenaran dan kesabaran. Kata-kata terbaik yang kita katakan adalah meminta pandangan dan nasihat. Ayah meminta nasihat anak atau isteri, niscaya tidak akan kehilangan wibawanya. Dan kita tidak mampu menjadi penasihat yang baik sebelum menjadi orang yang boleh dinasihati. Kita juga tidak akan mampu kita memberi nasihat jika kita tidak boleh menerima nasihat.
Nikmatilah nasihat sebagai rezeki dan bukti kejayaan hidup. Sayang, hidup hanya sekali dan tidak berkekalan, namun malang kita tertipu dengan diri sendiri kerana melayan nafsu dan dunia. Fikirkan sekarang, jangan bertangguh dalam merubah diri dan keluarga untuk hampir kepada Allah.










