Qiyamulail Sarat Bekalan

E-mail Print PDF

Puteri-puteri Islam Sejati!
Pertamanya mari kita mengucapkan rasa kesyukuran kepada Allah Yang Maha Esa. KepadaNya bergantung segala sesuatu. Dia tidak beranak dan tidak diperanakkan. Dan tidak ada seorang pun yang setara denganNya.

Segala apa jua nikmat yang kita perolehi adalah daripada Allah. Maka bagi Allah segala puji dan syukur. Berlindunglah kepada Allah daripada menyekutukanNya dengan sesuatu yang diketahui maupun daripada sesuatu yang tidak diketahui. Sentiasalah menyedari hakikat diri kalian sebagai hamba Allah. Bertasbihlah di waktu pagi dan petang dan cukuplah Allah sebagi penolong serta pelindung dalam apa jua keadaan. Hanya kepadaNya patut bertawakkal dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘arasy yang agung.

Puteri-puteriku,
Keyakinan kepada Allah begini akan membina kekuatan yang dapat memampukan kalian menjadi sebaik-baik manusia yang membawa kebaikan kepada manusia lain. Serta mampu pula menepati sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;
“Sebaik-baik manusia adalah mereka yang apabila melakukan sesuatu pekerjaan, mereka melakukannya dengan cara yang paling baik”.

Hakikat ini perlu disuburkan serta ditingkatkan sepanjang masa. Sekiranya tiada masa yang diperuntukkan bagi meningkatkan iman dan taqwa, stamina ubudiyah akan berkurangan. Pelaksanaan peranan selaku khalifah Allah di atas muka bumi juga akan turut terjejas.

Justru itu kita perlu memperuntukkan masa yang sesuai untuk menambahkan bekalan bagi  melaksakan ubudiyah sepanjang hayat. Sebaik-baik masa yang sesuai adalah pada waktu sepertiga malam ataupun waktu sahur sebelum terbit fajar. Waktu ini tenang dan hening, sunyi sepi dan manusia semuanya sedang nyenyak dibuai mimpi. Suasana damai sedemikian memudahkan tumpuan yang khusyuk kepada Allah. Di dalam qiyamulail (bangun/berjaga malam)  sememangnya sarat bekalan yang sangat kita perlukan dalam menjalani hidup yang berbagai ragam. Dari itu, ayuh kita mulakan langkah dan menghimpun sebanyak-banyak bekalan…

  • Mendirikan solat (sembahyang) merupakan bekalan. Dengan bangun malam dan mendirikan solat tahajjud akan menambah lagi bekalan. Juga membuat kita hampir dengan Allah dan beroleh rahmatNya. Di tengah keheningan  malam suasana sangat tenang untuk kita ruku’, sujud, berzikir, bertasbih, beristighfar, bertaubat, munajat, berdoa dan menangis kerana takutkan kemurkaan Allah.
  • Bangun di tengah malam merupakan mujahadah yang dapat menguatkan keazaman dan keupayaan untuk mengalahkan syaitan. Juga memampukan kita untuk sentiasa mentaati perintah Allah. Meninggalkan tempat tidur yang empuk dalam kedinginan malam juga merupakan latihan yang akan memberi kita kemampuan untuk melaksanakan tanggungjawab selaku khalifah Allah.
  • Bangun sewaktu orang lain tidur nyenyak dapat melepaskan diri kita dari tarikan duniawi. Dengan itu kita dapat mengikhlaskan diri beribadah kepadaNya dan menjauhi perasaan riya’. Malahan kita dapat merasai betapa dhaifnya diri serta sangat bergantung harap kepada Allah.
  • Dalam sunyi dan keheningan malam sangat sesuai kita membaca Al-Quran dengan tafakkur dan tadabbur, menghayati dan memahami makna dan tuntutannya. Dengannya taqwa tertingkat untuk sentiasa merasa segar dan bertenaga dalam beramal soleh.
  • Setiap diri tidak sunyi dari kecuaian dan dosa. Di waktu dinihari sebelum fajar menyingsing, adalah sebaik-baik waktu untuk memohon keampunan , rahmat dan hidayah Allah. Juga waktu sangat mustajab dan diterima segala permohonan.
  • Berdoa kepada Allah di tengah malam sunyi sewaktu sujud dalam solat adalah sebaik-baik waktu dan kedudukan berdoa juga mudah makbul. Kerana sewaktu sujud, seorang hamba paling hampir dengan al-khaliq.

Puteri-puteri Islam Harapan!
Ketahuilah bukan saja bekalan untuk kejayaan hidup di dunia yang kita perolehi dari qiyamulail, malah tersedia jua ganjaran pahala yang besar untuk kebahagiaan berkekalan di akhirat kelak.

Perhatikan maksud firman Allah berikut:

  • “Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap, dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Seorang pun tidak mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyedapkan pandangan mata, sebagai balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan”. (QS As-Sajadah: 16)
  • “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa berada di dalam taman-taman syurga dan di mata-mataair, sambil mengambil apa yang diberikan kepada mereka oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu di dunia adalah orang-orang yang berbuat baik, mereka sedikit sekali tidur di waktu malam dan di akhir malam mereka memohon ampun (kepada Allah)”. (QS Adz-Zariyat:15-18)
  • “(Apakah kamu hai orang-orang musyrik yang lebih beruntung)? Ataukah orang yang beribadat di waktu malam dengan sujud dan berdiri sedang ia takut kepada azab akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah; Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakal yang dapat menerima pelajaran”. (QS Az-Zumar: 9)

Perhatikan juga sabda Rasulullah s.a.w sehubungan dengan qiyamulail;

  • Berkata Jabir r.a: “Ku dengar Rasulullah s.a.w bersabda; Sesungguhnya di waktu malam ada satu waktu yang pasti diperolehi oleh seorang muslim yang memohon kepada Allah kebaikan dunia dan akhirat. Dan waktu itu ada pada tiap-tiap malam”. (HR Muslim)
  • Rasulullah s.a.w bersabda; “Semulia-mulia solat setelah solat fardhu ialah solat tahajjud di tengah malam”. (HR Muslim)
  • Dari Abu Umamah, dia berkata; “Ya Rasulullah, manakah doa yang paling diterima? Rasulullah menjawab; Tengah malam yang akhir (dinihari) dan sesudah solat fardhu”. (HR At-Tirmidzi).

Puteri-puteriku,
Ketahuilah juga, sesungguhnya setiap rumah muslim yang dihiasi dan dihidupkan dengan qiyamulail adalah rumah yang didatangi dan diselubungi malaikat. Dicurahi rahmat dan dilimpahi kebahagiaan sejati. Alangkah baik sekiranya setiap anggota dan penghuni rumah bangun untuk beribadah malam. Juga saling mengejutkan antara satu sama lain.

Tidak dinafikan untuk memulakan praktik bangun beribadat malam perlukan kesungguhan yang tinggi. Mari sama-sama kita mulai dengan sedapatnya melaksanakan disiplin berikut;

  1. Berniat ikhlas – ingin bangun beribadah malam semata-mata untuk beroleh keredhaan Allah.
  2. Membulatkan keazaman – bersungguh-sungguh ingin beribadah malam untuk memperoleh hidayah dan rahmat Allah.
  3. Memperbaharui taubat – menyedari setiap hari diri tidak sunyi dari melakukan kesilapan dan dosa, dengan itu ingin bangun memohon keampunan Allah pada waktu yang Allah ampuni dosa dan kesalahan.
  4. Menjauhi maksiat di siang hari – bila diri melakukan sebarang maksiat, hati menjadi kotor dan keras dan membuatnya sukar menerima peringatan.
  5. Jika dapat, tidur sebentar selepas solat zohor, supaya kurang letih dan berasa segar pada waktu malam.
  6. Masuk tidur awal setelah selesai solat isyak, supaya mudah bangun waktu sepertiga malam atau pada waktu dinihari.
  7. Bersungguh-sungguh memohon pertolongan dan kekuatan dari Allah untuk mampu bangun beribadah malam demi mengharapkan limpah rahmat Allah. Tiada daya dan upaya melainkan dengan izin Allah jua.

Puteri-puteri Islam yang gigih!
Seandainya diberitahu kepada kita sebuah gedung pakaian yang baru dibuka sedang membuat tawaran hadiah percuma pada waktu dan hari tertentu, pasti kita menunggu-nunggu untuk pergi ke gedung tersebut. Bagaimana pula dengan tawaran ganjaran yang telah dinyatakan oleh Allah Rabbul ‘Alamin, yang Maha Kaya. Tidakkah kita lebih pantas bergerak dengan segera demi ganjaran yang lebih lumayan?

Puteri-puteriku,
Marilah kita kita gagahi diri bangun mendirikan beberapa rakaat solat tahajjud dengan penuh khusyuk, beberapa sujud yang panjang, doa-doa yang ikhlas, tasbih dan airmata keinsafan. Semoga dengan curahan rahmat dan kasih Allah dapat kita rasai nikmat qiyamulail.
  
Wassalam.
Ummu Anas.

 

Kelab Kesihatan HALUAN

Kelab Kesihatan HALUAN (KKH)

Kelab HALUAN Fitrah

Kelab HALUAN Fitrah

Kelab Siswa HALUAN

HALUANSISWA

Kelab Remaja HALUAN

Kelab Remaja HALUAN (KeARAH)

 

Kelab Guru HALUAN

Kelab Guru HALUAN

Pusat Jagaan HALUAN

Pusat Jagaan HALUAN

PEMANGKIN HALUAN

PEMANGKIN HALUAN

Misi Bantuan Banjir 2007

Laporan Misi Bantuan Banjir 2007