Qariah Surau ArRaudah hairan keruntuhan Masjid di Pariaman

E-mail Print PDF

Dalam kehangatan suasana ‘Eidul Adha 1430H pada hari Sabtu 28hb November 2009 yang lalu, qariah Surau ArRaudah, Taman Pulai Jaya, Skudai, Johor, juga turut sama dibawa merasai kesengsaraan  mangsa-mangsa gempabumi di Padang, Sumatera Barat.

Menurut Pengerusi surau berkenaan, Ustadz Katiman, sambutan Eidul Adha kali ini membawa sedikit kelainan. Erti pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Nabi Allah Ismail dihayati dengan melaksanakan ibadah qurban 2 ekor lembu dan kambing pada sebelah pagi secara bergotong royong. Seterusnya pada sebelah petang mereka memasak juadah untuk jamuan bersama. Manakala selepas Isya’ pula diadakan satu ceramah Modul Keluarga Sakinah oleh penceramah dari Yayasan Pembangunan Keluarga Johor, Ustaz Mohd Norashid. Ceramah ini banyak memberi penekanan kepada kebahagian sesebuah keluarga muslim, bermula dengan pembinaan baitulmuslim hinggalah kelansungan keluarga bahagia.

Dr Hj Baharudin berkongsi pengalaman beliauSebelum kira-kira 300 orang hadirin, lelaki, wanita serta anak-anak remaja menjamu rendang daging beramai-ramai, wakil HALUAN Johor, Dr Hj Baharudin Suri terlebih dahulu berjaya menarik perhatian pengunjung surau pada malam tersebut kepada paparan peristiwa gempabumi Padang yang berlaku pada 30 September yang lalu. Majoriti hadirin terpaku tumpuan mereka kepada tayangan multimedia yang mencoretkan musibah yang menimpa saudara muslim mereka di Sumatera Barat. Setiap paparan peristiwa yang ditayangkan diulas dengan terperinci oleh Dr Hj Baharudin yang juga pernah turut serta sebagai seorang.Relawan Misi Kemanusiaan Padang. Para hadirin mendengar ulasan yang diberikan dengan penuh minat berserta perasaan simpati, seolah-olah mereka menyaksikan suasana gempabumi sedang berlaku.

Para hadirin dapat merasakan sendiri akan kekuasaan dan kebesaran Allah SWT apabila Tuan penceramah mengaitkan detik-detik berlakunya beberapa gegaran besar dengan ayat-ayat Alquran khususnya surah Al-Isra ayat ke-16, surah Al-Isra ayat ke-58 dan surah Al Anfal ayat ke-52. Dan ini ditambahkan lagi dengan paparan keruntuhan yang bukan sahaja berlaku di kawasan bandar malah juga di kawasan pendalaman yang turut melibatkan banyak kemusnahan masjid dan surau. Meraka melihat sendiri bagaimana kesengsaraan saudara seaqidah di Pariaman akibat gempabumi yang belaku hampir 2 bulan yang lalu. Paparan kehilangan tempat berteduh, tinggal di khemah, kekurangan sara hidup dan serangan pelbagai penyakit membuatkan para hadirin tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing.

Jelas Dr Haji Baharudin Suri lagi, gaya kehidupan harian yang jauh dari amalan Islam mungkin menjadi asbab berlakunya gempabumi di tempat mereka, yang digambarkan sebagai ‘kiamat’ oleh sebilangan besar penduduk. Banyak masjid dan surau  yang runtuh dan rosak menjadi suatu persoalan dibenak hadirin. Penceramah mengajak hadirin agar sama-sama mengambil ikhtibar dari peristiwa ini dan kembali kepada penghayatan ajaran Islam yang sebenar dan sentiasa mengimarahkan masjid dan surau terutamanya pada waktu solah. Peristiwa ngeri dan pilu tertimbusnya tiga perkampongan di Gunung Tigo juga perlu menjadi pengajaran kepada semua hadirin, bahawa Allah akan memusnahkan  tempat-tempat dimana jua berlakunya penyelwengan keatas syariatNya.

Sebelum mengakhiri ceramah dan tayangan multimedia pada malam itu, Dr Hj Baharudin mengajak sekali lagi para hadirin agar sama-sama membantu saudara-saudara Islam yang mendapat musibah diseluruh dunia. “Penghayatan dan pengertian ibadah qurban yang sama-sama kita laksanakan pagi tadi akan lebih bermakna, sekiranya limpahan rezeki yang ada pada kita disalurkan sebahagiannya kepada yang lebih memerlukan,” ujar beliau. Tambah beliau lagi, segala bantuan atau sumbangan akan digunakan untuk meneruskan khidmat HALUAN di kawasan bencana. “Alhamdulillah, pasukan relawan  kami di Pariaman berjaya melaksanakan ibadah Qurban di beberapa buah kampung yang mengalami musibah,” Jelas Dr Haji Baharudin Suri.

 

Sebagai penutup majlis malam tersebut, Ustadz Katiman, selaku Pengerusi Surau ArRaudhah mengucapkan jutaan terima kasih pada HALUAN Johor, khususnya kepada Dr Hj Baharudin yang sudi berkongsi pengalaman penderitaan saudara seaqidah di Padang. Katanya lagi, HALUAN Malaysia sudah begitu dikenali masyarakat setempat, kerana telah beberapa kali terlibat dalam mengimarahkan surau dan juga terlibat dalam menggerakan aktiviti anak-anak remaja surau ini. Menurut Tuan Pengerusi lagi, pihak Surau ArRaudhah sedia menambah sejumlah tabungannya kepada kutipan derma malam tersebut untuk disumbangkan kepada Tabung Misi Kemanusiaan HALUAN.

 

Kelab Kesihatan HALUAN

Kelab Kesihatan HALUAN (KKH)

Kelab HALUAN Fitrah

Kelab HALUAN Fitrah

Kelab Siswa HALUAN

HALUANSISWA

Kelab Remaja HALUAN

Kelab Remaja HALUAN (KeARAH)

 

Kelab Guru HALUAN

Kelab Guru HALUAN

Pusat Jagaan HALUAN

Pusat Jagaan HALUAN

PEMANGKIN HALUAN

PEMANGKIN HALUAN

Misi Bantuan Banjir 2007

Laporan Misi Bantuan Banjir 2007