Jalan Kebun, 20hb Februari -- Terik matahari kemarau bulan Februari tidak menggundahkan masyarakat Kampung Jalan Kebun serta relawan HALUAN sempena program membersihkan tanah perkuburan Islam berhampiran Berjaya Park. Program amal HALUAN Selangor bersama masyarakat pada Sabtu 20hb itu sememangnya disusun sebegitu rupa agar HALUAN dapat berinteraksi secara lebih akrab dengan masyarakat setempat.
Dengan perancangan program bersama masyarakat kampung Jalan Kebun ini, HALUAN dapat dengan lebih dekat lagi menyelami dan menghayati realiti masyarakat setempat yang pesat membangun ini. Kampung yang diduduki komuniti separa moden ini kini dijaluri dengan jalanraya yang lebih elok serta prasarana yang semakin moden. 20 tahun yang silam, prasarana asas di Jalan Kebun sangat terhad. Jalan akses berselut dan kawasan bertar pula berlopak. Jaringan jalannya sempit dan berliku. Kini menghampiri komuniti Jalan Kebun semakin mudah dengan akses Lebuhraya Kesas dan jalan-jalan yang lebar dan berturap serta sistem perparitan yang sempurna.
Program amal hari itu bermula dengan kerja pembersihan belukar kubur dan penebangan pohon getah di situ. Serentak dengan itu, Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) pula giat mempersiapkan perkarangan masjid dengan perkhidmatan percuma pemeriksaan kesihatan, tanda terima kasih kepada masyarakat setempat.
![]() |
![]() |
KKH memulakan program dengan ceramah kesihatan pemeriksaan payudara oleh pakar radiologi daripada Hospital Sungai Buloh, Dr Rofeah Ali. Peserta didedahkan kepada petanda-petanda payudara bermasalah dan penyakit kronik yang boleh terjadi. Ternyata ceramahnya berjaya menarik perhatian penduduk kampung dengan soalan-soalan yang ditanya.
Serentak itu, KKH menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan yang disertai oleh lapan orang relawan doktor KKH, dibantu oleh empat orang staf Barakah Maternity Centre dan ahli-ahli Kelab Kesihatan Remaja (KKR) daripada Sekolah Menengah Ibnu Khaldun, Jalan Kebun.
![]() |
![]() |
Tidak terkecuali daripada program sehari suntuk itu adalah pameran serta jualan cenderahati prihatin Palestin yang dianjurkan oleh Biro HALUAN Palestin. Penduduk kampung buat pertama kalinya melihat poster yang mendedahkan kejahatan zionist Israel terhadap umat Islam Palestin.
Di sebelah petang pula, HALUAN menganjurkan ceramah keibubapaan serta ceramah khas remaja, diikuti kuliah maghrib di sebelah malamnya, dan kuliah subuh pada pagi Ahad. Program bersama masyarakat ini jelas mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kepimpinan kampung, terutama jawatankuasa Masjid An-naim Jalan Kebun serta ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK.) Semoga upacara sebegini akan lebih mengakrabkan HALUAN dengan masyarakat di sini.














