Perkemas bekalan dengan sunnah Rasulullah

E-mail Print PDF

Segala puji dan puja hanya layak untuk Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Selawat dan salam khusus buat Ar-rasul Muhammad s.a.w dan Assabiqun Awwallun. Juga untuk seisi keluarga baginda serta seluruh pendokong dan pencinta deen Islam sehinggalah ke Yaumilakhir.

Puteri-puteri Islam Sejati!
Di mana jua kalian berada, seizin Allah... ibu ziarahi hati kalian dengan penuh kasih dan kerinduan kerana Allah, serta berhajatkan keredhaanNya. Moga kita semua sentiasa berada di landasan kebenaran juga saling berpesan dengan penuh kesabaran. Jika berterusan begini sepanjang hayat, kita akan mampu meraih keuntungan di dunia dan keuntungan di akhirat.

Anak-anakku yang dikasihi dengan kasih-sayang Islam,
Kini tiba lagi tarikh 12 Rabiul Awwal, tarikh kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Satu tarikh yang semestinya sangat menyentuh perasaan kita kerana Allah telah berfiman yang bermaksud;
“Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, sangat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin”.(QS At-Taubah:128)

Dengan merenungi maksud ayat tersebut, sewajarnya kita segera terdorong untuk menyahut seruan serta mencontohi langkah-langkah baginda dalam menunaikan amanah Allah. Mesti sentiasa diingat kita dipertanggung jawabkan dengan peranan berubudiyah sepanjang hayat;
“Beribadahlah menyembah Tuhanmu hingga datang maut menemuimu”.(QS Al-Hajr: 99)

Seiring peranan tersebut, kita juga diperingatkan untuk sentiasa mencontohi risalah yang dibawa oleh Rasulullahn s.a.w;
“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah contoh yang baik bagimu (iaitu) orang yang mengharapkan rahmat Allah dan kedatangan hari qiamat, dan dia banyak menyebut nama Allah”.(QS Al-Ahzab:21)

Puteri-puteri harapan!
Begitu sarat bekalan yang terkandung di sepanjang perjalanan perjuangan Rasulullah yang mesti kita hayati dan amalkan. Ianya juga antara sebaik-baik bekalan yang dapat menjamin kejayaan hidup di dunia dan di akhirat. Ketaatan kita kepada perintah Allah dan kepatuhan kita kepada suruhan Rasul akan memperteguhkan ikatan cinta kita kepada Allah. Fahami maksud firman Allah dalam surah Ali-Imran ayat 31;
“Katakanlah: Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutlah aku nescaya Allah menagasihi dan mengampuni dosa-sosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Puteri-puteri Srikandi Iman!Sentiasalah menyedari hakikat Allah memperteguhkan kecintaan kita kepadaNya dan kepada Ar-rasul selagi mana kita bersungguh-sungguh mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w. Kesungguhan itu juga akan membawa kita memperoleh darjat iman yang tinggi serta taqwa yang mendalam. Kita telah sedia maklum taqwa merupakan sebaik-baik bekalan yang sangat kita perlukan demi menggarap redha Ilahi serta kebahagiaan hakiki.

Dengan mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w juga membuktikan kecintaan kita kepada baginda. Serentak dengan itu memperkemaskan lagi bekalan kita sepanjang hayat.

Dari itu mari kita teliti bekalan yang akan kita perolehi dari mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w:
1. Rasulullah sentiasa meletakkan hatinya berhubung dengan Allah dalam semua keadaan. Baginda sentiasa memerhatikan setiap bentuk ciptaan Allah serta memuji-muji nikmat Allah.

Begitulah juga sepatutnya diri kita, sentiasa ingatkan Allah dalam keadaan susah maupun senang. Sentiasa  pula bertasbih dan berzikir sebagai tanda syukur dan memuji Allah. Tidak lupa beristigfar untuk memohon keampuan Allah. Rasulullah s.a.w sendiri sentiasa beristigfar siang dan malam sebagai contoh untuk kita ikuti.

2. Rasulullah sentiasa berdoa dalam semua urusan hidupnya agar sentiasa Allah permudahkan dan diberkati.

Kita juga sepatutnya demikian. Dalam apa jua urusan hidup, bermula sebelum lagi kelahiran seseorang bayi, sudah berdoa memohon jodoh yang baik dan keturunan yang baik. Sehingga akan mengakhiri hayat, tetap berdoa agar mati dalam keadaan redha meredhai.

Begitu juga dalam segala urusan lain, kecil dan besar semuanya diiringi doa. Hinggakan keluar masuk tandas juga disertai doa.

3. Rasulullah sentiasa mengingatkan umatnya supaya berhati-hati dengan tarikan dunia. Tidak terpengaruh dan tidak terpedaya tipuan nafsu dan hasutan syaitan. Sehingga sanggup menganiaya orang lain.

Kita semestinya mempamerkan kepribadian Islam yang unggul dan istimewa. Beserta watak kesopanan yang tidak melukai hati sesiapa pun.

4. Rasulullah memperlihatkan contoh munajat dengan beribadah malam hari. Dalam sunyi malam ketika semua leka dibuai mimpi, kita dianjurkan bangun meraih limpah kurnia Allah.

Begitulah juga semestinya kita seandainya benar mencontohi sunnah baginda. Tidak teragak-agak lagi untuk mempraktikan ketaatan dan kepatuhan. Lantas bersegera merebut rahmat Allah.

5. Rasulullah juga diutus Allah sebagai rahmat untuk seluruh alam. Baginda memperlihatkan watak rahmah dan kasih sayang kepada semua makhluk Allah. Hinggakan berlaku belas terhadap haiwan.

Di sudut ini dalam mencontohi Rasulullah, hendaklah kita berlaku sopan sewaktu berbicara dengan orang lain. Beri perhatian dengan hikmah sewaktu orang lain bertutur dengan kita. Jangan berbisik berdua sewaktu ada orang ketiga sedang memperhatikan. Ini supaya tidak mendukacitakan hati sesiapa jua.

    
Begitulah Puteri-puteri Harapan!
Bersegeralah mulakan langkah mencontohi Rasulullah s.a.w dalam mempraktikan sunnah. Untuk membicarakan secara terperinci, sunnah nabawi memang luas…namun yang lebih utama untuk dijadikan bekalan sepanjang hayat adalah pelaksanaan secara beransur-ansur serta berterusan. Mulanya sedikit dahulu, tetapi berterusan dan ditingkatkan.

Ingatlah puteri-puteriku,
Barangsiapa tidak mengikuti sunnah Rasulullah s.a.w, dia akan mudah terjerumus ke lembah kelalaian dan kelekaan. Sama seperti hidupnya haiwan sekadar memenuhi keperluan makan dan minum juga desakan hawa nafsu semata-mata.

Oleh itu mari kita perkemaskan lagi langkah kita dengan lebih tekun merujuk sunnah Rasulullah di dalam kitab-kitab hadis. Agar nanti terbit perubahan watak yang baik dalam tingkah laku kita bertepatan dengan matlamat Rasulullah diutus untuk menyempurnakan akhlak.

Kita tangguhkan dahulu dengan lafaz doa;
“Ya Allah! Bagimu segala puji seagung kemulianMu dan kebesaran kekuasaanMu. Aku telah rela dengan Allah sebagai Tuhanku dan dengan Islam sebagai agamaku, dan dengan Muhammad sebagai nabi dan rasulku.

Maha Suci Engkau ya Allah! Dan segala puji bagiMu. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, aku mohon ampun dan bertaubat kepadaMu”.

Amiin,

Wassalam.
Ummu Anas.
Ibu yang sentiasa mendoakan ketaqwaan kalian.

 

Kelab Kesihatan HALUAN

Kelab Kesihatan HALUAN (KKH)

Kelab HALUAN Fitrah

Kelab HALUAN Fitrah

Kelab Siswa HALUAN

HALUANSISWA

Kelab Remaja HALUAN

Kelab Remaja HALUAN (KeARAH)

 

Kelab Guru HALUAN

Kelab Guru HALUAN

Pusat Jagaan HALUAN

Pusat Jagaan HALUAN

PEMANGKIN HALUAN

PEMANGKIN HALUAN

Misi Bantuan Banjir 2007

Laporan Misi Bantuan Banjir 2007