RAMALLAH, Tebing Barat – 19 Julai 2007. Rejim Zionis Israel telah membebaskan seramai lebih 250 orang tawanan Palestin pro-Fatah, dalam cubaan untuk menaikkan nama dan kedudukan Presiden Mahmoud Abbas yang kini sedang berhadapan dengan konflik politik. Pembebasan itu merupakan hadiah kepada usaha Presiden pihak berkuasa Palestin (PA) menjatuhkan kerajaan bersekutu yang dipilih oleh rakyat Palestin secara sah, pimpinan HAMAS.
Sebelum ini, seorang pemimpin Fatah, Zeyad Abu Ain, mendakwa bahawa seramai 30 orang daripada tawanan yang dibebaskan adalah daripada Hamas. Namun, setelah diperiksa senarai nama mereka yang dibebaskan, ternyata tidak seorangpun daripada mereka yang dibebaskan telah ditahan atau dipenjara kerana terlibat dengan aktiviti-aktiviti Hamas. Menurut jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri, dakwaan itu hanyalah semata-mata bertujuan menutup malu Presiden Abas, memandangkan kesemua mereka yang dibebaskan adalah daripada golongan Fatah.
Kumpulan pertama terdiri daripada lebih kurang 120 orang tawanan. Mereka telah menaiki bas ke Tebing Barat di Kem Penjara Ketziot di selatan Negev, Israel pada pagi Jumaat. Pembebasan itu dijadualkan selesai pada waktu tengahari apabila kesemua 256 orang tawanan dibawa bertemu dengan Abbas di ibu pejabatnya di Rahmallah.
Dr. Yahya Mousa, ahli parlimen di majlis legasatif PA menyifatkan pembebasan tahanan Fatah itu sebagai rasuah politik rejim Zionis Israel kepada Abbas. Menurut Dr Yahya, rasuah tersebut adalah untuk mengaburkan mata dunia dan mata Abbas daripada persoalan asas isu Palestin. Persoalan penjajahan tanah Palestin, persoalan pelarian Palestin yang berjumlah lebih daripada 6 juta orang, persoalan tembok pemisah yang telah diisytiharkan haram oleh PBB dan Mahkamah Dunia, persoalan usaha merobohkan Masjid al-Aqsa secara berterusan oleh rejim Zionis, persoalan penangkapan para menteri PA yang masih lagi berada di dalam penjara-penjara Zionis, persoalan sekatan ekonomi ke atas 1.5 lebih juta rakyat Gaza, persoalan perumahan haram penduduk Yahudi di Tebing Barat, persoalan lebih 9,000 tahanan dari kalangan rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak kesemuanya terus dilupakan.
Pembebasan terpilih 250 tahanan Fatah itu juga sengaja diberikan liputan yang amat meluas di seluruh dunia oleh media barat. Ianya seolah-oleh menggambarkan betapa mulianya hati rejim penjajah Zinis itu terhadap rakyat Palestin. Ia juga seolah-olah memeberitahu bahawa rejim Zionis merupakan pihak yang boleh dibawa berunding dan mencintai keamanan. Ianya juga digunakan untuk menggambarkan bahawa para pejuang Palestinlah yang ganas, tidak boleh dibawa berunding dan juga pengganas kerana enggan menerima “perdamaian” yang dibawa oleh rejim penjajah berkenaan. Abbas, melalui usaha beliau menggulingkan kerajaan bersekutu pilihan rakyat Palestin dicanangkan oleh media barat sebagai “moderate” dan seorang yang boleh dibawa berunding dan mencintai kedamaian.
Di dalam pertemuan Abbas dan Olmert di Baitul Maqdis beberapa hari yang lalu, rejim penjajah Zionis dengan terang-terang menolak untuk berbincang mengenai persoalan pelarian Palestin dan juga isu sempadan negara Palestin di mana termasuk di dalamnya isu Baitul Maqdis yang terdapat di dalamnya Masjid al-Aqsa, masjid ketiga suci umat Islam. Kedegilan mereka itu bagaikan disambut gembira oleh Abbas yang telah dipaksa untuk menyetujui tawaran rejim Zionis tersebut untuk membantu mereka menghapuskan para pejuang Palestin keseluruhannya. Niat jahat rejim penjajah tersebut telah nampak dengan jelas, namun apakah Abbas gagal memahaminya?
Tidak hairanlah tindakan Abbas itu telah dikritik hebat oleh para ahli politik Palestin dari semua fraksi, termasuk rakan-rakan beliau di dalam Fatah sendiri. Sesetengah pihak pula mendesak agar Abbas meletakkan jawatan kerana beliau telah hilang akal. Terdapat juga dari kalangan rakyat Palestin yang menggesa agar Abbas meletakkan jawatan kerana beliau bukan lagi mewakili rakyat Palestin, tetapi lebih mewakili AS dan Israel. Malangnya suara-suara mereka hanya berkumandang di dalam media-media Palestin ataupun media-media alternatif sahaja tanpa dapat melepasi media barat yang jelas menyokong Abbas.
Tindakan Abbas itu tidak lebih membangkitkan kemarahan rakyat Palestin berbanding dengan ugutan beliau ke atas para pejuang Palesitn dan juga para pemimpin kerajaan bersekutu pilihan rakyat yang telah beliau gulingkan. Sejurus pulang dari rundingannya dengan Olmert, beliau dengan bangganya telah menggugut para pejuang dan juga pemimpin rakyat Palestin yang tidak sehaluan dengannya: “Mereka menempah maut dengan menggali kubur dengan tangan mereka sendiri”.

Kenyataan tersebut telah membuatkan pihak HAMAS, yang mewakili rakyat dan para pejuang Palestin dari pelbagai peringkat dan fraksi, membuat kenyataan media menegur Abbas. Antara lain mereka mengingatkan Abbas kepada permuafakatan dan janji-janji untuk setia dan bersama dengan pihak HAMAS di Kaherah dan juga di Mekah. Mereka juga menggingatkan Abbas agar kembali kepada rakyat Palestin, mengikuti lunas undang-undang, menghormati pilihan rakyat dan tidak berterusan menjadi boneka AS dan rejim penjajah Zionis.











