Lumut, 17 januari 2009 - Pelajar-pelajar Sekolah Menengah Pangkalan TLDM Lumut Perak, yang majoritinya merupakan anak-anak pegawai dan anggota tentera laut, sayu melihat tayangan video yang memaparkan penganiayaan ke atas penduduk Palestin oleh keganasaan dan kekejaman rejim teroris Israel.
Sekretariat HALUAN Palestin Negeri Perak yang diketuai oleh Encik Kamarudin Bin Salim dialu-alukan oleh Pengetua Sekolah Menengah Pangkalan TLDM Mejar (B) Jamaluddin Bin Mamat bersama guru-guru berserta dengan 600 orang pelajar sekolah berkenaan. Program bermula pada jam 8.30 pagi dengan di dahului dengan Taklimat Pengenalan HALUAN oleh Encik Mohammad Izwan Bin Mohammad Aminuddin selaku Setiausaha Kerja HALUAN Perak. Taklimat berkisar dengan latar belakang dan aktitivi-aktiviti yang dijalankan oleh HALUAN.
Satu ceramah yang bertajuk Perjuangan Palestin telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Rahimi Bin Hj Abd. Rahman sejurus selepas taklimat tersebut. Bahan yang dihidangkan di dalam ceramah amat menyentuh hati dan terkesan sehingga sebahagian daripada pelajar dan guru-guru menitiskan air mata menahan sebak. Gambar-gambar yang dipaparkan juga cukup menyentuh perasaan mereka. Rata-rata bahan sejarah yang disiarkan di dalam ceramah berkenaan berjaya memberi kefahaman dan kesedaran.
Majlis diakhiri dengan penggulungan oleh pengetua sekolah Mejar (B) Jamaluddin Bin Mamat dan seterusnya melancarkan Tabung Palestin peringkat sekolah berkenaan.
InsyaAllah dengan usaha sekolah melancarkan tabung seperti ini akan dapat melahirkan generasi yang prihatin dan mulia, yang akan menabur kebaikan kepada keamanan dan kesejahteraan sejagat.
Sekretariat HALUAN Palestin sentiasa berharap agar murid-murid sekolah diberikan penjelasan yang sebenar tentang permasalahan Palestin. Permasalahan ini akan berterusan dalam jangka masa yang sangat panjang, sebagaimana ianya masih lagi genting dan berterusan sejak lebih 60 tahun yang lalu apabila Israel mula mendirikan kerajaan mereka di atas bumi Palestin yang diduduki pada tahun 1948. Dengan senario sebegini, murid-murid sekolah merupakan generasi yang akan terus berhadapan dengan ancaman perancangan jangka masa panjang rejim Zionis.










