20 November 2009, PAYA BESAR, KUANTAN - Pengetua dan guru-guru sekolah Sekolah Menengah Paya Besar Kuantan telah mengadakan langkah bijak mengakhiri sesi persekolahan tahun 2009 dengan mengadakan ceramah kesedaran mengenai gempabumi di Padang, Sumatera, Indonesia. Inilah sekolah menengah pertama yang telah menjemput pihak HALUAN berkongsi pengalaman dengan pelajar-pelajarnya.
Ceramah yang diadakan di surau sekolah tersebut telah dihadiri oleh semua pelajar kecuali pelajar tingkatan 5 yang sedang menduduki peperiksaan SPM. Menurut guru penyelaras program, Ustazah Norihan bt Ahamid, tujuan pihak sekolah mengadakan ceramah ini adalah untuk memberi informasi sebenar mengenai peristiwa yang berlaku di samping memberi pengajaran kepada pelajar-pelajar tentang hikmah dan iktibar di sebalik peristiwa ini.
Pihak sekolah melalui Persatuan Bina Insan dengan kerjasama Unit Kaunseling sekolah telah mengambil inisiatif menjemput pihak HALUAN Pahang untuk berkongsi pengalaman bersama pelajar mereka. Ceramah telah disampaikan oleh Sdr Abd. Bashir Abd. Ghani diiringi dengan tayangan multi-media serta foto-foto peristiwa yang menarik. Sambutan dari pelajar-pelajar dan guru-guru adalah menggalakkan di mana mereka berpeluang mendengar secara langsung pengalaman misi bantuan kemanusiaan yang telah dijalankan oleh pihak HALUAN.
Fokus kepada ceramah dan tayangan ini adalah untuk memberi kesedaran kepada pelajar bahawa gempabumi yang berlaku adalah di bawah kekuasaan Allah yang merupakan ujian kepada penduduk supaya mentaati Allah dalam kehidupan mereka. Tayangan yang memaparkan kemusnahan masjid, rumah-rumah serta tertimbusnya kampung adalah gambaran bahawa manusia perlu sedar bahawa Allah Maha Berkuasa menjadikan sesuatu. Manusia perlu muhasabah diri dengan peristiwa gempa ini, supaya ianya akan dapat menginsafkan mereka bahawa Allah murka kepada hambaNya yang menyisihkan agama dalam kehidupan mereka. Bilamana masjid dan mursola dibiarkan dan tidak dimakmurkan, azan sudah tidak dikumandangkan di masjid dan manusia sudah leka dalam kehidupan duniawi, maka Allah hantar gempa agar mereka kembali kepangkal jalan yang lurus.
Ceramah juga mengajak pelajar-pelajar menyedari bahawa mangsa yang ditimpa gempa itu adalah saudara seIslam yang wajib dibantu. Mereka kini hidup dalam keadaan serba kepayahan, penyakit, kemiskinan, hilang tempat tinggal, hilang pekerjaan, kematian keluarga tersayang dan seribu-satu macam penderitaan. Lebih parah lagi bilamana mereka berhadapan dengan usaha-usaha terancang pihak misionari untuk memurtadkan mereka dan anak-anak mereka di sebalik bantuan kemanusiaan yang di hulurkan.
Alhamdulillah, kesedaran guru-guru dan pelajar SMK Paya Besar sungguh tinggi bilamana kutipan derma yang diadakan semasa ceramah berlangsung berjaya mengumpul sebanyak lebih RM 900.00. HALUAN Pahang begitu kagum dengan kesungguhan pihak sekolah dan pelajar-pelajar di sini. Suatu ketika dahulu semasa isu serangan besar-besaran Israel ke atas Gaza meletus, pihak sekolah juga telah menjemput HALUAN Pahang untuk menyampaikan ceramah berkaitan isu Palestin. Kutipan yang diterima hasil sumbangan pelajar-pelajarnya pada ketika itu juga amat menggalakkan, di mana kutipan mencecah lebih RM 3000.00.
Mengakhiri ceramah, Sdr Abd. Bashir mengingatkan pelajar-pelajar lelaki dan perempuan agar jangan sekali kali cuai terhadap perintah solat dalam hidup seharian. Pengalaman beliau semasa berada di bumi Padang mengambarkan bahawa bilamana solat diabaikan maka seolah-olah izinlah bencana dari Allah ditimpakan keatas mereka yang lupakan Allah. Inilah ujian dan peringatan yang sangat berharga untuk dijadikan ikhtibar bagi semua orang Islam.
Ceramah berakhir jam 12.00 tengahari dengan penyampaian sumbangan derma mangsa Padang dari pihak sekolah dan pelajar-pelajar kepada pihak HALUAN Pahang. Syabas dan tahniah diucapkan kepada Pengetua dan pelajar-pelajar SMK Paya Besar.










