RAMALLAH, Tebing Barat – 19 Julai 2007. Rejim Zionis Israel telah membebaskan seramai lebih 250 orang tawanan Palestin pro-Fatah, dalam cubaan untuk menaikkan nama dan kedudukan Presiden Mahmoud Abbas yang kini sedang berhadapan dengan konflik politik. Pembebasan itu merupakan hadiah kepada usaha Presiden pihak berkuasa Palestin (PA) menjatuhkan kerajaan bersekutu yang dipilih oleh rakyat Palestin secara sah, pimpinan HAMAS.
Sebelum ini, seorang pemimpin Fatah, Zeyad Abu Ain, mendakwa bahawa seramai 30 orang daripada tawanan yang dibebaskan adalah daripada Hamas. Namun, setelah diperiksa senarai nama mereka yang dibebaskan, ternyata tidak seorangpun daripada mereka yang dibebaskan telah ditahan atau dipenjara kerana terlibat dengan aktiviti-aktiviti Hamas. Menurut jurucakap Hamas, Sami Abu Zuhri, dakwaan itu hanyalah semata-mata bertujuan menutup malu Presiden Abas, memandangkan kesemua mereka yang dibebaskan adalah daripada golongan Fatah.