HALUAN Pahang terus giat mengadakan program siri roadshow ceramah misi bantuan kemanusiaan gempa bumi Padang, Sumatera bertujuan menyebarluaskan maklumat kepada masyarakat mengenai peristiwa ini dan pengajaran yang harus diambil. Jemputan dari beberapa pihak khususnya masjid dan surau adalah menggalakkan dan program ini akan diteruskan semula selepas hariraya qurban.
Sehingga kini HALUAN Pahang telah mengadakan sebanyak 11 sesi ceramah berkenaan di sekitar daerah Kuantan. Jumlah kutipan yang berjaya dikutip dan yang diterima dari beberapa pihak telah mencecah sebanyak lebih RM 10,000.
Menurut YDP HALUAN Pahang, Tg Abd Rashid b Tg Othman, HALUAN telah menghubungi beberapa pihak pengurusan masjid dan surau untuk memohon kebenaran mengadakan ceramah dan memberi peluang kepada pihak HALUAN berkongsi pengalaman dan ikhtibar dengan ahli jemaah.
Siri roadshow ceramah berkenaan bantuan misi kemanusiaan di Padang, Indonesia yang terkini telah diadakan di Masjid Besar Muadzam Shah, Rompin, pada 25 November 2009. Pihak masjid bersama ahli jemaahnya telahpun membuat kutipan awal bagi membantu mangsa gempabumi di Padang melalui tabung-tabung yang diujudkan di masjid tersebut.
Alhamdulillah pada malam ceramah khas tersebut Tuan Qadi Muadzam Shah telah menyerahkan sumbangan derma dari orang ramai kepada wakil HALUAN, Sdr Abd. Bashir B Abd. Ghani, sebanyak RM 4,800.00. Sumbangan yang diterima ini adalah yang tertinggi sehingga kini.
HALUAN merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada pihak Jawatankuasa Masjid Besar Muadzam Shah dan Tuan Qadi Muadzam Shah kerana berjaya mengumpul derma sebanyak itu untuk disumbangkan kepada mangsa gempa di Padang. Kita berharap lebih ramai lagi masyarakat dapat memberi sumbangan kepada Tabung Bantuan yang diujudkan oleh HALUAN bagi menyalurkan terus bantuan kepada saudara kita di sana.
Sumbangan boleh disalurkan melalui
Tabung Kemanusiaan HALUAN atas nama ”HALUAN”
Bank Islam Malaysia Berhad
Nombor akaun 14-023-01-002 571-8










