Goncangan gempa bumi di Padang, Sumatera Barat yang berlaku pada 30 September 2009 memusnahkan kebanyakan rumah dan menimbus ratusan orang di bawah runtuhan bangunan dan tanah. Bukan sekadar runtuhan bangunan dan kematian, kejadian ini turut menghancurkan dan melumpuhkan kehidupan masyarakat Sumatera Barat. HALUAN merupakan antara NGO yang bergegas menghulurkan pelbagai bantuan termasuklah dari segi perubatan dan rawatan trauma kepada masyarakat Padang yang menjadi mangsa tragedi tersebut.
Berikutan itu juga, satu ceramah, tayangan dan kutipan dana bantuan untuk membantu mangsa gempa menghadapi musibah ini telah anjurkan di Masjid Bandar Mas, Kota Tinggi. Ceramah yang diadakan pada 27 Disember 2009, usai solat maghrib dan bersambung hingga selepas isya’ ini telah disampaikan oleh Dr Hj Baharuddin Suri, iaitu ketua Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) Johor merangkap ketua Biro Misi Kemanusiaan HALUAN Johor. Ceramah seumpamanya yang pertama kali disampaikan di sini, telah berjaya menarik perhatian hadirin untuk menghayati penderitaan sebenar yang dialami oleh mereka di tempat bencana, bukan sekadar penderitaan dalam bentuk kehilangan tempat tinggal atau fizikal malah kekuatan akidah mereka turut diuji.
Di awal penyampaian beliau, Dr Hj Baharuddin telah memperkenalkan HALUAN kepada hadirin sebagao sebuah NGO Islam yang bergerak dalam masyarakat melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuklah misi kemanusiaan, aktiviti motivasi dan kaunseling, aktiviti korban, bantuan kepada orang asli dan lain-lain. Penyampaian serta tayangan mengenai kisah masyarakat Padang semasa dan selepas kejadian gempa, serta tayangan gambar yang memaparkan pelbagai penderitaan dialami oleh mereka amat meruntun hati bagi sesiapa yang melihatnya. Walaupun setelah hampir 3 bulan kejadian gempa berlalu, hakikatnya masyarakat di sana masih memerlukan bantuan serta sokongan dari segi perubatan, kewangan, rawatan trauma serta bantuan saudara seIslam bagi mempertahankan akidah memandangkan pelbagai NGO bukan Islam masih lagi aktif menghulurkan bantuan serta berusaha menyelewengkan akidah umat Islam di sana. Beliau turut menekankan betapa perlunya kehadiran lebih banyak NGO-NGO Islam membantu mangsa-mangsa gempa berhadapan dengan serangan aqidah yang berterusan.
Turut menarik perhatian hadirin apabila mengetahui beratus buah masjid dan surau di sana rosak akibat gempa dan terdapat kubah yang rebah dan menyembah bumi dalam keadaan menghadap kiblat. Masyarakat di sana mengakui, kebanyakan masjid adalah lengang, dan solat 5 waktu tidak dihidupkan malah gagal berfungsi sebagai pusat penyebaran ilmu dan kegiatan dakwah. Tegas Dr Hj Baharuddin lagi, sebagai pengajaran dari kejadian itu, masjid dan surau mesti diimarahkan setiap waktu, bukan sekadar untuk menunaikan solat Jumaat atau pada sambutan-sambutan tertentu sahaja.
Ceramah yang berakhir pada kira-kira jam 8.45 malam ini telah membuka mata masyarakat setempat bahawa bencana gempabumi di Padang, Indonesia tersebut bukan hanya kejadian bencana biasa, malah ia juga adalah amaran kemurkaan Allah kepada suatu masyarakat akibat kelalaian manusia itu sendiri.
Di akhir majlis, satu tabung membantu mangsa gempa bumi telah dilancarkan. Dr Haji Baharuddin turut mengalu-alukan semua hadirin, terutamanya yang golongan belia, untuk bersama menyertai Sukarelawan Haluan. Dalam masa yang sama pihak pentadbiran serta AJK masjid turut mengambil kesempatan mangalu-alukan kerjasama bersama HALUAN untuk mengadakan aktiviti kemasyarakatan seperti kem motivasi belia serta aktiviti-aktiviti masjid di masa akan datang.
____________
Laporan disediakan oleh Dr Izyani Hussin, ahli Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) Johor, yang juga merupakan seorang Pegawai Perubatan Kesihatan, Bandar Mas, Kota Tinggi. Beliau merupakan seorang relawan KKH yang membantu mangsa-mangsa gempa di Padang Pariaman, Sumatera Barat.










