Khidmat HALUAN

E-mail Print PDF

Sebagai memenuhi motto HALUAN "berakhlak, mendidik dan berbakti," perhatian diberikan kepada usaha-usaha yang merangkumi penambah-baikan masyarakat dalam pendidikan, sosial dan budaya hidup. Semua program-program dan aktiviti tersebut dirancang dan dilaksanakan dengan bersandarkan kepada akhlak Islam yang mulia dan terpuji. Justeru diharapkan dengan usaha-usaha ini akan lahirlah masyarakat yang terdidik dengan pembangunan yang seimbang dan cemerlang dari segi akhlak, ilmu dan budaya.

Berikut adalah antara program-program atau aktiviti-aktiviti yang diberi tumpuan oleh HALUAN:

1. Mengurus Kebajikan Anak Yatim & Fakir Miskin

Selain dari mengurus dan mengendali asrama-asrama penginapan anak-anak yatim dan miskin, HALUAN juga mengadakan program-program berkala untuk membantu golongan ini di hampir semua cawangan negeri, terutamanya menjelang musim perayaan.

Sehingga kini, terdapat dua buah asrama anak-anak yatim dan fakir miskin yang dikendalikan HALUAN, iaitu:

  1. Asrama HALUAN Penyayang di Bukit Naga, Shah Alam, dan
  2. Asrama HALUAN Penyayang di Langkawi, Kedah Darulaman.

HALUAN juga menjalin kerjasama dengan beberapa buah pusat penempatan anak yatim lain supaya dapat mengurus kebajikan dan memberi pendidikan yang lebih menyeluruh melalui Gabungan Anak-anak Asnaf Malaysia (ANAS.) Pusat-pusat tersebut termasuklah:

  1. Asrama Nurhikmah Kajang, Selangor,
  2. Asrama Limpahan Kasih Puchong, Selangor
  3. Asrama Al Amin, Parit 5 Teluk Intan, Perak
  4. Asrama Taufik Islami, Kelang dan
  5. Asrama Darul Fuqaha, Bangi.

ANAS memberi tumpuan khas kepada projek-pojek pembangunan pendidikan secara terancang untuk penghuni asrama-asrama tersebut. Dengan program-program yang dirancang melalui ANAS, HALUAN menyasarkan objektif-objektif berikut:

  • Memperkukuhkan pendidikan anak-anak ini melalui modular latihan motivasi dan kemantapan belajar secara terancang.
  • Membina tahap keyakinan diri dan minat belajar di kalangan anak-anak ini.
  • Membina akhlak dan jati diri yang mantap di kalangan anak-anak ini.

HALUAN juga mengadakan program-program "kampung angkat" sebagai usaha untuk membantu masyarakat yang miskin dan memerlukan bantuan, terutama di kawasan luar-bandar.

2. Cakna Golongan Terbiar & Bermasalah

Golongan terbiar dan tertindas merangkumi ibu-ibu tunggal, anak-anak yang ditinggalkan dan juga masyarakat Islam yang tertindas di daerah-daerah serantau.

HALUANITA Perak menubuhkan sebuah pusat penginapan sementara mangsa-mangsa dera dan terbiar di Ipoh.

HALUAN juga mengadakan program tahunan qurban Aidil Adha di Kemboja dan Vietnam sebagai membantu masyarakat Islam yang tertindas di sana. Program Qurban Idil Adha di Kemboja adalah merupakan program tahunan sejak tahun 2001 di dua buah perkampungan Islam, iaitu Battambung (berhampiran sempadan Kemboja/Thai) dan Chroy Metrey (berhampiran Phonm Penh). Program ini adalah usahama antara HALUAN dengan Mufti Kemboja Sahibus Samahah okhna (Datuk) Hj Kamaruddin Yusof. Di samping itu, HALUAN juga mengambil inisiatif mengadakan kutipan derma untuk membina sekolah dan menaja seramai 30 orang anak-anak Kemboja belajar di Malaysia.

3. Pendidikan Masyarakat Orang Asli

HALUAN menjalinkan hubungan erat dengan masyarakat Islam dari kalangan Orang Asli dengan mengadakan usaha-usaha strategik seperti projek anak angkat dan juga program lawatan berkala, dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA). Mereka juga diraikan dengan majlis-majlis korban sempena perayaan Aidil Adha.

Seramai 40 anak-anak orang asli dari Sekolah Kebangsaan Pos Raya menjadi anak angkat HALUAN. Anak-anak angkat ini dibimbing melalui berbagai aktiviti pembelajaran dan motivasi anjuran bersama pihak HALUAN Perak, JHEOA, Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan Sekolah Kebangsaan Pos Raya sejak dari peringkat darjah 4.

Sempena hari Eidul Adha yang baru lalu, HALUAN telah menganjurkan Program Ibadah Korban dengan kerjasama pasukan perubatan dari Hospital Orang Asli Gombak, FELCRA dan JHEOA di Perkampungan Orang Asli Bukit Seruk, Pahang.

4. Bantuan Kecemasan dan Misi Kemanusiaan

Secara umumnya, ahli-ahli dan juga relawan-relawan HALUAN ditugaskan membantu mereka yang ditimpa musibah mengikut lokaliti terdekat dengan mereka. Dalam pada itu, HALUAN juga telah menghantar pasukan-pasukan bantuan kemanusiaan kepada mereka yang ditimpa musibah di luar negara, seperti mangsa Tsunami 2004 di Acheh dan Gempabumi di Pakistan/India dan juga Yogjakarta.

Selain dari menunaikan tanggungjawab kepada mereka yang ditimpa musibah, HALUAN juga melihat usaha-usaha bantuan kemanusiaan sebagai peluang yang terbaik untuk melahirkan ahli-ahli dan relawan-relawan yang terlatih dan sentiasa bersedia mencurah bakti dalam apa jua suasana, senang mahupun susah.

Berikut adalah antara misi bantuan kemanusiaan yang pernah dilaksanakan oleh relawan HALUAN:

a) Bantuan Kemanusiaan Tsunami 2004 di Acheh dan Sri Lanka

Seramai 114 sekarelawan dari 14 kumpulan berbeza telah dihantar ke Acheh sejak selepas seminggu bencana tersebut berlaku. Kumpulan pertama telah berlepas pada 8 hb Januari 2005 untuk tempoh seminggu, yang kemudiannya diganti-tugas oleh kumpulan kedua yang baru tiba untuk tempoh seminggu berikutnya, dan seterusnya silih-berganti sehingga kumpulan ke-14.

Antara usaha dan sumbangan para relawan HALUAN adalah termasuk bantuan perubatan dan klinikal, kaunseling dan motivasi kepada mangsa, mencari dan megurus jenazah, mengendali sekolah-sekolah sementara, mendistribusi barang bantuan seperti pakaian, alatan, al-Quran dan surah Yaasin, sejadah, telekong, buku dan alatulis dan makanan. HALUAN juga telah membantu mangsa-mangsa merancang kegiatan ekonomi mereka seperti teknik menanam, menternak ayam, menternak ikan keli, memproses dan mengawet hasil pertanian. Latihan industri keropok juga telah diadakan.

Beberapa kumpulan relawan juga dihantar ke Sri Lanka, meliputi 2 perkampungan yang teruk dilanda tsunami iaitu Hambantota dan Kirinda. Di Hambantota, HALUAN menyampaikan pakej keperluan harian untuk 196 keluarga yang menetap di dalam khemah sementara. Paket makanan yang diberi termasuk tepung, teh, biskut, gula, sabun mandi, sabun basuh dan juga susu bayi.

Di Kirinda, hampir 90% penduduk adalah nelayan. HALUAN telah membiayai kos pembelian jaring-jaring (lobster net) kepada 8 orang nelayan yang terpilih. Alhamdulillah, dengan pemberian jaring itu, mereka sudah boleh turun semula ke laut mencari rezeki. HALUAN juga telah menyampaikan bantuan keperluan harian kepada 100 keluarga di penempatan sementara dan bantuan buku tulis dan alat tulis kepada lebih 100 pelajar di Kirinda Muslim School.

b) Bantuan Kemanusiaan Mangsa Gempabumi di Pakistan 2005

Sebanyak 4 pasukan relawan telah dihantar membantu mangsa gempabumi yang melanda Pakistan akhir tahun 2005. Relawan-relawan HALUAN majoritinya terdiri dari doktor-doktor dan paramedik.

Relawan HALUAN juga menjalankan klinik bergerak ke kawasan-kawasan pergunungan kerana ramai pesakit tidak mampu bergerak untuk mendapatkan rawatan di pusat-pusat yang disediakan. Mereka telah membantu menyediakan kemah perlindungan kepada mangsa-mangsa di samping mengagih selimut dan pakaian sejuk kepada mangsa-mangsa

HALUAN telah dapat kerjasama erat dari Jabatan Keselamatan Negara, di mana relawan-relawan HALUAN telah mendapat kemudahan penerbangan melalui pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia, di samping berkhidmat di hospital-hospital lapangan di bawah kendalian Angkatan Tentera Malaysia. Disamping itu HALUAN telah berjaya menjalin kerjasama erat dengan NGO-NGO tempatan dan antarabangsa yang turut memberi bantuan, antaranya Pakistan Islamic Medical Association (PIMA) dan Japan International Cooperation Agency (JICA.)

c) Bantuan Kemanusiaan Mangsa Gempabumi di Yogjakarta

HALUAN telah menghantar sebanyak 3 kumpulan bantuan kepada mangsa-mangsa gempabumi di Yogjakarta. Sebahagian besar dari relawan HALUAN adalah terdiri daripada doktor-doktor perubatan. Disamping berkhidmat di hospital kendalian Bulan Sabit Merah Indonesia (BSMI), relawan HALUAN juga bekerjasama dengan Muslim Hands International untuk memberikan bantuan paramedik dan mendistribusi barangan bantuan seperti makanan, kemah dan juga hadiah-hadiah seperti buku untuk anak-anak dan al-Quran.

HALUAN turut mengambil kesempatan dengan menghantar 4 orang doktor muda bagi mendapatkan pendedahan dan pengalaman kerja-kerja perubatan dan kemasyarakatan.

5. Kempen Kesedaran dan Membantu Rakyat Palestin

HALUAN memandang permasalahan berkaitan Palestin dan Masjid al-Aqsa sebagai satu perkara yang sangat penting kepada setiap manusia yang inginkan keamanan dan cintakan kemanusiaan, lebih-lebih lagi dari kalangan mereka yang beragama Islam. Kekejaman rejim Zionis Israel ke atas bumi dan rakyat Palestin yang berterusan sejak lebih 60 tahun lalu perlu mendapat perhatian semua lapisan masyarakat supaya satu masa nanti kekejaman itu akan terhapus, dan tidak lagi berulang ke atas mana-mana kelompok manusia.

Untuk tujuan ini, HALUAN menubuhkan sebuah sekretariat yang dipanggil HALUAN Palestin. Antara aktiviti yang dijalankan oleh Sekretariat HALUAN Palestin adalah:

  • Ceramah dan pameran kesedaran kepada masyarakat, termasuk di masjid, surau, sekolah, pejabat dan tempat-tempat awam
  • Menerbitkan bahan bacaan menyentuh permasalahan Palestin
  • Bekerjasama dengan badan-badan kerajaan dan NGO lain yang bekerja atas isu Palestin
  • Menggerakkan usaha mengumpul dana bantuan dan seterusnya menyalurkan bantuan tersebut kepada rakyat Palestin
  • Menjalankan projek pembangnunan semula dan juga jangkamasa panjang kepada rakyat Palestin

Usaha HALUAN Palestin juga telah mendapat pengiktirafan dari kerajaan Malaysia melalui dana pembangunan semula wilayah Gaza di bawah seliaan Wisma Putra.

6. Motivasi Pendidikan & Kekeluargaan

Program motivasi untuk pelajar berbagai peringkat sering diadakan di sekolah-sekolah dan juga kem-kem motivasi. Subjek motivasi meliputi kaedah-kaedah belajar, pengurusan dan juga bimbingan untuk memilih halatuju pengajian tinggi dan kerjaya.

Ceramah dan program kemasyarakatan juga diadakan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat. Contohnya, PEMANGKIN HALUAN di Subang Perdana mengadakan ceramah mingguan kepada ibu-ibu dalam menangani isu pendidikan anak dan kekeluargaan. Ceramah juga disampiakan di jabatan-jabatan kerajaan, syarikat-syarikat swasta dan tempat orang ramai.

HALUAN juga tidak ketinggalan mengadakan roadshow berkenaan tragedi kemanusiaan, seperti pengajaran dari kejadian tsunami 2004 dan permasalahan kekejamahan Israel ke atas rakyat Palestin, sebagai iktibar dan motivasi kepada masyarakat. Bagi pelajar-pelajar remaja yang memerlukan bimbingan dan maklumat untuk meneruskan pengajian, HALUAN juga mengadakan siri ceramah Hijrah Menara Gading secara percuma.

7. Nasihat Kesihatan & Rawatan Perubatan

Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) seringkali mengadakan khidmat pemeriksaan dan nasihat kesihatan kepada masyarakat. Lazimnya, khidmat seperti ini diadakan sempena aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Antara bantuan yang sering diberikan adalah termasuk:

  • bantuan perubatan kepada mangsa-mangsa bencana melalui kerjasama denagn agensi kesihatan dan juga klinik-klinik bergerak,
  • khidmat perubatan percuma kepada masyarakat yang kurang berkemampuan,
    pendidikan perubatan dan kesihatan kepada pelajar-pelajar sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi,
  • ceramah-ceramah kesihatan,
  • penerbitan buletin pendidikan kesihatan dan perubatan untuk masyarakat umum,
  • pengedarkan pamplet dan risalah pendidikan kepada pesakit di hospital, dan
  • menganjurkan bengkel perlaksanaan ibadah semasa sakit.
8. Kaunseling & Nasihat Guaman

Mereka yang mempunyai masalah yang melibatkan isu hal perundangan turut dibantu oleh relawan HALUAN. Relawan-relawan yang terdiri daripada peguam sivil dan juga peguam syariah akan memberi nasihat berkaitan perundangan dan syariah, di samping membantu menyelesaikan masalah dan prosiding mahkamah sekiranya perlu. HALUAN juga menganjurkan seminar asas kaunseling untuk masyarakat.

9. Pembangunan Profesional & Usahawan

HALUAN turut mengadakan program-program bagi golongan profesional, usahawan dan siswazah. Seminar-seminar berkaitan pengurusan dan peluang-peluang perniagaan turut diadakan dengan kerjasama badan-badan kerajaan seperti MARA, MTDC, MITI, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan universiti-universiti tempatan.

Last Updated ( Friday, 29 May 2009 08:20 )  

Tahukah Anda?

Tembok Pemisah yang dibina secara haram di atas bumi Palestin oleh rejim haram Israel adalah sepanjang 730km. Ketinggiannya adalah 8 meter, dua kali ganda ketinggian Tembok Berlin. Kos binaannya adalah US$3.4billion, iaitu US$4.7m per km.

Anda Ingin Menyumbang?

Anda Ingin Menyumbang?  Aktiviti dan program HALUAN bergantung kepada pelbagai bentuk sumbangan dan sukarelawan. Anda boleh turut membantu!


Kelab Kesihatan HALUAN

Kelab Kesihatan HALUAN (KKH)

Kelab HALUAN Fitrah

Kelab HALUAN Fitrah

Kelab Siswa HALUAN

HALUANSISWA

Kelab Remaja HALUAN

Kelab Remaja HALUAN (KeARAH)

Kelab Guru HALUAN

Kelab Guru HALUAN

Pusat Jagaan HALUAN

Pusat Jagaan HALUAN

PEMANGKIN HALUAN

PEMANGKIN HALUAN

Misi Bantuan Banjir 2007

Laporan Misi Bantuan Banjir 2007