Oleh: Zahir Zainuddin
Membaca adalah satu pengalaman yang menyeronokkan terutama bagi kanak-kanak yang berumur tiga hingga lima tahun. Pada peringkat ini, kanak-kanak adalah individu yang paling besar keinginannya untuk mempelajari, mengetahui, meneroka, mencuba dan menyelidik. Keupayaan mereka untuk mempelajari dan mengetahui sesuatu perkara akan bertambah-tambah jika mereka dapat mencuba dengan cepat dan berkesan.
Justeru itu, terdapat kata-kata mutiara yang sangat bererti, "Membaca adalah hak setiap kanak-kanak." Ibu bapa yang gagal menunaikan tanggungjawab menyediakan kemahiran membaca akan melihat anak-anak mereka kelak tertinggal dalam dunia persaingan hari ini. Apatah lagi, pelbagai mata pelajaran dan bahan rujukan di sekolah, maktab hinggalah institusi pengajian tinggi banyak diterbitkan dalam bahasa Inggeris.