Palestin adalah isu yang berterusan, dan saban hari media tidak putus-putus menyiarkan berita perkembangan Palestin. Pada 28 Disember 2008, dunia dikejutkan dengan serangan ganas dan tidak berperikemanusiaan rejim zionis Israel laknatullah terhadap umat Islam di Gaza.
Menyedari hakikat bahawa permasalahan Palestin bukan sekadar isu rakyat Palestin sahaja, bukan juga isu bangsa Arab semata-mata, tetapi ia adalah isu umat Islam sejagat, maka satu ceramah dan tayangan multimedia telah diadakan di Klinik Kesihatan Bandar Mas, Kota Tinggi pada 1 Januari 2009 sempena sambutan Hari As-syura dan bacaan doa selamat bangunan baru. Turut diadakan dalam majlis tersebut adalah tayangan ringkas kejadian gempa bumi di Padang, Indonesia. Ceramah dimulakan selepas solat Isya’ dan disampaikan oleh Dr Hj Baharudin Suri, iaitu Ketua Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) Johor merangkap Ketua Biro Misi Kemanusiaan Haluan Johor.
Majlis sambutan dan ceramah misi kemanusiaan pada malam itu diserikan lagi dengan kehadiran Pengurus Felda dan Pengerusi Jawatankuasa Panel Klinik Kesihatan. Turut hadir adalah Pakar Kesihatan Klinik Kesihatan Bandar Mas, Dr Hanihaselah Mohd Salleh, serta majoriti kakitangan dan keluarga masing-masing.
Antara yang disentuh melalui ceramah tersebut adalah sejarah Palestin, kepentingan Baitulmaqdis kepada umat Islam serta peranan umat Islam dalam membantu menyelesaikan isu Palestin. Paparan video serta gambar-gambar kesengsaraan rakyat Palestin amat menyentuh hati dan ini sudah cukup membuktikan kekejaman serta kezaliman zionis Yahudi yang menganggap nyawa umat Islam tidak bernilai dan mereka diperlakukan sewenang-wenangnya.
Di sebalik penderitaan yang dialami, ternyata semangat juang membara di setiap jiwa-jiwa rakyat Palestin, terserlah melalui penghayatan cara hidup Islam serta kesungguhan mempertahankan tanah air. Malah mereka juga tidak pernah gentar menghadapi musuh-musuh serta lebih rela terkorban syahid daripada menyerah kalah. Pendedahan kejadian sebenar di Gaza ini banyak membuka mata para hadirin berbanding dengan apa yang dipaparkan oleh kebanyakan media antarabangsa yang kebanyakannya merupakan pro-Yahudi yang bijak memanipulasi berita untuk meredakan kemarahan umat Islam terutama sekali mengenai keganasan kejam di Gaza yang berlaku hampir setahun yang lepas.
Kira-kira setengah jam sebelum ceramah berakhir, hadirin juga berpeluang berkongsi pengalaman dengan penceramah yang telah berkhidmat bersama misi kemanusiaan di Padang, Sumatera Barat. Isu penyelewengan akidah oleh NGO bukan Islam menjadi pengajaran besar kepada semua umat Islam agar sentiasa berusaha membantu meyelamatkan mangsa-mangsa gempa dari serangan aqidah yang berterusan. Tidak terkecuali, pengimarahan masjid dan surau dalam setiap waktu turut ditekankan dalam kandungan ceramah , melalui kejadian gempa yang telah merosakkan beratus-ratus masjid dan surau, seolah-olah amaran Allah apabila tiada penghayatan dalam pembinaan masjid atau surau.
Ceramah yang berakhir pada kira-kira jam 10.30 malam sarat dengan pelbagai iktibar melalui isu Palestin mahupun kejadian gempa bumi di Padang. Semoga pendedahan dan paparan melalui ceramah ini bukan sahaja mengajak para hadirin untuk berinfak, tetapi penuh dengan nasihat agar umat Islam untuk kembali menghayati kepada ajaran Islam yang sebenarnya sebelum diuji dengan bencana yang tidak disangka-sangka.
Tabung sumbangan Misi Kemanusiaan HALUAN telah diedarkan semasa sesi ceramah berjalan, untuk para hadirin membuat sumbangan membantu HALUAN melaksanakan misi kemanusiaan seterusnya. Para hadirin juga diberikan borang sumbangan untuk sama-sama membina Hospital Pakar Al-Quds di persempadanan Palestin yang masih dalam proses pembinaan dan memerlukan perbelanjaan besar.
____________
Laporan disediakan oleh Dr Izyani Hussin, ahli Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) Johor, yang juga merupakan seorang Pegawai Perubatan Kesihatan, Bandar Mas, Kota Tinggi. Beliau merupakan seorang relawan KKH yang membantu mangsa-mangsa gempa di Padang Pariaman, Sumatera Barat.










