Terharu, pilu dan simpati. Itulah yang dapat dilihat dari riak air muka kira-kira 300 jemaah, muslim dan muslimat, di Masjid Jamek Bandar Baru Uda (BBU,) Johor Bahru pada hari Sabtu 14 November, selepas solah Maghrib. Gambaran sebenar peristiwa dahsyat gempabumi berukuran 7.6 skala ritcher yang melanda Sumatera Barat dibentangkan menggunakan kemudahan multimedia oleh seorang relawan HALUAN yang juga Ketua Biro Bantuan Kecemasan dan Kemanusiaan HALUAN Johor, Tn Hj Dr Baharudin Suri.
Pelbagai foto yang memaparkan kerosakan di Kota Padang dan kawasan pendalaman Pariaman membuatkan hadiran tergamam, dan pembentangan bertambah menarik lagi apabila beliau menceritakan pengalaman berada bersama mangsa-mangsa musibah tersebut.
Di awal ceramah beliau, Tn Hj Dr Baharudin Suri terlebih dahulu menzahirkan ucapan jutaan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Pentadbiran Masjid Jamek BBU, khususnya kepada Tuan Pengerusinya Ust Tuan Hj Sulaiman Sujak, kerana sudi memberi kebenaran kepada HALUAN Johor menyampaikan ceramah multi media dan mengadakan kutipan sumbangan pada malam tersebut. Beliau juga mengambil kesempatan memperkenalkan HALUAN, menjelaskan visi, misi, matlamat penubuhan serta pelbagai aktiviti kemasyrakatan yang telah dilaksanakan oleh HALUAN.
Musibah gempabumi yang berlaku beberapa kali yang dialami oleh penduduk Padang dan Pariaman bukan sahaja menjadi ikhtibar kepada mereka tetapi juga seolah-olah dirasai oleh jemaah yang hadir. Apabila penceramah mengaitkan detik-detik berlakunya gempa dengan beberapa ayat Al Qur'an, ramai hadirin yang tersentak akan kejadian tersebut yang sebenaranya menunjukkan kekuasaan dan kebesaran Allah, Maha Pencipta dan Maha Berkuasa. Perbezaan dua senario, keruntuhan bangunan-bagunan terpilih di Kota Padang dan kerosakan teruk banyak masjid dan surau di pendalaman Pariaman membuka minda para hadirin akan sebab musabab berlakunya musibah besar tersebut.
Selain menjelaskan peranan Relawan HALUAN sejak 7hb Oktober di Padang Pariaman dalam memberi rawatan perubatan dan mengadakan sesi-sesi kaunseling kpd anak-anak, Tn Hj Dr Baharudin Suri juga menegaskan peranan NGO-NGO bukan Islam yang mempunyai serampang dua mata. Para hadirin dan hadirat dijelaskan mengenai peranan NGO-NGO bukan Islam yang mempunyai visi dan misi untuk menyelewengkan aqidah umat Islam yang menjadi mangsa gempabumi.
Beliau juga menegaskan betapa perlunya kehadiran lebih banyak NGO-NGO Islam yang bukan sahaja membantu keperluan fizikal tetapi yang lebih penting bersama berganding bahu meyelamatkan mangsa-mangsa gempa dari serangan aqidah yang berterusan. Menurut belau lagi, NGO-NGO Islam seperti HALUAN memerlukan sumbangan dana dari umat Islam di Malaysia untuk meneruskan program misi kemanusiaan Padang. Tambah beliau lagi, HALUAN juga mengalu-alukan semua hadirin dan hadirat terutamanya yang muda belia untuk bersama menyertai Sukarelawan Haluan.
Sebelum menamatkan ceramah dan tayangan multimedia pada malam tersebut, Dr Hj Baharudin Suri melahirkan harapan agar para jemaah yang hadir dapat mengambil ikhtibar dari musibah yang menimpa bumi saudara seIslam di Sumatera Barat, dan masa yang sama sudi menghulurkan sumbangan dana secara berterusan dengan penuh keikhlasan dan keinsafan demi membantu saudara se Islam khasnya dalam menangani kemurtadan.
Pada malam itu sejumlah kutipan telah dapat dikumpul, dan ada juga sebilangan hadirin yang menyatakan hasrat untuk membuat sumbangan terus ke akaun misi kemanusiaan HALUAN. Tuan Setiusaha masjid telah mengambil lebih dari 20 borang sukarelawan HALUAN untuk lengkapkan oleh sukarelawan masjid yang sudah sedia ada.










