Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
Puteri-puteri Islan yang ibu kasihi kerana Allah, dalam kegawatan suasana yang kita hadapi, mari sama-sama kita fikirkan dengan tenang…
Untuk apa kita dilahirkan?
Renungi maksud firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 30:
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat; sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi.”
Ayat tersebut menjelaskan hakikat kita dilahirkan sebagai seorang pemimpin. Samada kita lahir sebagai lelaki maupun perempuan. Sebagai contoh, ada yang menjadi pemimpin dalam kelas di sekolah. Ada yang menjadi pemimpin kesatuan. Ada yang setelah dewasa menjadi pemimpin dalam masyarakat. Namun sebenarnya, kita adalah pemimpin kepada diri kita sendiri.
Puteri-puteri Islam yang gigih!
Sebagai pemimpin, sewajarnyalah kita berjiwa gagah dan cekal. Juga tersangat penting kita mempunyai hati yang teguh. Oleh itu di dalam kesempatan kali ini ingin ibu mengajak kalian menghayati dan menelusuri perjalanan pembinaan keteguhan hati yang telah direalisasikan oleh Asma’ binti Abu Bakar, puteri kepada khalifah pertama Islam…
Kegigihan sepanjang hayat yang sentiasa mengutamakan keredhaan Allah.
Dari kecil lagi Asma' telah dididik dengan baik oleh bapanya Saidina Abu Bakar. Berkorban sememangnya telah menjadi kebiasaan dalam rumahtangga ayahandanya. Sewaktu kedatangan Islam, Asma' menyertai barisan awal memeluk Islam. Beliau tersenarai sebagai orang ke 18 memeluk Islam. Suasana keimanan yang mendalam yang disuburkan oleh ayahandanya, telah membentuk kepribadiannya menjadi muslimah yang sentiasa bermurah hati, berani dan mempunyai keazaman yang tinggi.
Asma' binti Abu Bakar mula terkenal dalam sejarah Islam semenjak tali pinggangnya dibelah dua untuk mengikat bekalan yang dihantar kepada Rasulullah s.a.w. Peristiwa itu bermula bila ayahandanya menjadi teman Rasulullah berhijrah ke Madinah. Dalam perjalanan hijrah ini, Rasulullah dan Saydina Abu Bakar bersembunyi dalam sebuah gua di bukit Tsuur. Oleh kerana Asma' tidak mempunyai tali untuk mengikat bekalan yang dibawa, beliau telah mengoyakkan tali pinggangnya menjadi dua. Satu untuk mengikat bekal makanan, dan satu lagi untuk menikat bekas simpanan air. Daripada peristiwa itulah, beliau beroleh gelaran Dzatin-Nithaqain yang bermakna, gadis yang mempunyai dua belahan tali pinggang.
Gadis yang gigih ini telah melalui perjalanan yang jauh lagi sukar diantara Makkah dan Bukit Tsuur. Seorang pemuda yang gagah perkasa sekalipun belum pasti mampu melalui lorong berliku dengan intaian musuh merbahaya. Hanya dengan bekalan iman mendalam serta bermatlamat mengharap keredhaan Allah, telah memberi dorongan yang kuat kepada Asma'. Kaki dihayun pantas dan penuh yakin , membawa bekalan dan berita kepada Rasulullah dan ayahandanya.
Dalam perjalanan pulangnya, sebelum sempat tiba di rumah, Asma' telah dihalangi oleh beberapa orang Quraisy. Mereka diketuai oleh Abu Jahal bertujuan untuk mengetahui di mana Rasulullah bersembunyi. Keengganan Asma' memberi jawapan, membuat Abu Jahal naik berang. Dia menampar Asma' dengan kasar menyebabkan terpelanting anting-anting Asma'. sakit kesan tamparan Abu Jahal itu terus dirasakan Asma' beberapa hari. Juga membuat dia tidak dapat melupakannya seumur hidup.
Walaupun terpaksa menghadapi ancaman lebih besar dari yang tersebut, Asma' tetap tidak akan membocorkan persembunyian Rasulullah s.a.w. Meski pun nyawanya terancam, beliau lebih mengutamakan kebenaran dan keredhaan Allah.
Dalam kehidupan Asma' seterusnya, beliau tetap sentiasa rela berkorban. Ini jelas terbukti bilamana beliau telah menerima Az-Zubair al-Awwam sebagai suaminya. Zubair merupakan pejuang Islam yang miskin harta tetapi kaya semangat perjuangan. Asma' sering ditinggalkan sendirian.
Untuk memenuhi keperluan asas hidupnya, Asma' mesti bekerja keras. Dia terpaksa mengusahakan kebun tamar dan binatang ternakan suaminya secara sendirian. Dalam melakukan kerja-kerja bertani tersebut beliau tepaksa berulang alik sejauh tiga batu setiap hari.
Dia sendiri mengisar tepung, mengangkat air dan memberi makan kuda, tapa bantuan sesiapa pun. Asma' sedikit pun tidak mengeluh dengan kesukaran yang dilaluinya. Semuanya pada aggapannya hanyalah sementara. Sebagai ujian terhadap keimanan yang telah dibina. Beliau mengharapkan kesenangan yang kekal abadi di akhirat kelak seperti maksud firman Allah;
"Katakanlah kesenangan di dunia ini hanya sebentar dan akhirat itu lebih baik untuk orang-orang yang bertaqwa".(QS An-Nisa':77)
Sifat kegigihan dan keberanian Asma' tidak hanya menyeri dirinya, malah telah diwariskan kepada puteranya Abdullah bin Zubair. Abdullah pernah menjadi ketua di Mekah dan Madinah agak lama hingga berlaku rampasan kuasa dan kemenangan Bani Umaiyah. Abdullah menjadi buruan Al-Hajaj,panglima perang Bani Umaiyah. Abdullah dikurung dan dikepung, ramai pengikutnya lari dan mati. Dalam keadaan genting ini Abdullah meminta pendapat ibunya; samaada terus berjuang atau menyerah kalah. Dengan tegas Asma' menasihati anaknya; "Wahai anakku, jika engkau mengetahui dirimu berada di pihak kebenaran, maka teruslah menegakkan kebenaran itu sekali pun engkau terpaksa mati kerananya. Sesungguhnya mati itu lebih mulia daripada hidup yang terpaksa tunduk kepada kezaliman". Semasa kata-kata ini diucapkan oleh Asma', usianya telah mencecah 100 tahun. Meskipun fizikalnya telah uzur, tetapi semangatnya tidak pernah padam. Meski pun menghadapi berbagai cabaran zaman, Asma' tetap gigih mengharapkan keredhaan Allah. akhirnya dia pulang ke rahmatullah pada tahun 73 Hijrah dalam keteguhan iman yang sentiasa segar. semoga Allah meredhainya.
Wahai barisan remaja harapan watan!
Bagaimana tanggapan kalian...? Bukankah usia remaja merupakan usia paling tangkas dan segar,
sesuai berjuang dan berkorban!.
Berkorban melaksanakan amar maaruf nahi mungkar.
Berjuang mengalahkan bisikan syaitan dan hawa nafsu yang menipu.
Ingatlah selalu maksud firman Allah dalam surah Al-Faathir , ayat 5:
"Hai manusia sesungguhnya janji Allah adalah benar, maka sekali-kali janganlah kehidupan dunia memperdayakanmu dan sekali-kali janganlah orang yang pandai memperdayakan kamu tentang Allah".
Wassalam.
Ummu Annas.










