Hati Yang Menang

E-mail Print PDF

Limpahan rahmat dan barakah Ilahi untuk puteri-puteri harapan!

Sentiasalah yakin pertolongan  Allah sentiasa hampir kepada hamba-hambaNya yang bersungguh-sungguh berusaha menyebarkan kebaikan . Usah dibiarkan lintasilah halangan “wahan” – takut mati dan cinta dunia, memperdayakan diri kalian...

Terus melangkah penuh semangat!
Sebar-luaskan sebaik mungkin tingkah laku penuh hikmah dalam bergaul dengan manusia.

Anak-anakku yang dikasihi dengan kasih sayang Islam,
Allah telah ciptakan manusia dengan sebaik-baiknya serta disediakan pula dua potensi dalam setiap diri. Potensi untuk menuju taqwa dan potensi untuk melakukan fujur atau kejahatan. Berkaitan hakikat ini, perhatikan maksud firman Allah dalam Surah Asy-Syam ayat 8-9;

“Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasiqan dan jalan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwanya.”

Mari kita singkap satu lembaran kisah silam untuk menjelaskan hakikat ini...
Tersebut sebuah kisah dalam kalangan Bani Israil, terdapat seorang wanita cantik yang menjadi pelacur. Dia sentiasa menghias dirinya dan duduk di dalam bilik yang menghadap jalan. Sesiapa yang lalu di hadapan rumah wanita itu  pasti akan melihatnya dan akan tertarik kepadanya. Suatu hari, lalu seorang abid (ahli ibadah) lalu di hadapan rumah wanita tersebut. Apabila terlihat sahaja wanita tersebut, si abid lantas tertarik kepadanya. Abid berdoa agar Allah menghilangkan perasaan jahatnya tetapi terlalu sukar untuk dia melawan perasaan itu. Hinggakan sanggup si abid menjualkan beberapa helai pakaiannya bagi memperoleh wang untuk diberikan kepada wanita pelacur itu sebagai bayaran. Lalu beliau pergi mendapatkan wanita tersebut untuk memenuhi desakan nafsunya.

Di sini si abid telah diperbudakkan oleh nafsunya. Dia sanggup menuruti arahan fujur (kejahatan). Di tahap ini si abid telah mula mengotori jiwanya. Maka dia berada dalam keadaan rugi.

Setelah si abid berada di dalam bilik si pelacur, dihulurkan tangannya memegang tangan wanita tersebut. Tiba-tiba, gementar tubuhnya dan pucat lesi wajahnya. Dia segera tergambar akan musnahlah segala amal ibadahnya selama ini.

Wanita pelacur itu turut terkejut melihat perubahan pada si abid, “Mengapa engkau tiba-tiba berubah laku?”

Si abid menjawab, “Aku takut kemurkaan Allah. Aku nak keluar dari sini.”

Pelacur itu bertambah hairan, “Belum pernahkah engkau melakukan yang demikian sebelum ini?”

Si abid tegas dengan keputusannya, “Belum, aku akan tetap keluar!” Dia segera keluar dari rumah wanita itu sambil bercucuran air mata dan meletakkan tanah di atas kepalanya.

Wanita itu terpegun melihat gelagat si Abid. Malah timbul rasa keinsafan di hatinya.
 
Pelacur itu menyedari selama ini dia telah lama melakukan dosa terkutuk itu sedangkan dirinya merasa senang tanpa memikirkan kemurkaan Allah. Sebaliknya si abid baru sahaja sekali melakukan kesilapan, begitu sekali takutnya kepada Allah. Sepatutnya si pelacur lebih wajar untuk takutkan Allah kerana telah melakukan dosa-dosa besar. Akhirnya pelacur itu memilih jalan untuk bertaubat. Ditutup pintu rumahnya dan dia menumpukan hidupnya untuk bertaubat dan beribadat.

Di sini desakan taqwa telah berjaya mengalahkan desakan fujur. Iman yang kuat bertindak mengarah nafsu takutkan Allah. Sekali gus iman dan taqwa si abid menonjolkan akhlak mulianya yang mampu menundukkan nafsu liar si pelacur.

Selang tidak berapa lama kemudian, wanita itu bertekad untuk mencari si abid, dengan harapan beliau sudi berkahwin dengannya. Setelah sampai di kediaman si abid, wanita itu membuka tutup mukanya untuk memudahkan abid mengenalinya. Apabila mendapat tahu ada wanita ingin menemuinya, abid keluar dari tempatnya beribadat. Sebaik saja terpandang wajah wanita itu, abid teringat semula peristiwa lalu. Dia menjerit sekuat-kuat hatinya, tidak mahu perkara tempoh hari berulang lagi. Kemudian dia jatuh pengsan dan terus meninggal dunia.

Si abid sebenarnya tergolong sebagai seorang yang beribadah kerana Allah dan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata.  Inilah seperti yang disebutkan oleh sabda Rasulullah SAW yang bermaksud “Barang siapa cinta kerana Allah, memberi sesuatu kerana Allah dan menahan atau enggan memberi pun kerana Allah, maka dialah orang yang telah mencukupkan imannya.” Juga si abid telah bulat tekadnya untuk tidak mengalah kepada hawa nafsu. Sepertimana maksud hadis Rasulullah SAW, “Tiga perkara sesiapa memilikinya nescaya dia akan merasai manisnya iman iaitu orang yang lebih kasih kepada Allah dan Rasul melebihi orang lain, mengasihi orang lain semata-mata kerana Allah dan benci hendak kembali kepada kekufuran setelah Allah menyelamatkannya, seperti benci dicampakkan ke dalam kawah neraka”.

Alangkah terkejut dan sedih wanita itu melihat kematian yang tidak diduga. Dia begitu berharap si abid berkahwin denganya untuk memulakan hidup baru. Wanita itu terus merayu, “Adakah abid mempunyai saudara lelaki yang sudi berkahwin denganku?”  Mereka menjawab; “Ada seorang saudara lelaki abid, tetapi dia sangat miskin.” Wanita itu merayu lagi, “Tidak mengapa dengan kemiskinan itu…saya mempunyai wang untuk keperluan berumah tangga. Saya hajatkan lelaki yang baik.” Setelah itu wanita tersebut berkahwin dengan saudara lelaki abid. Rumah tangga mereka diberkati Allah dengan kelahiran tujuh orang anak lelaki yang kesemuanya soleh. Di sini terbukti beruntung orang yang mengambil langkah membersihkan jiwanya. Wanita tadi juga telah meletakkan  hidupnya menepati hakikat kecintaan kepada Allah. Perasaan takutnya setelah menginsafi dosa-dosanya, mewujudkan pergantungan yang kuat kepada Allah.

Sesungguhnya menjadi sunnatullah setiap kebenaran dapat mengalahkan kebatilan. Akhlak mulia berupaya merubah kehidupan, daripada kegelapan kesesatan kepada cahaya petunjuk yang membahagiakan, di dunia dan di akhirat.

Dari puteri-puteri harapan!,
Berpegang teguhlah dengan pedoman al-quran;

“Serulah manusia ke jalan Rabbmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik. Sesungguhnya Rabbmu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (QS An-Nahl:125)

Berdoalah selalu: “Ya Allah! Tunjukkan daku kepada akhlak yang mulia. Tiada yang menunjukkan jalan kepada akhlak mulia itu melainkan Engkau. Dan hanya Engkau jua yang menjauhkan daku dari akhlak yang buruk.” Amin.

-------------------------------

Tulisan Ummu Anas.

 

Kelab Kesihatan HALUAN

Kelab Kesihatan HALUAN (KKH)

Kelab HALUAN Fitrah

Kelab HALUAN Fitrah

Kelab Siswa HALUAN

HALUANSISWA

Kelab Remaja HALUAN

Kelab Remaja HALUAN (KeARAH)

 

Kelab Guru HALUAN

Kelab Guru HALUAN

Pusat Jagaan HALUAN

Pusat Jagaan HALUAN

PEMANGKIN HALUAN

PEMANGKIN HALUAN

Misi Bantuan Banjir 2007

Laporan Misi Bantuan Banjir 2007