Puteri-puteri Islam sejati!
Perlu diingat, diwajibkan ibadah puasa bagi setiap mukmin adalah untuk tujuan besar;
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (QS Al-Baqarah: 83)
Taqwa itu sesuatu yang besar peranannya dalam kehidupan setiap diri mukmin sepertimana maksud firman Allah dalam surah At-Thalaq: 2-3); “Dan siapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Allah memberi kepadanya jalan keluar dari segala kesulitan dan diberi rezeki dari arah yang tidak diduga.”
Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah SAW ditanya; “Siapakah manusia yang paling mulia?”
Baginda menjawab; “Yang paling bertaqwa.”
Dari Abdullah bin Mas’ud r.a , Nabi SAW mengajarkan doa: “Ya Allah aku mohon kepadaMu hidayah, jiwa yang bertaqwa, kesopanan dan kekayaan.”(HR Muslim)
Sedarilah puteri-puteriku,
Di bulan yang barakah ini, kejahatan berkurangan di muka bumi kerana seluruh kaum muslimin sedang sibuk menunaikan ibadah puasa yang mengekang hawa nafsu.
Syaitan yang sentiasa sibuk menggoda manusia pula telah dirantai sepanjang bulan mulia ini, seperti maksud sabda rasulullah SAW; “Pintu-pintu rahmat di buka, pintu-pintu jahannam ditutup dan syaitan-syaitan dirantai.”
Dalam suasana tenang dan penuh barakah di bulan mulia ini, apa jua usaha untuk mendipsiplinkan diri beribadah kepada Allah akan menjadi lebih mudah. Semestinya kesempatan sedemikian digunakan sebaik-baiknya untuk memperoleh puasa berkualiti.
Dengan natijah puasa berkualiti, nanti kita akan mampu beroleh kekuatan dan ketenangan. Tidaklah jadi seumpama seperti orang dilanda keluh-kesah, kesempitan dan kegoncangan jiwa. Merasa sepi dan tiada keyakinan diri. Hidup mereka hambar dan kosong walaupun dilingkungi kelazatan dan kemewahan. Hanya hamba-hamba Allah yang bertaqwa dan teguh iman sentiasa tabah sewaktu orang lain mengalami kegoncangan jiwa. Mereka penuh yakin pada waktu orang lain berserabut dengan berbagai-bagai keraguan. Mereka mampu bersabar dan berlapang dada ketika orang lain keluh-kesah dan buntu fikiran. Ini disebabkan orang-orang beriman menempuh jalan hidup yang bertepatan fitrah kemanusiaan dan syariat Islam. Renungi maksud firman Allah dalam surah Ar-Ruum ayat 30,
“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah, tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
Puteri-puteri Islam yang tekun beribadah,
Bersungguh-sungguh dalam melaksanakan ibadah puasa dengan sebaik-baiknya benar-benar berkualiti;
Bermula dengan sahur hinggalah kepada berbuka yang teratur dengan baik.
Memersihkan pancaindera dari pandangan terlarang,
Pendengaran kepada perkara tidak berguna,
Perkataan dan tindakan sia-sia.
Kemudian perbanyakkanlah;
Zikir dan doa,
Tingkatkan ibadah malam,
Bersungguh-sungguh menghidupkan 10 malam terakhir dalam bulan Ramadhan.
Kemudian ibadah puasa bukan sekadar mampu membersihkan jiwa mukmin malahan turut dapat menjernihkan akal fikiran mukmin. Dengan itu kita mampu untuk sentiasa bersangka baik terhadap Allah. Seterusnya mampu mendekatkan diri kepada Allah selaras dengan tuntutan sebagai seorang muslim;
- Pencipta alam ini adalah Rabb yang Maha Bijaksana lagi Maha Berkuasa, Maha Mengetahui dan tidak memerlukan sesiapa pun.
- Rabb yang Maha Mulia tidaklah menciptakan sesuatu secara sia-sia tanpa apa-apa tujuan.
- Allah SWT telah mengutuskan para rasul dan kitab-kitab yang menjelaskan peranan manusia diciptakan. Nabi Muhammad SAW pula merupakan penutup para nabi dan rasul dengan dianugerahkan al-quran sebagai mukjizat yang berkekalan.
- Allah SWT menciptakan manusia supaya menjadi hamba Allah yang beribadah sepanjang hayat.
- Mesti kita diyakini, Allah menyediakan ganjaran syurga bagi mukmin yang taat dan balasan neraka ke atas orang-orang kafir.
- Kita hendak faham, manusia diberi pilihan sama ada melakukan kebaikan atau kejahatan. Namun berlakunya sesuatu itu tetap di dalam batas keizinan Allah.
- Mengetahui dan memahami asma’ Allah supaya jelas tentang kemuliaan dan keagungan-Nya.
- Kita mesti takut hanya kepada Allah, tidak kepada selain-Nya. Perasaan itu semestinya dapat menjauhkan kita daripada kemurkaan dan larangan-Nya.
- Sentiasa ingat Allah dan berzikir. Diam dalam keadaan berfikir, bercakap dalam keadaan berzikir. Keadaan demikian akan membuat hati sentiasa tenteram.
- Wajib utamakan mencintai Allah. Cinta yang menyebabkan hati sentiasa rindu untuk melakukan amal soleh, berkorban dan berjuang di jalan-Nya setiap masa.
- Bertawakkal dan menyandarkan setiap urusan kepada izin dan kekuasaan Allah. Dengan itu setiap keadaan mampu dihadapi dengan tenang.
- Sentiasa bersyukur di atas segala nikmat-Nya dan juga sentiasa beristighfar memohon keampunan apa jua kesilapan dan dosa.
- Sentiasa dalam keadaan muraqabah (merasai sentiasa diawasi) Allah dalam apa jua keadaan, terang-terangan maupun tersembunyi.
Yakinlah anak-anakku,
Hakikat iman kepada Allah SWT, merupakan hakikat terbesar dalam kehidupan insan. Apabila iman tertanam teguh dalam hati, kesannya sungguh mendalam. Jelas tercerna dalam watak dan tingkah laku. Merangsang tindakan dan amal perbuatan hinggalah mampu berkorban dan berjuang semata-mata untuk beroleh redha Ilahi.
Akhirnya sentiasalah berdoa:
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami daripada azab neraka.”
-------
Tulisan Ummu Anas. Ikuti tulisan-tulisan beliau di ummu-anas.blogspot.com










