Tidak seperti nasib umat Islam di beberapa tempat lain seperti daerah gempabumi di Padang, Sumatera, mahupun bumi Palestin yang terus dibelenggu oleh keganasan dan kekejaman Israel, masyarakat Islam di Malaysia dapat menyambut perayaan Eidul Adha dengan aman dan meriah. Justeru itu Hari Raya Eidul Adha 1430H, ataupun Hari Raya Korban, disambut dengan penuh keinsafan dan kesyukuran.
Bagi ahli-ahli HALUAN Zon Utara, mereka merebut peluang hari kebesaran tersebut dengan melaksanakan ibadah menyembelih lembu, seterusnya mengagihkan daging-daging korban kepada masyarakat setempat, terutama kepada yang lebih memerlukannya. Dengan terlaksananya ibadah seperti ini, umat Islam akan dapat menginsafi betapa mereka perlu berpegang teguh kepada keimanan dan amalan Islam yang merangkumi seluruh aspek kehidupan, bantu-membantu sesama mereka, dan seterusnya saling bekerjasama dalam perkara yang membawa kebaikan dan kesejahteraan.
HALUAN Pulau Pinang telah bekerjasama dengan Persatuan Kebajikan Saudara Baru Seberang Perai untuk mengadakan program korban pada Hari Raya kedua bersama di Butterworth. Sejumlah tiga ekor lembu telah dikorbankan, di mana daging-daging tersebut diagihkan kepada para saudara baru dan masyarakat sekitar. Manakala pada Hari Raya ketiga, HALUAN Pulau Pinang mengadakan program korban di Kg. Kabu Mahang. Tiga ekor lembu disembelih dan sebahagian daripada dagingnya diagihkan kepada masyarakat. HALUAN juga turut mengambil kesempatan di hari kebesaran itu untuk mengadakan kenduri bersama masyarakat kampung.
Manakala di negeri Kedah, ibadah korban dilaksanakan di dua lokasi berasingan. Menurut Yang Dipertua HALUAN Kedah, saudara Suhaimi, dua ekor lembu dikorbankan di Asrama HALUAN Penyayang Langkawi. Empat ekor lembu lagi dikorbankan di Masjid Tok Keling, Mukim Derga, Alor Setar. Daging-daging sembelihan teah diagihkan kepada masyarakat di Kg. Tok Keling, Kg. Bayam, Kg. Bok Bok dan Kg. Tok Sadu.
Di Perlis pula, sejumlah 13 ekor lembu dikorbankan di Perkampung Tunjong, Beseri.










