17 Disember 2009, Kuantan -- Alhamdulillah, HALUAN Pahang telah terpilih menerima anugerah khas Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) terbaik sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang yang telah diadakan pada 17 Disember 2009 di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan. Majlis ini telah disempurnakan oleh KDYTAM Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Ibni Sultan Ahmad Shah dalam satu majlis yang dihadiri oleh 800 orang ahli jemaah dan para jemputan khas.



Menjelang tibanya tahun baru Hijrah 1431H, pihak Ahli Jawatankuasa Masjid Lama Permatang Badak di Kuantan dengan kerjasama HALUAN Pahang telah mengambil inisiatif menganjurkan Forum Maal Hijrah yang diadakan pada 11hb Disember 2009 bermula jam 7.45 malam.
Selaras dengan tuntutan pengorbanan sempena sambutan perayaan Eidul Adha, HALUAN Pahang turut melaksanakan ibadah penyembelihan qurban di daerah Kuantan, Temerloh dan Pekan pada hari raya pertama dan kedua Eidul Adha tahun ini.
HALUAN Pahang terus giat mengadakan program siri roadshow ceramah misi bantuan kemanusiaan gempa bumi Padang, Sumatera bertujuan menyebarluaskan maklumat kepada masyarakat mengenai peristiwa ini dan pengajaran yang harus diambil. Jemputan dari beberapa pihak khususnya masjid dan surau adalah menggalakkan dan program ini akan diteruskan semula selepas hariraya qurban.
20 November 2009, PAYA BESAR, KUANTAN - Pengetua dan guru-guru sekolah Sekolah Menengah Paya Besar Kuantan telah mengadakan langkah bijak mengakhiri sesi persekolahan tahun 2009 dengan mengadakan ceramah kesedaran mengenai gempabumi di Padang, Sumatera, Indonesia. Inilah sekolah menengah pertama yang telah menjemput pihak HALUAN berkongsi pengalaman dengan pelajar-pelajarnya.






