HALUAN Pahang telah mula mengadakan beberapa siri ceramah kesedaran Misi Kemanusiaan Padang (MKP) di beberapa masjid, surau dan organisasi terpilih di Kuantan. Ceramah dan tayangan multimedia ini adalah bertujuan untuk berkongsi pengalaman relawan HALUAN membantu mangsa-mangsa gempa, di samping memberi maklumat terkini dan tepat mengenai kejadian dan keadaan sebenar gempabumi di Padang yang berlaku pada 30 September 2009.
Diharapkan dengan perkongsian pengalaman dan maklumat ini akan dapat memberi kesedaran kepda masyarakat betapa mangsa-mangsa gempa memerlukan pelbagai bentuk bantuan, justeru dapat membangkitkan simpati masyarakat dan seterusnya menghulurkan sumbangan derma bagi meringankan penderitaan mangsa gempa di Padang.
Ceramah telah disampaikan oleh beberapa orang ahli HALUAN Pahang yang telah turut menyertai pasukan relawan HALUAN dalam misi kemanusiaan ke Padang, termasuklah Sdr Abd. Bashir, Hj Ahmad Zakhir dan Sdr Azmi Yaakob. Mereka telah berjaya mengadakan ceramah ini di Masjid Lama Permatang Badak pada 4hb November, Masjid Politeknik Kuantan pada 5hb November, Dewan Besar Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada 6hb Novenber, dan terkini di Masjid Cenderawasih, Kuantan pada 7hb November. Di samping mengadakan ceramah, kempen pungutan derma juga telah dilancarkan untuk mengumpulkan dana bagi membantu mangsa gempa disana. Alhamdulillah sumbangan derma yang diterima dari masyarakat adalah baik. Sumbangan-sumbangan ini akan disalurkan secara terus kepada mangsa melalui pasukan-pasukan relawan HALUAN yang setiap minggu bergantian tugas membantu mangsa di Padang, terutama sekali di kawasan pendalaman di daerah Pariaman.
Menurut Sdr Abd. Bashir Abd. Ghani, sambutan ahli jemaah dan masyarakat setempat adalah sangat menggalakkan. Mereka menunjukkan minat yang mendalam untuk mendegar pengalaman relawan-relawan HALUAN yang telah memberi khidmat disana. Disamping menceritakan pengalaman mereka, relawan-relwan HALUAN juga telah mengajak masyarakat supaya mengambil peringatan dan ikhtibar dari peristiwa ini. Peristiwa ini mempunyai hikmah dan pengajaran yang amat berguna untuk direnungkan. Allah Maha Berkuasa menjadikan sesuatu dan Al Quran itu adalah kalam Allah yang membenarkan apa yang berlaku.
"Kami juga mengajak masyarakat supaya menaruh simpati dan membantu nasib saudara seIslam kita yang kini sedang diuji oleh Allah tentang keimanan dan ketaatan mereka. Kita berdoa supaya masyarakat di sini mendapat kesabaran yang tinggi dan sentiasa berada dalam naungan Allah dari ancaman pihak yang cuba memesong dan meracuni aqidah mereka dengan dakyah kristianisasi disebalik bantuan kemanusiaan yang mereka tawarkan," jelas Sdr Abd. Bashir.
Menurut Sdr Abd. Bashir lagi, siri ceramah Misi Kemanusiaan Padang ini akan diteruskan lagi di beberapa buah masjid dan surau dalam masa terdekat ini. Beliau berharap ramai lagi pihak yang sudi menjemput HALUAN untuk berkongsi pengalaman dan pengajaran yang berharga ini. Semoga Allah mengembalikan semula kehebatan Padang sebagai negeri jolokan Serambi Mekah Kedua Indonesia selepas Acheh, di sebalik kejadian gempa ini. Beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi kerjasama kepada HALUAN Pahang bagi menjayakan program siri ceramah ini.










