JOHOR, 5 Disember - Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) dan HALUANSiswa Medic (HS Medic) dengan kerjasama HALUAN Johor, Sekolah Rendah Agama Ghufran dan penduduk kampung sekitar Mukim Renggam telah menganjurkan sebuah program yang berteraskan kesihatan di kawasan Mukim Renggam pada 4 dan 5 Disember yang lepas. Program selama dua hari itu mensasarkan penglibatan penduduk sekitar Mukim Renggam serta golongan yang kurang berkemampuan untuk mendapat akses perkhidmatan kesihatan percuma serta khidmat berkhitan dengan harga yang berpatutan. HALUANSiswa Medic (HS Medic) merupakan sebuah sayap besar di bawah HALUANSiswa Nasional yang mengumpulkan pelajar bidang perubatan dan sains kesihatan di IPT seluruh Malaysia.



PASIR GUDANG, 02 November - SMK Kota Masai 2, Pasir Gudang, Johor telah mengadakan Majlis Graduasi SPM 2010. Seramai 30 orang pelajar cemerlang telah menerima skrol penghargaan daripada pihak sekolah. Majlis yang begitu gilang gemilang itu dihadiri oleh guru-guru, pelajar tingkatan lima serta ibu-bapa pelajar.
29 Ogos 2010, Simpang Renggam – Perhimpunan mingguan pada hari Isnin di Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Renggam pada hari ini dimeriahkan dengan majlis Sambutan Ambang Kemerdekaan. Para pelajar berhimpun dengan mengibarkan Jalur Gemilang sambil menyanyikan lagu-lagu patriotik.
25 Ogos 2010, Pasir Gudang – Pelajar-pelajar sesi petang Sekolah Menengah Pasir Gudang tidak mahu ketinggalan mendengar perkongsian pengalaman dan seterusnya mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku ke atas konvoi flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza pada akhir bulan Mei lalu. Memandangkan rakan-rakan mereka daripada sesi sebelah pagi telah dapat mendengar kisah serangan ngeri komando Israel ke atas aktivis kemanusiaan itu daripada seorang aktivis yang telah melalui sendiri pengalaman tragedi serangan dan tahanan oleh rejim Zionis itu, kini Sekolah Menengah Pasir Gudang menjemput sekali lagi Dr Mohd Arba’ai Shawal daripada HALUAN Johor untuk manfaat pelajar-pelajar sesi petang.
SEGAMAT, 22 Jun – Kelab Remaja HALUAN (KeARAH) telah berjaya mengadakan Kem Asah Fakulti Insan atau lebih dikenali sebagai KAHFI2010 pada 13 hingga 15 Jun 2010 yang lalu bertempat di Hutan Lipur Sungai Bantang, Bekok, Segamat, Johor Darul Takzim. Peserta KAHFI terdiri dari ahli Kelab Remaja HALUAN Zon Selatan yang berumur antara 13- 18 tahun. Alhamdulillah, seramai 82 orang peserta mendaftar, 44 orang peserta putera dan 38 orang peserta puteri.






