Gotong royong perdana & program khidmat masyarakat di Sungai Bakap mendapat sambutan meriah

E-mail Print PDF

12 Julai 2009, Sungai Bakap, Pulau Pinang – Gotong Royong Perdana dan Program Khidmat Masyarakat anjuran bersama HALUAN Pulau Pinang dan Qaryah Masjid Baru Sungai Bakap (Utara,) Seberang Perai Selatan yang diadakan di masjid tersebut telah mendapat sambutan meriah daripada masyarakat setempat. Hujan lebat yang telah turun sejak beberapa hari sebelum program gotong-royong diadakan tidak menghalang perjalanan gotong-royong ini, sebaliknya menjadikannya lebih mencabar dan meriah.

Program ini bermula pada jam 8.00 pagi dengan aktiviti gotong-royong membersihkan kubur, menebang pokok dan menimbus tanah merah di dalam kawasan perkuburan. Seramai 200 orang peserta yang terdiri daripada relawan HALUAN, pelajar-pelajar SMA Isyadiah dan Giat MARA dan penduduk kampung telah menyertai gotong-royong ini. Selain itu, program ini juga telah mendapat kerjasama erat daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai dan JKR yang telah menyediakan beberapa buah lori untuk mengangkut sampah sarap ke tapak pelupusan sampah.



 

Pada waktu yang sama juga, Kelab Kesihatan HALUAN yang diketuai oleh Puan Husnah bt. Ismail telah mengadakan pemeriksaan kesihatan kepada penduduk kampung di dewan masjid di samping aktiviti kanak-kanak yang diadakan bersebelahan dewan tersebut.

Selepas solat zohor, program diteruskan lagi dengan ceramah motivasi di SMA Irsyadiah untuk pelajar-pelajar sekolah tersebut serta di Giat MARA untuk pelajar-pelajar Giat MARA dan belia-belia kampung. Program ini yang dikendalikan oleh Kelab Guru HALUAN diketuai Cikgu Rozaini Kasim telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada peserta. Pada masa yang sama juga, Biro Kebajikan HALUAN yang diketuai oleh Sdr. Abdul Razak Awang telah menziarahi 2 keluarga miskin di kawasan sekitar sambil memberi bantuan kewangan sebanyak RM300.00 setiap keluarga.

Selepas solat Asar, acara sukan sepak raga bulat telah diadakan di perkarangan masjid untuk peserta lelaki manakala bagi peserta wanita pula telah diadakan demonstrasi masakan di mana Puan Fathilah Said dengan dibantu oleh relawanis HALUAN telah membuat demonstrasi masakan aneka roti dan kuah selain bubur kacang perasa durian yang telah disediakan sebelum itu.


 

Acara kemuncak program ini ialah ceramah ugama yang berlangsung selepas solat Maghrib. Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Ustaz Tahirudin bin Aching dan ucapan aluan oleh Pengerusi Qaryah Masjid, Yg. Berbahagia Cikgu Hj. Othman Mat Dak. Seterusnya ceramah disampaikan oleh Pengerusi Kelab Guru HALUAN, Sdr. Mohd Adi bin Ismail dengan tajuk ‘Cabaran Belia dan Beliawanis Masa Kini’. Hampir 300 orang telah mengikuti ceramah, ini termasuk pelajar-pelajar-pelajar SMA Irsyadiah dan Giat MARA. Hadiah dan sijil penyertaan telah disampaikan oleh Yg. Berbahagia Cikgu Hj. Othman Mat Dak dan YDP HALUAN Pulau Pinang, Prof. Dr. Ismail bin Jusoh.

Sepanjang program ini juga telah dijalankan pameran HALUAN Palestin & Kelab Kesihatan HALUAN (KKH,) promosi Kolej Teknologi Darulnaim, pendaftaran relawan HALUAN dan aktiviti jualan yang turut dikunjungi oleh peserta-peserta kursus haji seramai 500 orang yang dijalankan di masjid yang sama.

HALUAN Pulau Pinang mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Pengerusi dan AJK Qaryah Masjid Baru Sungai Bakap (Utara) serta semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan program ini.

 

Kelab Kesihatan HALUAN

Kelab Kesihatan HALUAN (KKH)

Kelab HALUAN Fitrah

Kelab HALUAN Fitrah

Kelab Siswa HALUAN

HALUANSISWA

Kelab Remaja HALUAN

Kelab Remaja HALUAN (KeARAH)

 

Kelab Guru HALUAN

Kelab Guru HALUAN

Pusat Jagaan HALUAN

Pusat Jagaan HALUAN

PEMANGKIN HALUAN

PEMANGKIN HALUAN

Misi Bantuan Banjir 2007

Laporan Misi Bantuan Banjir 2007