Forum Maal Hijrah Bersama Presiden HALUAN di Kuantan

E-mail Print PDF

Menjelang tibanya tahun baru Hijrah 1431H, pihak Ahli Jawatankuasa Masjid Lama Permatang Badak di Kuantan dengan kerjasama HALUAN Pahang telah mengambil inisiatif menganjurkan Forum Maal Hijrah yang diadakan pada 11hb Disember 2009 bermula jam 7.45 malam.

Sambutan majlis Forum Maal Hijrah ini lebih bermakna dan meriah kerana ahli-ahli panelnya dibarisi oleh kepimpinan tertinggi HALUAN iaitu Presidennya sendiri, Dr. Hj Abdullah Sudin b Abd. Rahman dan Setiausaha Agung HALUAN, Tn. Hj. Mohd Ghani b. Salleh. Ahli panel lain termasuklah Ustaz Hj Mohd Helmi b Mohd Said yang merupakan pengerusi AJK Masjid tersebut. Forum dipengerusikan oleh YDP Haluan Pahang, Tn Hj. Tg. Abd. Rashid b. Tg. Othman.

Forum yang bertajuk Hijrah dan Dakwah telah berjaya menengahkan ilmu berkaitan konsep dan tasawur hijrah yang sebenarnya, apakah peranan hijrah dalam memacu dakwah kepada masyarakat dan ibrah yakni pengajaran yang perlu diambil. Fokus pembentangan Tn Hj Mohd Ghani Salleh menjuruskan kepada kefahaman apakah peranan hijrah dalam memacu dakwah berdasarkan seerah Nabi SAW dan kaedah pendekatan yang seharusnya dilakukan oleh umat Islam bagi menjana ummah mencapai darjat `kuntum khaira ummah` iaitu ummat terbaik yang telah dilahirkan oleh generasi sahabat terdahulu hasil didikan Baginda Nabi SAW.

Alhamdulillah, sambutan masyarakat setempat dan ahli HALUAN amat menggalakkan. Mereka tertarik mendengar penjelasan yang telah disampaikan oleh semua ahli panel khususnya dari Presiden HALUAN sendiri yang julung kalinya tampil dalam program umum di daerah Kuantan dan Negeri Pahang. Beliau telah dapat berkongsi ilmu dan pengalaman yang sangat berharga melalui forum ini. Antara lain, beliau menjelaskan bahawa dakwah ini adalah garis pemisah antara iman dan kufur di mana orang yang beriman akan pasti melaksanakan tugas dakwah ini termasuklah mengamalkan amal maaruf nahi mungkar dalam kehidupan mereka sebagai bukti perhambaan kepada Allah SWT. Tuntutan berhijrah dan berdakwah memerlukan perancangan dan persiapan yang rapi khususnya persiapan keilmuan dan kesediaan hati yang ikhlas dimulai dengan pembentukan pribadi dan pembinaan keluarga seterusnya  digembelingkan melalui organisasi yang mantap.

Dakwah perlu dijalankan dan digerakkan melalui organisasi sepertimana yang telah dicontohkan oleh Rasulullah SAW dengan proses membina iman generasi sahabat dalam tempoh 23 tahun berpandukan sumber wahyu Ilahi. Sebagai hasilnya, Islam telah berjaya menguasai dunia dan terbukti bertahan sehingga ke 1300 tahun lamanya. Namun Islam kini kembali menjadi dagang dan asing. Inilah tuntutan sebenar hijrah dan dakwah, iaitu bagi mengembalikan semula kegemilangan Islam yang telah luput.

 

Alhamdulillah, forum dapat berjalan dengan baik dan berakhir dengan jamuan makan malam seadanya oleh pihak HALUAN Pahang kepada semua ahli jemaah yang hadir. Pihak masjid merakamkan ucapan penghargaan  kepada HALUAN yang berjaya mengadakan majlis khas forum Maal Hijrah ini di masjid mereka lebih-lebih lagi dengan kesudian hadirnya Presiden HALUAN Malaysia sendiri.

Urusetia HALUAN Negeri juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Presiden dan urusetia induk yang telah hadir membuat lawatan rasmi ke Negeri Pahang seterusnya memberi suntikan motivasi kepada ahli-ahli HALUAN untuk meneruskan kerja mendidik dan berbakti kepada masyarakat dengan lebih gigih dan produktif lagi.

_________

Laporan disediakan oleh Naib Setiausaha HALUAN Pahang, Abd Bashir Abd. Ghani.

 

Kelab Kesihatan HALUAN

Kelab Kesihatan HALUAN (KKH)

Kelab HALUAN Fitrah

Kelab HALUAN Fitrah

Kelab Siswa HALUAN

HALUANSISWA

Kelab Remaja HALUAN

Kelab Remaja HALUAN (KeARAH)

 

Kelab Guru HALUAN

Kelab Guru HALUAN

Pusat Jagaan HALUAN

Pusat Jagaan HALUAN

PEMANGKIN HALUAN

PEMANGKIN HALUAN

Misi Bantuan Banjir 2007

Laporan Misi Bantuan Banjir 2007