SUNGGUHPUN memenatkan kerana kena melayan lebih seratus pesakit mangsa gempa sehari, namun itu semua menjadi latihan yang sungguh bermakna bagi seorang doktor muda yang buat kali pertamanya melangkah kaki ke medan amal sukarela di tapak bencana.
Bagi Dr Raja Nor Farahiyah Raja Othman, 26 tahun, penyertaan beliau bersama HALUAN Malaysia ke Padang dan Pariaman, Sumatera Barat dalam pasukan misi ke-empat sebenarnya suatu pengalaman manis yang sukar dilupakan. Malah, ianya dirasakan sebagai suatu anugerah Illahi.
“Saya berasa sangat bersyukur kerana dapat pergi menyemai bakti di sana. Walaupun saya tidak pernah menyertai mana-mana misi bantuan kemanusiaan sebelum ini, entah kenapa hati saya tergerak untuk mendaftar bersama HALUAN ke Padang kali ini,” katanya semasa temubual di LCCT sejurus selepas tiba dari Padang, Ahad 8 November.
Bagi beliau, pengalaman berada di kawasan bencana selama tujuh hari itu telahpun membuka matanya tentang kebesaran Allah SWT. Rata-rata kemusnahan yang dihadapi mangsa sungguh menyedihkan dan di luar dugaan. Apatah lagi bilamana terlihat rumah-rumah serta masjid dan musolla yang rebah ke bumi. Sebagai seorang anggota Kelab Kesihatan HALUAN (KKH), fokus utama Dr Farah adalah terhadap para mangsa yang datang mengadu kesakitan masing-masing.
Lulusan MBBS Universiti Malaya ini menggunakan sepenuhnya pengalaman beliau selama beberapa tahun berkhidmat di hospital kerajaan untuk memberikan sebaik rawatan kepada mangsa yang ramainya terdiri daripada kalangan ibu-ibu dan kanak-kanak sekolah. Gadis yang baru beberapa tahun berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Tapah, Perak ini melahirkan rasa syukur kerana dibantu oleh relawan-relawan lain yang faham akan kebimbangan beliau yang pertama kali turun ke medan bencana alam.
Pasukannya seramai sembilan orang diketuai oleh Haji Ibrahim Abdul Rahman, seorang pengurus kanan di Telekom Malaysia yang berpengalaman luas bersama HALUAN di beberapa lokasi bencana dalam dan luar negara. Ikut serta adalah dua orang gadis relawan lain yang sama-sama berkhidmat sebagai pembantu rawatan dan kaunselor.
“Semakin lama saya di sana (Padang dan Pariaman), semakin terasa akan ancaman Allah SWT kepada umat manusia melalui firman-firman-Nya. Terasa diri ini kerdil dan tiada daya bila saya terpandang kemusnahan di depan mata. Malahan, rata-rata pesakit yang datang meminta rawatan bukanlah mereka yang sakit kronik. Ramai yang datang itu menyimpan hajat tersirat untuk orang luar mendengar rintahan hati mereka. Saya sudah terlatih dalam hal ini. Rumah mereka musnah, ada yang kematian saudara. Saya boleh merasakan kesedihan di hati mereka,” katanya lagi.
Ditanya apakah persediaan yang perlu untuk ahli-ahli KKH yang bakal menyusul, jawabnya: “Ikhlaskanlah hati bila kita menyertai misi HALUAN ini. Ujian tetap akan datang dan kita kena pasrah kepada Tuhan”.










