Mencontohi Kepimpinan Generasi Al-Quran yang Unik

E-mail Print PDF

“Mencontohi Kepimpinan Generasi Al-Quran yang Unik.” Begitulah tema Kem Kepimpinan Remaja Haluan Kebangsaan (PEWARIS KEB) yang ke-3 baru-baru ini. Kem telah diadakan di Asli Adventure Resort, Ulu Langat, Selangor, pada 14 hingga 16 Disember 2007. Kem ini dianjurkan oleh Biro Pendidikan & Motivasi HALUAN dengan kehadiran peserta yang telah di pilih dari setiap negeri dari Semenanjung Malaysia. Oleh kerana banjir melanda kawasan pantai timur, peserta dari Terengganu dan Pahang tidak dapat hadir. Sebaliknya, mereka memberi khidmat di Misi Bantuan Banjir di Pahang. Alhamdulillah, program ini disertai oleh seramai 112 peserta yang terdiri dari 59 orang lelaki dan 53 orang perempuan, dan dibantu oleh fasilitator dan urusetia dari kalangan IPT seramai 14 orang lelaki dan 21 orang perempuan, serta AJK induk seramai 10 orang. Ia telah berjalan lancar dan menjadi kenangan yang paling terindah sekali buat kami semua untuk dibawa pulang menjadi bekalan di sepanjang perjuangan ini.

Program Pewaris ke-3 kali ini diketuai oleh kem komandan Ali Irfan Jamaluddin dan Nik Nadiah Nik Ramli. serta dibantu oleh Hafiz Zainal Abidin dan Tasnim Ismail sebagai penolong kem komandan. Mereka dibantu oleh ketua-ketua fasilitator Ikrimah Husni dan Mariam Fatin Hanisah. Manakala pengarah bagi program ini ialah Cikgu Azmi Bahari diikuti penyelarasnya ialah Cikgu Ghazali Saad.

Pada keesokan hari, Jumaat 14 Disember, kami berkumpul di Stadium Kajang untuk menunggu ketibaan bas yang membawa peserta dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Johor dari stesen bas dan komuter Kajang. Kami bertolak ke tempat perkhemahan kira-kira pukul 9 pagi. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 1 jam setengah. Setelah tiba di destinasi yang dituju, kami berasa teruja dengan suasana sekeliling yang begitu asli sesuai dengan namanya. Air sungai yang mengalir, bukit-bukau, lereng bukit yang menghijau dan sebagainya begitu menginsafkan kami akan kebesaran ciptaan Allah yang Maha Kuasa. Para peserta diberi tahu agar menguruskan diri dan membuat pendaftran sebelum bermulanya program pada petang itu. Peserta lelaki menggunakan khemah manakala peserta perempuan menggunakan dormitori yang telah disediakan oleh pihak resort.

Setelah siap makan tengah hari dan solat, taklimat program bermula kira-kira pukul 3 petang. Taklimat disampaikan oleh Ali Irfan. Antara fokus yang ingin disampaikan dalam program ini ialah Latihan kepimpinan, Merapatkan ukhuwah, Mencontohi Kepimpinan generasi al-Quran yang unik, Tarbiyah a’maliyah dan tarbiyah dzatiyah dan 10 ciri-ciri sifat amilin. Di samping itu, beberapa peraturan perlu dipatuhi dan diikuti sepanjang program ini seperti menjaga keselamatan, ketepatan masa, sentiasa kemas dan lain-lain.

Program diteruskan dengan Heart Setting oleh Cikgu Azmi. Persediaan hati sangat penting. Aktiviti seterusnya ialah Ice breaking, bagi memecahkan tembok permisahan yang ada di kalangan peserta dan fasi. Antara aktiviti yang dilakukan ialah ’Kenal Cari dan Kasih’. Peserta diberi satu borang untuk diisi oleh rakan-rakanya jika terdapat persamaan di antara mereka mengikut kriteria yang dikehendaki oleh borang tersebut. Seterusnya aktiviti ’Barisan ku’, yang mana peserta perlu beratur mengikut kriteria-kriteria tertentu apabila di arahkan. Sebelum minum petang, peserta dibahagi 5 kumpulan dengan 10 atau 11 orang ahli.

Pada sebelah petangnya aktiviti diteruskan dengan Team Building bagi mengeratkan ukhuwah sesama ahli kumpulan serta membina semangat berpasukan dikalangan ahli. Antara pengisiannya ialah berta’aruf dalam bahasa Arab atau Inggeris sahaja, salam semut, memberi nama kumpulan dan mencipta bendera kumpulan. Majlis seterusnya membuat perlantikan penghulu dan penghuluwati di kalangan peserta.

Kira-kira pukul 9 malam seusai solah maghrib, isya’ dan makan malam, program diteruskan dengan penyampaian dari Cikgu Azmi Bahari. Cikgu Azmi banyak memberi penekanan tentang aspek kepimpinan. Antaranya ialah 5 kualiti yang perlu ada pada seorang pemimpin ialah Character, Capasiti, Analysis, Accomplishment, Interaction dan 3 fungsi kepimpinan ialah Create vision, Communicate with others, Comform. Seterusnya penyampaian diteruskan dengan pakcik Zainursham selepas berehat sebentar minum malam.  Ceramah beliau bertajuk Generasi Pemuda dan Harapan, yang mana beliau menekankan perlunyanya timbul kesedaran untuk mewarisi kerja-kerja Islam ini. Antara matlamatnya ialah untuk melahirkan para Amilin yang berkualiti bagi membantu kerja-kerja dakwah Islam, melahirkan da’i dan murabbi dan kepimpinan dalam masyarakat. Setelah itu Pak Cik Mus turut memberi tambahan menceritakan pengalaman beliau dalam Tarbiyah.

Apa yang menarik pada program Pewaris Kebangsaan pada kali ini, peserta dilatih untuk menjadi pemimpin dikalangan mereka, antara aktiviti yang boleh melatih kepimpinan mereka ialah menyampaikan kuliah 7 minit (Kultum), menjadi imam, muazzin,  pengerusi, katibah dan menyusun majlis penutup nanti. Semua ini dijalankan oleh peserta sendiri.

Sabtu, 15 Disember, hari yang ditunggu-tunggu oleh peserta program ini. Pada hari ini aktiviti yang akan dijalankan ialah Kembara Tarbawi iaitu Jungle Trekking. Kembara ini mempunyai 6 check point yang mana setiap peserta harus melaluinya. Selepas aktiviti regangan, kawad kaki dan sarapan pagi, program diteruskan dengan taklimat dari penolong kem komandan II Tasnim Ismail. Seterusnya bermulalah taklimat Kembara Tarbawi oleh Kem Kom yang mana taklimat ini sebagai check point yang pertama, iaitu Noktah Bidayah As-Sohihah. Peserta diingatkan supaya membawa 2 naskah al-Quran setiap kumpulan, Air Mineral, pen dan kertas atau buku serta bendera kumpulan masing-masing. Pada check point ini peserta diberi tugasan untuk menghafal ayat al-quran iaitu surah al-Kahfi ayat 13 dan 14, hadith
إن الله ليعجب من الشباب ليست له صبوة  ”Sesungguhnya Allah sangat ta’jub dengan pemuda yang pada dirinya tidak ada keruntuhan moral atau akhlaq”, Riwayat Ahmad. dan slogan
نحن إن ا صعدنا كبرنا و إذا نزنا سبحنا “ Jika kami mendaki kami bertakbir, jika kami menurun kami bertasbih”. Kembara Tarbawi ini diketuai oleh fasi-Azri Bashiron, Cikgu Azmi sebagai moderator check point dan Ustaz Nur Muhammad sebagai penunjuk jalan. Sebelum memulakan perjalanan kira-kira pukul 9 pagi, kami memohon doa kepada Allah agar perjalanan ini membawa keberkatan dan kemudahan.

25 minit kemudian kami tiba di check point yang kedua, Aqidah As-Sohihah. Check point ini memberi penekanan kepada perbincangan aqidah, permasalahan, kesan dan cara penyelesaiannya, yang mana bukan sahaja sebati dalam jiwa malah boleh diuji. Peserta perlu menyenaraikan 3 bentuk penyelewengan aqidah yang berlaku dalam realiti sekarang dan apakan kesan-kesanya serta cara penyelesaiannya. Teringat kembali apabila salah satu kumpulan membentangkan jawapan mereka iaitu Liberalisme, semua agama membawa kepada kebaikan. Lalu cigu Azmi bertanya jika ada seorang bukan Islam bertanya kepada kita kenapa perlu peluk agama Islam sedangkan semua agama dalam dunia ini membawa kebaikan? Jawapannya secara logik adakah sama pokok durian dengan pokok jambu? Walaupun ada daun, ada batang, kita tidak boleh kata sama hanya kerana ada 1 persamaan. Kita perlu lihat secara keseluruhan.

Perjalanan diteruskan sehingga tiba ke check point yang ke-3 iaitu Muasafat ’Amilin. Setiap kumpulan diminta menyenaraikan 10 Muasafat ’Amilin atau ciri-ciri pekerja Islam antaranya Aqidah yang lurus, Ibadah yang sohih, Akhlaq yang kukuh dan lain-lain lagi. Seterusnya kami meneruskan perjalanan, makhluk Allah juga tidak ketinggalan mengintai peluang siapakah yang bakal menjadi mangsa untuk santapan makan tengah harinya iaitu si kecil pacat.
 
Kira-kira 11.30 pagi kami tiba di check point yang ke-4. Check point ini memerlukan daya kreativiti dan bakat peserta. Aktiviti yang dimainkan ialah regu. Setiap kumpulan perlu menghantar 2 orang wakil. Setiap daripada mereka perlu membuat aksi-aksi yang menggambarkan peribahasa yang boleh difahami agar kumpulan mereka boleh meneka peribahasa yang dimaksudkan. Sebagai rumusan para peserta dan kem komandan membincangkan maksud peribahasa dan kaitkan dengan dakwah dan tarbiyah dalam kehidupan kita seharian.

Perjalanan diteruskan, kali ini agak meletihkan, oleh kerana laluan perlu didaki. Sekali sekala terdengar pekikan Takbir dan di sahut Allahu Akbar oleh peserta lelaki. Setelah tiba di check point yang ke-5, peserta lelaki akan teruskan perjalanan ke check point yang ke-6. Manakala peserta perempuan di check yang ke-5. Selepas itu peserta perempuan ke check point yang ke-6 dan peserta lelaki akan berpatah balik ke check point yang ke-5. Check point ini diberi nama Bypass Check Point.

Pada check point yang ke-5, aktiviti yang dijalankan ialah Kajian Kes. Aspek yang ditekankan ialah akhlak yang baik, bagaimana hendak membuat keputusan dan adap-adap dengan ibu bapa. Seterusnya check point yang ke-6, iaitu Mujahadah an-Naf. Saujana mata memandang, hilang segala keletihan setelah melihat air terjun yang begitu indah. Check point ini para peserta perlu mengaitkan air terjun dengan dakwah & tarbiyah, tarikan dunia dan kemewahan. Akhir sekali peserta bermandi manda sebelum bertolak pulang kira-kira pukul 3.30 petang.

Setelah mendapat rehat yang secukupnya pada petang itu, sebelah malam 1 slot yang tidak kurang pentingnya iaitu sesi ‘membedah buku’ di jalankan oleh Ustaz Nur Muhammad dan Ustaz Wan Nahar kepada peserta. Slot bersama 2 orang ustaz ini membincangkan salah satu bab dari buku tersebut iaitu bab yang pertama Generasi al-Quran yang unik. Dalam bab ini Syed Qutb mengupaskan faktor-faktor bagaimana sahabat dahulu digelar generasi al-quran yang unik. Antaranya 3 faktor yang penting ialah, sumber utama yang di ambil oleh generasi pertama itu ialah Al-Quran. Hanya Al-Quran semata-mata, tidak ada sumber lain. Kedua ialah, apabila mereka mengambil al-quran sebagai sumber mereka, mereka menerapkan dasar ‘belajar dan melaksanakan terus’ sami’na wa ‘ata’na, kami dengar dan kami patuh. Manakala faktor yang ke 3 ialah, mereka memisahkan kehidupan, perasan sepenuhnya di antara zaman jahiliyah dahulu dan zaman barunya dalam Islam. Dengan ketiga-tiga faktor ini lahirlah generasi al-quran yang unik.

Pagi 16 Disember menampakkan sinar cerianya. Sesi hati ke hati merupakan aktiviti yang terakhir sebelum majlis penutup. Akhir sekali tiba sesi bersalaman, amat menyentuh hati nurani di kalangan peserta ditambah dengan dendangan salawat dari kumpulan nasyid Brothers yang menyusuk kalbu. Dalam dakapan dan pelukan sahabat-sahabat, kami bermaafan dan memohon keampunan andaikata ada silap dan salah. Sesi ini amat membahagiakan sekali jiwa-jiwa kami, kebanyakkan dari kami mengalirkan air mata. Ukhuwah terbina dikalangan kami kerana Allah. Terima kasih pak cik-pak cik kerana sudi membimbing kami yang masih mentah ini.

Acara yang dinanti-nanti telah tiba. Teringin sekali melihat bagaimana peserta sendiri mengambil alih acara majlis penutup ini. Alhamdulillah memang menarik sekali dengan pengurusi yang pandai membuat gurauan, kata-kata mutiara dari  penghulu, wakil Peserta Perempuan, Penolong Kem Kom Lelaki & Perempuan, Penyelaras (cikgu Ghazali Saad), Timbalan Pengerusi JK Induk merangkap wakil HALUAN, Tn Hj Nasaruddin b. Abdul Manaf. Nostalgia peserta dibangkitkan dengan deklamasi sajak oleh Cikgu Ghazali yang bertajuk ‘Di Lereng Ini’.      

Sesi pada petang itu dimeriahkan lagi dengan deklamasi sajak oleh peserta sendiri dan bacaan doa yang menyusup kalbu dan bulletin yang paling menarik di tonjolkan. Kepada yang tidak terpilih jangan risau, insya Allah ada peluang yang seterusnya. Alhamdulillah tenang rasanya, progran selama 3 hari 2 malam itu Allah permudahkan. Rasanya memang ada kelainan dan sangat unik. Insya Allah darah-darah muda ini akan mewarisi kerja-kerja Islam ini sehingga ke hujung hayat.

Tulisan oleh: Taqiyah Khadijah bt. Ghazali

 

Kelab Kesihatan HALUAN

Kelab Kesihatan HALUAN (KKH)

Kelab HALUAN Fitrah

Kelab HALUAN Fitrah

Kelab Siswa HALUAN

HALUANSISWA

Kelab Remaja HALUAN

Kelab Remaja HALUAN (KeARAH)

 

Kelab Guru HALUAN

Kelab Guru HALUAN

Pusat Jagaan HALUAN

Pusat Jagaan HALUAN

PEMANGKIN HALUAN

PEMANGKIN HALUAN

Misi Bantuan Banjir 2007

Laporan Misi Bantuan Banjir 2007