Syariat berqurban merupakan warisan ibadah yang paling awal. Kerana berqurban mula diperintahkan ketika Nabi Adam as tidak menemui cara yang adil dalam menikahkan anak-anak baginda yang kembar, meskipun telah diputuskan mereka menikah secara silang. Akhirnya, Allah mewahyukan supaya kedua-dua anak baginda, Habil dan Qabil, melaksanakan qurban untuk melihat qurban siapa yang diterima. Habil berqurban dengan binatang ternaknya - unta, manakala Qabil berqurban dengan hasil tanamannya - gandum.
Sampai di sini, Allah swt sebenarnya hendak menguji hamba-hambanya, siapa yang menerima perintahNya dengan sukarela, dan siapa yang menentang. Habil dengan ikhlas mempersembahkan qurbannya, justeru qurbannya diterima. Sedangkan Qabil tidak ikhlas dalam menjalankan perintah berqurban tersebut, maka ianya tidak diterima, sehingga dia nekad untuk membunuh saudaranya Habil. Maka berlakulah peristiwa pembunuhan pertama dalam sejarah umat manusia.
Syariat berqurban diteruskan kepada Nabi-nabi berikutnya, sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Hajj ayat ke 34, bermaksud: Dan bagi tiap-tiap umat kami syariatkan penyembelihan (qurban,) supaya mereka menyebut nama Allah terhadap binatang ternak yang telah direzkikan Allah kepada mereka, maka Tuhanmu adalah Tuhan yang Maha Esa, kerana itu berserah dirilah kamu kepadaNya, dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh (kepada Allah.)
Peristiwa berqurban paling fenomenal telah dibuktikan oleh Bapa Tauhid, Khalilullah, Ibrahim as. Nabi Ibrahim as, yang sejak lama menanti kelahiran seorang putera, telah diperintahkan oleh Allah swt untuk menyembelih putera tersebut, Ismail as. Ujian berat menimpa Nabi Ibrahim as, antara melaksanakan perintah Allah swt atau membiarkan hidup puteranya dengan tidak melaksanakan perintah Allah swt, lantas puteranya nanti akan dapat meneruskan perjuangan bapanya. Alasan ini kelihatan begitu rasional, yang boleh menjadi pembelaan diri dan pembenaran pilihan.
Namun, Nabi Ibrahim as sudah teruji ketaatannya kepada Allah swt, sehingga tanpa ragu-ragu beginda melaksanakan perintah Allah swt. Perintah itu disampaikan dengan puteranya Ismail as. Betapa bangganya si ayah yang mendengar ketegasan puteranya, "Wahai ayahku, laksanakanlah apa yang diperintahkan kepadamu. engkau akan dapati diriku termasuk orang yang penyabar."
Kisah hebat tersebut telah dirakamkan dalam al-Quran melalui surah As-Shaffat ayat 100-110, yang bermaksud:
"Ya Tuhanku, anugerahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang soleh. Maka Kami beri kepadanya khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar. Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!' Ia menjawab: "Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; InsyaAllah kamu akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar." Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya,) (nyatalah kesabaran keduanya.) Dan Kami panggillah dia: "Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpit itu. Sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik. Sesungguhnya ini benar-benar satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anak itu dengan seekor sembilahan yang besar. Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang kemudian. (yaitu) "Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim." Demikianlah kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik."
Nikmat Allah
Syariat itu terus diamal oleh Nabi akhir zaman, Muhammad saw, dan kita sebagai umatnya. Perintah tersebut digambarkan dalam surah al-Kautsar ayat 1-3 yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu nikmat yang banyak. Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu; dan berkorbanlah. Sesungguhnya orang-orang yang membenci kamu dialah yang terputus."
Sebelum Allah swt memerintahkan berqurban, terlebih dahulu Allah swt mengingatkan betapa nikmat pemberian Allah swt begitu banyak "al-Kautsar," atau juga yang bererti telaga kautsar di syurga.
Kalau kita cuba merenung, nikmat Allah swt yang besar adalah nikmat diciptakan kita sebagai manusia. Makhluk Allah swt yang paling mulia dan paling baik bentuknya, sebagaimana firman Allah dalam suran At-Tin ayat ke 4 yang bermaksud: "sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya."
Nikmat memegang peranan khalifatullah fil ardli, perwakilan Allah swt untuk memakmurkan bumi dan isinya. "Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." [Al-Baqarah: 30]
Nikmat anggota badan yang begitu menakjubkan dan luar biasa. Maka Allah swt kembali mengingatkan melalui Surah Adz-Zariyat ayat ke 21 yang bermaksud: "Dan pada diri kamu, apakah kamu tidak memperhatikan?"
Dan yang paling besar anugerah Allah swt adalah nikmat Iman dan Islam. Ini digambarkan Allah sendiri dalam Surah Al-Maidah ayat ke 3 yang bermaksud: "Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Aku redhai Islam itu sebagai agama bagimu."
Hakikat Berqurban
Setelah Allah swt menyebut nikmat-nikmat yang begitu banyak itu, Allah swt mengingatkan hamba-hambaNya agar melaksanakan perintah-perintahNya; perintah solat lima waktu atau solat Idul Adha, dan berqurban sebagai bukti rasa syukur kepadaNya.
Bahkan Rasulullah saw memerintahkan berqurban dengan bahasa yang tegas bahkan disertai ancaman. "Dari Abu Hurairah ra, Nabi Muhammad saw bersabda, "Barangsiapa yang mempunyai kemampuan tetapi tidak berqurban, maka janganlah ia menghampiri (mendekati) tempat solat kami." [Hadith riwayat Ahmad dan Ibnu Majah]
Berqurban tidak sekadar mengalirkan darah binatang ternak, tidak hanya sekadar menyembelih binatang qurban, namun lebih dari itu. Berqurban bererti ketundukan total terhadap perintah-perintah Allah swt dan sikap menghindar dari hal-hal yang dilarangNya.
Allah swt ingin menguji hamba-hambaNya dengan suatu perintah, apakah ia dengan berbaik sangka kepadaNya dan keranaNya melaksanakan dengan baik tanpa ragu-ragu? Laksana Nabiyullah Ibrahim as.
Berqurban adalah bererti wujud ketaatan dan peribadatan seseorang, dan kerananya seluruh ruang-lingkup kehidupan seseorang boleh menjadi manifestasi dari sikap berqurban.
Atau seperti Qabil yang menurut logik otaknya dan kemahuan shahwatnya, sehingga dengan perintah berqurban itu, ia malah melanggar perintah Allah swt dengan membunuh saudara kembarnya sendiri? Ia berusaha mensiasati perintah Allah swt dengan kemahuannya sendiri yang menurutnya adalah baik. Namun, di situlah letak permasalahannya; ia tidak percaya perintah Allah swt.
Berqurban juga bererti keupayaan menyembelih hawa nafsu dan menyembelih nafsu shahwatnya yang selalu menyeru kepada kemungkaran dan kejahatan.
Seandainya sikap ini dimiliki oleh umat Islam, subhanAllah, umat Islam akan maju dalam segalanya. Betapa tidak, bagi mereka yang menjadi guru, dia berkorban dengan ilmunya. Usahawan pula berkorban dengan perniagaan yang adil dan halal. Pemimpin berkorban untuk kemajuan rakyat dan bangsanya, dan begitu seterusnya.
Kita berani menyembelih kemahuan peribadi yang bertentangan dengan kemahuan kelompok, atau keinginan peribadi yang bertentangan dengan syariat.
Dengan semangat ini, bentuk-bentuk kejahatan akan dikurangkan, malah dihilangkan, di atas bumi ini. BiizniLlah.
Kerana itu Allah swt menegaskan dalam firmannya melalui Surah Al-Hajj ayat ke 31 yang bermaksud: "Daging-daging unta dan darahnya sekai-kali tidak dapat mencapai (keredhaan) Allah, tetapi ketaqwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayahNya kepada kamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik."
Dan berqurbanlah. Qurban menjadi kebiasaan yang melegakan, bukan menjadi beban dan keterpaksaan. Kerana memang qurban tidak sekadar menyembelih binatang. WalLanu a'lam.
[Adaptasi daripada dakwtuna dot com]