Berbekal cinta garaplah redhaNya

E-mail Print PDF

Salam sejahtera serta keberkatan yang berterusan untuk puteri-puteri Islam sejati;
Maha Suci Allah yang menjuruskan kita pada landasan iman dan kebenaran. Kita berlindung kepada Allah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui dari gangguan syaitan ayng terkutuk. Kita yakini Allah sebaik-baik perlindung bagi orang-orang yang beriman. Dia mengeluarkan kita dari kegelapan jahiliyah kepada cahaya iman. Semoga Dia merestui junjungan kita Nabi Muhammad SAW dan keluarga baginda sebagaimana Allah merestui Nabi Ibrahim dan keluarganya. Sesungguhnya Allah sangat berhak dipuji dan diagungkan.

Puteri-puteriku yang sangat dikasihi dengan kasih-sayang Islam,
Bersyukurlah kita masih dikurniakan hayat yang sihat. Kesyukuran yang utama mesti sentiasa kita rasai adalah mensyukuri nikmat berada dalam agama Islam. Jika sebaliknya yang berlaku... nauzubillah! Kita dalam kawah kesesatan dan kehancuran!

Maha Suci Allah, yang dengan limpah-rahmatNya jua kita dihadiahkan kehidupan yang sempurna dengan kelebihan akal, jasad dan jiwa. Juga di bekalkan pendengaran, penglihatan dan lisan.

Hayati firman Allah dalam surah An-Nahl, ayat 78;
Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibumu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun, dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati supaya kamu bersyukur.”

Sehubungan hal bersyukur yang disebutkan dalam ayat tersebut perlu kita sedari satu hakikat besar di sebalik segala ketentuan yang telah Allah tetapkan. Fahami maksud firman Allah dalam surah Thaha ayat 39;
Dan Aku telah melimpahkan kepadamu kasih-sayang yang datang daripadaKu dan supaya kamu diasuh di bawah pengawasanKu.”

Ayat di atas berdasarkan peristiwa ketika Allah mengilhamkan kepada ibu nabi Musa a.s supaya memasukkan  bayinya ke dalam peti  dan di hanyutkan di Sungai Nil. Sehingga sampai ke istana Firaun yang sangat zalim yang dikenali sebagai musuh Allah dan juga musuh Nabi Musa. Semuanya telah Allah atur begitu rupa menepati  maslahat yang baik di sisiNya. Musa diasuh oleh Asiyah di istana Firaun dan dapat pula disusui oleh ibu kandungnya.
Begitu besar rahmat Allah, mengatur rapi demi satu perencanaan besar untuk tanggungjawab nubuwwah…bakal menyebar kebenaran bagi seluruh alam!

Dengan yang demikian, menjelaskan sesungguhnya CINTA merupakan limpahan dan curahan kasih YANG MAHA PENCIPTA kepada semua makhluk CIPTAANNYA. Ini juga bermakna, CINTA merupakan anugerah ALLAH kepada hamabNya(MANUSIA).

Puteri-puteri Harapan!
Pada penciptaan manusia yang pertama lagi; iaitu Nabi Adam a.s terbukti cinta itu merupakan fitrah insan. Dikatakan demikian kerana pada mulanya Nabi Adam yang Allah diciptakan sebagai khalifah  Allah, hidup seorang diri. Ketika itu belum ada manusia lain selain dirinya. Dia berasa kesunyian dalam kemewahan hidup di syurga. Kemudian Allah menciptakan pula Hawa menjadi teman dan isteri bagi Adam. Mereka menjadi penghuni syurga buat beberapa ketika…Disebabkan mereka terpedaya dengan hasutan iblis, maka Allah mencampakkan mereka ke dalam kehidupan dunia! Begitulah bermulanya kehidupan manusia di muka bumi ini…Namun mesti difahami semuanya telah Allah atur dengan sebaik-baiknya di dalam dakapan kasih Ilahi lagi hakiki. Supaya dengannya kita sentiasa terpimpin ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat kelak.

Puteri-puteri Islam yang gigih menyeru kebenaran,
Sering kita mendengar orang berkata; TAK KENAL MAKA TAK CINTA.
Kini telah kita ketahui bahawa Allah Yang Maha Bijaksana mencipta dan mengatur seluruh isi alam untuk memudahkan kita menikmati limpahan kasihNya. Dari itu terbukalah jalan untuk kita kenali dengan lebih dekat CINTANYA, cinta yang hakiki. Paduan antara kenal dan kagum inilah yang akan menerbitkan cinta tulus seorang hamba. Diiringi ketaatan dan kepatuhan kepada Al-Khaliq. Kesetiaan cinta akan terbukti dengan melakukan amal soleh. Inilah cinta hakiki di atas landasan kasih Ilahi. Inilah juga piawaian cinta untuk seisi alam.

Ibnu Qayyim berkata:
“Tidak ada yang lebih disukai oleh hati, melain suka kepada penciptanya kerana;

  • Penciptanya memelihara dan mentadbir segala urusannya.
  • Penciptanya memberi rezeki.
  • Penciptanya menghidup dan mematikan.

Cinta kepada Allah adalah;

  • Kebahagiaan semua jiwa.
  • Makanan setiap hati.
  • Cahaya bagi akal dan mata.

Ibnu Taimiyah berkata:
Hati manusia secara tabie berhajat kepada Allah kerana dua sebab;

  1. Untuk beribadat.
  2. Untuk berserah diri.

Anak-anakku, Hati tidak akan jadi baik bersih, gembira dan tenang, selagi belum sepenuhnya beribadah menyembah Allah dan cintanya berpaut kepada Allah.

Sewajarnya cinta seorang hamba terhadap Al-Khaliq mesti menepati seperti kata Imam  Fakru al-Razi;
Orang yang memahami faedah beribadat, akan senang mengerjakan ibadat dan akan merasa berat untuk mementingkan orang lain selain Allah.”

Puteri-puteri Islam yang gigih merebut cinta Ilahi,
Apabila tautan jiwa sipencinta terhadap yang dicintainya telah teguh dan padu, dia  sanggup mengorbankan apa saja yang dimiliki. Ini semata-mata memuaskan hati yang dicintai. Dia juga akan merasa bahagia dengannya. Begitulah juga bagi diri yang teguh cintanya kepada Allah. Sedaya upaya berusaha memenuhi perintah serta menjauhi larangan Allah. Dia juga tidak ragu-ragu memenuhi arahan berikut;

  • Katakanlah(Muhammad): Jika kamu mengasihi Allah, ikutlah aku nescaya Allah akan mengasihi kamu dan mengampuni dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (QS Ali-Imran:31)
  • Tidak beriman seseorang dari kamu, sebelum Allah dan RasulNya lebih dicintai dari orang lain.” (HR Bukhari dan Muslim)

Sekiranya sedaya upaya kita buktikan ikrar cinta kita kepada Allah; iaitu setiap ibadah kita semata-mata untuk beroleh redha Allah, maka layaklah kita beroleh ganjaranNya:

  1. “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh, kelak Allah Yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam hati mereka rasa kasih dan sayang.”(QS Maryam:96)
  2. Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Jika Allah mencintai seorang hamba, maka Jibril berseru; sesungguhnya Allah mencintai Fulan, maka cintailah dia! Maka para penghuni langit mencintainya. Kemudian dijadikan orang-orang yang menyambut cintanya di bumi.”
  3. Rasulullah bersabda: “Allah berfirman pada hari qiamat, Manakah orang yang saling mencintai dengan keagunganKu? Pada hari ini Aku melindungi mereka di bawah lindunganKu, pada hari yang tiada lindungan selain lindunganKu.”(HR Muslim)

Begitulah hasil yang akan kita perolehi sekiranya kecintaan Allah kita utamakan.
Semua tahapan cinta yang akan kita lalui dalam hidup ini akan mampu kita juruskan pada batas yang Allah redhai:

  • Cinta ayah-ibu terhadap anak akan berlangsung seperti yang Allah pertanggungjawabkan.
  • Cinta anak terhadap ayah-ibu juga dalam rangka ketaatan yang Allah tentukan.
  • Cinta suami-isteri tertakluk kepada peraturan-peraturan dan hak yang Allah perintahkan.
  • Cinta sesama saudara Muslim semestinya demi mendapatkan keredhaan Allah.

Wassalam.
Ummu Anas.

 

Kelab Kesihatan HALUAN

Kelab Kesihatan HALUAN (KKH)

Kelab HALUAN Fitrah

Kelab HALUAN Fitrah

Kelab Siswa HALUAN

HALUANSISWA

Kelab Remaja HALUAN

Kelab Remaja HALUAN (KeARAH)

 

Kelab Guru HALUAN

Kelab Guru HALUAN

Pusat Jagaan HALUAN

Pusat Jagaan HALUAN

PEMANGKIN HALUAN

PEMANGKIN HALUAN

Misi Bantuan Banjir 2007

Laporan Misi Bantuan Banjir 2007