Bekerja dan berkhidmat tanpa berkira siapa

E-mail Print PDF

Saya baru sahaja pulang dari bermusafir di Kota Bharu, Kelantan. Kota negeri yang dikenali dengan gelaran ‘Serambi Mekah’. Begitu pesat pembangunan yang sedang berlaku di sana. Sistem jalannya baru sahaja diubah menjadikan sebahagian jalannya menjadi jalan sehala.

Dataran yang dulunya tempat berehat di depan bangunan Tenaga Nasional telah menjadi ‘highway’ yang sibuk. Warung-warung makan di tepi ‘padang bas’ kini telah tiada, bertukar menjadi gedung membeli belah.  Mujurlah gedung buku Jaafar Rawas masih seperti dahulu. Terasa hilang sedikit identiti Kota Bharu.

Saya berharap agar pihak berkuasa di sini tidak terlalu berkejar membina bangunan. Keistimewaan Kota Bharu adalah disebabkan keunikannya ciri-cirinya. Orang datang ke Kota Bharu untuk melihat budayanya, juga untuk melihat budaya niaga usahawan-usahawan kecil Melayu yang begitu gigih yang memeriahkan suasana di tengah-tengah kota ini.

Pasar malam di Marrakech, Maghribi Mungkin wajar kita melihat bagaimana pasar malam di Marrakech, Maghribi (gambar di sebelah) yang kini diiktiraf menjadi tapak warisan oleh Unesco. Pun begitu, harap-harapnya pembangunan materi itu selari dengan pembangunan insaniah warganya.

Kunjungan singkat saya sempat menemukan saya dengan beberapa sahabat yang telah lama tidak bertemu.  Salah seorang yang saya sangat berhajat untuk bertemu ialah Dr Arif yang tidak sempat saya ziarahi ketika beliau sakit akibat serangan jantung satu ketika dahulu.

Beliau adalah pemilik Klinik Ehsan yang beroperasi di ‘kedai’ Ketereh. Perkataan ‘kedai’ bermaksud pekan dalam istilah orang Kelantan. Dr Arif juga dikenali sebagai Dr Ehsan bagi sesetengah pesakit beliau. Sebagai seorang yang pernah menjadi ‘mas’ul’ saya, saya merasa terhutang selagi tidak bertemu beliau.

Dr Arif berbakti kepada mangsa gempa di PadangDalam kesibukan beliau menguruskan klinik dan tugasan-tugasan lain, sempat juga beliau meluangkan masa berjumpa saya untuk makan tengahari bersama. Kami berkongsi cerita dan pengalaman masing-masing. Beliau seperti biasa tetap ceria dan sudah bercucu rupanya. Begitu cepat rasanya masa berjalan.

Antara yang menarik pada saya ialah pengalaman beliau turut serta dalam misi kemanusiaan ke Padang yang baru-baru ini ditimpa musibah gempa bumi. Beliau turut serta dalam misi kemanusiaan Haluan yang memberikan bantuan perubatan dan sebagainya kepada mangsa-mangsa gempa di sana. Beliau menceritakan tentang penderitaan dan kesusahan yang dialami oleh penduduk Padang. Kehadiran saudara-saudara dari Malaysia yang datang membantu amat dihargai penduduk yang sedang kesusahan. Beliau menceritakan tentang ada penduduk yang mengharapkan mereka datang bukan sekadar membantu aspek kebendaan tetapi juga aspek Iman dan ‘aqidah.

Apa yang berlaku sekarang kebanyakan dari misi-misi bantuan yang datang adalah dari pertubuhan-pertubuhan misionaris Kristian. Pertubuhan-pertubuhan ini datang dengan segala macam bantuan yang diperlukan. Timbul kebimbangan tentang pengaruh mereka kepada ‘aqidah mangsa-mangsa yang dibantu. Dalam hal ini saya berpendapat adalah tidak wajar jika kita berasa marah kepada para misionaris itu kerana mereka hanya melakukan apa yang mereka percayai sebagai benar. Apa yang penting ialah bagaimana Muslim mahu menyaingi mereka dari segala sudut.

Maka kehadiran Dr Arif dan rakan-rakannya merupakan suatu perkara yang sangat besar dalam aspek ini. Mereka datang membawa bukan sekadar membawa ubat atau makanan, tetapi kedatangan mereka merupakan syi’ar yang menampilkan Islam sebagai rahmah kepada alam ini. Ramai dari mereka yang menyertai misi kemanusiaan itu adalah mereka yang berharta dan dan hidup senang di Malaysia namun mereka juga kaya dengan rasa ukhuwwah dan kaya dengan sifat belas.   

Ironinya, sewaktu berjalannya misi kemanusiaan itu sentimen anti Malaysia sedang membara di Indonesia. Insiden-insiden yang berlaku di antara warga Malaysia dan Indonesia bagaikan minyak yang menambah maraknya api kebencian. Ada yang menukar nama Malaysia menjadi ‘Malingsia’ (maling=pencuri). Insiden kapal laut tentera, kekejaman majikan Malaysia, tarian pendet dan macam-macam lagi menjadi bahan api kemarahan. Bendera Malaysia dibakar, kedutaan dibaling dengan telur dan ada yang menghentikan orang di jalanan semata-mata mahu mencari  rakyat Malaysia.

Sentimen anti Malaysia Sesi ‘unjuk rasa’ diadakan dengan emosi yang meluap-luap di Jakarta. Sehinggakan ramai ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang belajar di Indonesia merasa khuatir dengan keselamatan anak-anak mereka. Anak-anak Malaysia di Jakarta bimbang untuk keluar bimbang dicederakan mereka yang hilang pertimbangan.

Di Malaysia juga timbul kemarahan kepada warga-warga Indonesia yang dilihat ‘ramai’ terlibat dengan jenayah berat. Rompakan dan pecah rumah adalah dua jenayah yang sering dituding pada warga Indonesia di Malaysia.

Orang Malaysia memanggil warga Indonesia dengan panggilan ‘Indon’ yang dianggap agak menghina bagi warga Indonesia. Saya teringat seorang pelajar peringkat sarjana di bawah seliaan saya yang menyatakan kekecewaan dengan sikap orang Malaysia yang memanggilnya dengan panggilan ‘Indon’. Mungkin kepada orang Malaysia itu hanyalah sebagai singkatan dari ‘Indonesia’ tetapi baginya itu adalah satu penghinaan.

Ada yang marah dengan orang Malaysia kerana tidak menghargai sumbangan tenaga kerja Indonesia dalam pembangunan Malaysia. Pada masa yang sama pula ada yang marah kepada warga Indonesia yang tidak berterima kasih dengan peluang kerja di Malaysian yang telah memberi kemakmuran kepada banyak desa di Indonesia. Manakala di tengah-tengah dua kelompok itu ada golongan yang mempunyai pelbagai kepentingan dan mencari makan dari penjual surat khabar yang perlu ’sensasi’ berita, orang politik yang mahu menang pilihanraya hinggalah tokoh khalayak yang mahu jadi popular.

Pada hakikatnya ada orang Jahat di Malaysia dan juga di Indonesia. Bukan semua Malaysia itu jahat, dan bukan semua Indonesia itu baik. Yang jahat itu manusia bukan buminya. Yang jahat itu seseorang, bukan semua orang. Namun, sudah menjadi adat manusia yang jahil atau bodoh akan menjadi tunggangan yang cerdik. Semangat Asabiyah dikipas agar terbakar dan terus terbakar.

Pada masa yang sama kita perlu bersikap adil. Majikan yang jahat perlu dihukum, pekerja yang jahat perlu juga dihukum. Saya yakin mereka yang berpegang dengan Islam tidak akan mudah dipengaruhi dengan sentimen-sentimen ‘kebangsaan’ itu. Namun, saya juga menerima hakikat bahawa ramai di kalangan orang Islam sendiri tidak ‘berpegang’ dengan Islam, baik di Malaysia mahupun di Indonesia. Bahkan kalau kita amati banyak pertelingkahan yang berlaku antara sesama Muslim adalah kerana kuatnya mereka berpegang dengan suku dan bangsa.

Sejarah Aus dan Khazraj di sambung oleh Bani Umayyah dan  Bani Abbasiyyah sehinggalah kepada pertembungan antara pemberontakan orang Arab dengan Khilafah Uthmaniyyah. Akibat pengaruh kesukuan yang begitu kuat maka kita sekarang mendapati pusat dunia Islam diletakkan di bawah pengaruh kesukuan atau ke’bangsa’an. Bukankah Makkah dan Madinah yang di dalamnya ada Masjidil Haram dan Masjidin Nabawi dikuasai oleh Arab ‘Saudi’ (Bani Saud) yang dahulunya kita kenali hanya sebagai tanah Hijaz.

Sebaiknya kita mengambil pengajaran dari Al-Qur’an yang mengajar kita tentang kehidupan ini. Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah diantara kedua saudaramu (yang bertelingkah) itu. Jika salah satu dari keduanya berbuat zalim terhadap (golongan) yang lain, maka perangilah (golongan) yang berbuat zalim itu, sehingga golongan itu kembali (kepada perintah Allah), maka damaikanlah antara keduanya dengan adil, dan berlakulah adil, Sesungguhnya Allah Mencintai orang-orang yang berlaku adil”  - Al-Hujurat;9.

Dan,

“Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui , Maha Teliti”  – Al-Hujurat;13.

Mungkin bagi sesetengah orang, maksud ayat-ayat Al-Qur’an yang dinyatakan tadi hanya layak untuk ditulis menjadi perhiasan di dinding. Tetapi bagi sebahagian yang lain pula ayat-ayat tadi mempunyai maksud yang jelas dan menjadi panduan dalam kehidupan seharian. Mereka ini mungkin berwajah Malaysia ataupun berwajah Indonesia atau mungkin berwajah-wajah lain lagi.

Apa yang pasti dalam kesibukan sesetengah manusia bersentimen dan bersikap jahil, Dr Arif dan rakan-rakannya akan terus bekerja dan berkhidmat tanpa berkira siapa kerana pada akhirnya yang penting adalah Allah redha.

__________________

Tulisan Wahab Fathoni (wahabfatoni.wordpress.com)

 

Kelab Kesihatan HALUAN

Kelab Kesihatan HALUAN (KKH)

Kelab HALUAN Fitrah

Kelab HALUAN Fitrah

Kelab Siswa HALUAN

HALUANSISWA

Kelab Remaja HALUAN

Kelab Remaja HALUAN (KeARAH)

 

Kelab Guru HALUAN

Kelab Guru HALUAN

Pusat Jagaan HALUAN

Pusat Jagaan HALUAN

PEMANGKIN HALUAN

PEMANGKIN HALUAN

Misi Bantuan Banjir 2007

Laporan Misi Bantuan Banjir 2007