6 Mac 2010, Kuala Lumpur - HALUAN Selangor dengan kerjasama Biro Sukan & Rekreasi HALUAN Pusat telah berjaya menganjurkan pertandingan Bola Tampar Antara Daerah bertempat di Komplek Sukan Taman Tasik Titiwangsa. Sebanyak 8 buah pasukan mewakili pelbagai daerah di Selangor dan Wilayah Persekutuan, termasuk sebuah pasukan gabungan Negeri Sembilan dan Melaka telah memeriahkan pertandingan tersebut. Pertandingan ini telah berjaya menghimpunkan lebih 100 orang pemain dan penyokong dari kalangan anggota HALUAN dari pelbagai peringkat umur.
Objektif penganjuran pertandingan adalah untuk menggalakan aktiviti beriadah di kalangan anggota HALUAN, supaya dapat meningkatkan lagi kesihatan dan kecergasan mereka.
Pertandingan dimulakan seawal jam 8 pagi dengan sessi memanaskan badan dan regangan, diikuti taklimat ringkas mengenai pertandingan. Pasukan-pasukan yang bertanding dibahagikan kepada dua kumpulan, di mana pusingan awal telah dijalankan secara liga mengikut kumpulan. Pasukan-pasukan yang bertanding telah menunjukkan semangat kesukanan dan kesungguhan yang tinggi dan perlawanan berlangsung dengan suasana yang sengit.

Yang Di Pertua HALUAN Selangor, Prof. Madya Dr Nik Muktasim Nik Ab Rahman, dalam ucapan penutupnya telah melahirkan rasa gembira dengan kehadiran ramai anggota muda menyertai pertandingan tersebut. Beliau berharap aktiviti yang dijalankan dapat mengeratkan ukhuwah di kalangan anggota disamping mengingatkan kepada semua peri pentingnya untuk sentiasa konsisten dalam melaksanakan aktiviti riadah dan menjaga kesihatan yang dianugerahkan oleh Allah SWT.
Pasukan gabungan dari Negeri Sembilan dan Melaka telah muncul sebagaijJohan pertandingan setelah berjaya mengalahkan pasukan dari Shah Alam. Tempat ketiga telah dimenangi oleh pasukan Kuala Lumpur Selatan. Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan YDP HALUAN Selangor, Ustaz Soleh Saat.










