Permatang Pauh, 11 Disember 2009 – HALUAN Pulau Pinang dengan kerjasama Jawatankuasa Masjid Al Falah, Pengkalan Tambang, Permatang Pauh telah menganjurkan Kem Smart Tahfiz dari 4 Disember hingga 11 Disember baru lalu. Kem ini dihadiri oleh seramai 45 orang pelajar dari tahun 1 hingga tahun 5. Mereka terdiri daripada 28 orang pelajar lelaki dan 17 orang pelajar perempuan.
Melalui kem ini, anak-anak telah dilatih untuk menghafal surah-surah dalam Juz Amma dan membetulkan tajwid. Di samping aktiviti asas ini, ceramah motivasi, tayangan video, riadhah dan gotong royong juga telah diadakan.
Rata-rata peserta melahirkan rasa puas hati dengan perjalanan program ini. Bersandarkan kepada kejayaan program kali ini, pihak penganjur bercadang untuk mengadakan program yang sama pada cuti sekolah yang akan datang.
Majlis penutup dan penyampaian hadiah telah dilaksanakan oleh YDP HALUAN Pulau Pinang, Tuan Haji Dr. Ismail Bin Jusoh, dan Pengerusi Jawatankuasa Masjid, Cikgu Zaini Bin Mohd Zain.











