13 September 2009, IPOH - HALUAN Perak telah mengadakan majlis penyampaian sumbangan sempena Ramadhan dan sambutan Idilfitri di kampung angkat HALUAN Perak di Surau Kg Tualan Tujuh, Kampung Kepayang. Seramai 30 orang wakil dari HALUAN dan HALUNITA Perak telah bersama-sama meraikan sejumlah 39 keluarga miskin dari Kg Sg.Ular, Kg Tersusun Paya Rengas, Kg Paya Rengas dan Kg Tualang Tujuh bagi menerima sumbangan berbentuk wang ringgit dan barangan dapur untuk persediaan menyambut Idilfitri.
Rombongan HALUAN Perak yang diketuai oleh YDP HALUAN Perak, Encik Amran Bin Yeop Zahari, telah disambut mesra oleh Ketua Kampung, Tuan Haji Halim Bin Mat Isa, bersama hampir 40 orang kampung yang terdiri dari pelbagai lapisan umur. Program ini dimulakan dengan solat Asar bersama dan diikuti dengan penyampaian Takzirah Ramadhan oleh Ustaz Sofiuddin Bin Ahmad Farid.
Sebelum majlis penyampaian sumbangan, YDP HALUAN merakamkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah S.W.T kerana dengan limpah dan kurniaNya dapat disumbangkan tenaga dan bakti sekali lagi di kampung ini setelah Program Khidmat Kesihatan dan Pertandingan Memancing bagi belia kampung yang dianjurkan pada bulan Ogos dilaksanakan dengan jayanya. Beliau berharap sumbangan yang diberikan oleh HALUAN Perak ini sekurang kurangnya dapat menjadi penawar dan kegembiraan menjelangnya ketibaan Idilfitri nanti. Disamping itu, beliau juga menyaran agar Ramadhan yang hampir kepada penghujungnya ini direbut bersama-sama dengan mengerjakan amalan soleh dan ibadat yang berlipat ganda.
Beliau juga mengambil peluang untuk mewar-warkan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan bersama-sama masyarakat kampung terutama golongan remaja dan belia dibawah platform baru HALUAN Perak iaitu Kelab Belia HALUAN Ipoh (KBHI) yang mana penubuhannya baru sahaja diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan Belia Malaysia. Pihak HALUAN berharap aktiviti-aktiviti yang disusun selepas ini akan dapat mengisi masa pemuda-pemudi dan belia-beliawanis kampung dengan aktiviti yang berfaedah dan tarbawi.

Sumbangan-sumbangan ini disampaikan sendiri oleh YDP HALUAN diiringi oleh Ketua Kampung Tualang Tujuh. Majlis diteruskan dengan Majlis Berbuka Puasa bersama dan diakhiri dengan Solat Tarawih berjamaah bersama-sama masyarakat kampung tersebut.
Laporan oleh:
Mohd Izwan Bin Mohd Aminuddin
Setiausaha Kerja HALUAN Perak










