Relawan HALUAN dari pelbagai daerah di tanah air turun membanting tenaga di Pekan. Keadaan bangunan yang rosak dan kotor, kebanyakannya ditenggelami sehingga 2 meter, diliputi lumpur tebal. Alhamdulillah, relawan HALUAN telah bersama-sama menyertai gotong-royong dengan masyarakat setempat, guru-guru, PIBG dan pasukan Bomba dan Penyelamat untuk memulih dan membersih kemudahan awam dan rumah-rumah mangsa.
Hampir semua harta-benda mangsa-mangsa musnah atau rosak. Bagi mereka yang berada, barangan elektrik, perabot, pakaian, malahan kenderaan, hampir semuanya ditenggelami air. Bagi mereka yang kurang berada, terutama masyarakat kampung, keadaan menjadi lebih sulit dari hari-hari biasa. Alhamdulillah, HALUAN dapat menyampaikan sumbangan hasil kutipan dari masyarakat prihatin, kalangan korporat yang dermawan dan ahli HALUAN sendiri. Anak-anak mangsa banjir yang berjaya cemerlang dalam peperiksaan PMR juga digembirakan dengan cenderahati. HALUAN turut mengumpul maklumat masyarakat miskin, ibu tunggal dan anak-anak yatim untuk tindakan susulan. InsyaAllah sumbangan yang tidak seberapa ini akan dapat meringankan beban mereka dan merubat perasaan mereka di atas ujian Allah Yang Maha Kaya Lagi Maha Pemberi.
Anak-anak dan remaja terpaksa berada dalam suasana yang agak luarbiasa, kerana terpaksa hidup di penempatan sementara yang tidak selesa seperti di rumah masing-masing. HALUAN cuba mengisi masa mereka secara bermanfaat, supaya tidak dibazirkan begitu saja, tambahan pula dengan keadaan ibu-bapa mereka yang sibuk dengan urusan-urusan lain. Alhamdulillah, dengan sukaneka, tayangan video pendidikan, kelas-kelas al-Quran dan juga sesi kaunseling berjaya menghiburkan mereka, melupakan seketika musibah yang melanda mereka. Hadiah yang tidak seberapa, walaupun sebiji belon, cukup untuk mengukir senyuman di wajah mereka. Tahniah kepada relawan-relawati dari Kelab Rakan HALUAN (KeARAH) yang melahir ide, kreativiti dan tenaga untuk menjayakan program anak-anak dan remaja.
Relawati-relawati dari HALUANITA turut memainkan peranan yang besar. Oleh kerana kaum ibu memikul tanggungjawab berat untuk menjaga anak-anak mereka, samada di pusat penempatan mahupun di kampung-kampung, HALUANITA telah berusaha mendekati mereka dengan menyampaikan khidmat kaunseling, beramah-mesra, menziarahi dan menyampaikan hadiah kepada ibu yang baru melahirkan anak, menyampaikan barangan sumbangan dari orang ramai seperti telekong wanita dan pakaian harian, juga tidak ketinggalan membersihkan kawasan-kawasan penempatan.
Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) telah berjaya mengerahkan doktor-doktor memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir. Di peringkat awal, keperluan kepada doktor dan paramedik adalah sangat kritikal. Ketika itu, doktor-doktor dari KKH pula sedang berbakti kepada mangsa-mangsa di Kelantan dan Johor. Alhamdulillah, walaupun terpaksa meredah air dan menaiki bot meredah arus yang deras, doktor-doktor KKH, lelaki dan wanita, tetap berbakti, sehinggalah ke fasa bilamana mangsa-mangsa pulang ke kediaman masing-masing untuk rawatan dan pemeriksaan susulan. Antara kes-kes yang kritikal adalah seperti mangsa yang patah kaki, pendarahan dalam perut, dan tidak ketinggalan juga yang dipatuk ular.
Gambar-gambar berikut adalah antara yang dirakamkan oleh relawan-relawan HALUAN yang turun ke Pekan di fasa awal banjir. Keadaan seperti lautan itu sebenarnya bukan lautan mahupun sungai, tetapi adalah jalanraya dan kawasan perkampungan yang bertukar menjadi tasik yang besar. Begitulah kekuasaan Allah yang boleh menukar sesuatu di luar jangkaan dan bayangan kita manusia, dengan begitu mudah. Apalah nilai hidup kita dan harta-harta kita jika tidak digunakan untuk mentaati Allah dan memakmurkan alam ini? Semoga bencana ini mengingatkan kita supaya tidak terlalu leka dengan kehidupan yang mengkhayalkan ini.
HALUAN Akhiri Misi Bantuan Banjir di Pekan
Dengan suasana banjir di daerah Pekan yang hampir pulih sepenuhnya, HALUAN akan menamatkan misi bantuan banjir di daerah tersebut mulai 30hb Disember. Alhamdulillah, relawan-relawan HALUAN telah dapat mendidik dan berbakti di Pekan sejak 14hb Disember yang lalu, meliputi bantuan rawatan perubatan, kaunseling dan pendidikan, aktiviti sukan dan juga kerja-kerja pemulihan dan pembersihan.

Menjelang hari-hari akhir misi tersebut, relawan-relawan HALUAN telah bersama-sama penduduk kampung dan Bomba menjalankan kerja-kerja pembersihan di Sek Keb Kg Pedap. Menurut ketua relawan misi bantuan banjir di Pekan, Sdr Abd Bashir Abd Ghani, seramai 28 orang relawan HALUAN bergotong-royong secara intensif, memadangkan sekolah tersebut telah ditenggelamai air sedalam 6 kaki dan diliputi kotoran dan lumpur yang tebal. Manakala satu pasukan yang terdiri dari 15 orang relawan HALUAN telah bekerjasama dengan Bomba dan pelajar-pelajar IKM Pekan membersihkan bangunan Sek Keb Kg Langgar.
Relawan dari Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) juga turut menjalankan khidmat rawatan kesihatan percuma kepada mangsa-mangsa banjir yang baru pulang ke kediaman masing-masing di Kg Baru Cenderawasih, Sg Miang. Ada juga kes-kes pesakit yang perku dirujuk ke Hospital, seperti mangsa yang patah bahu dan pendarahan dalam perut. Rawatan perubatan HALUAN telah mendapat kerjasama dan sumbangan ubat-ubatan daripada Yayasan Tun Rahah Pekan.
HALUAN juga turut menjalankan aktiviti-aktiviti lain seperti sukaneka untuk kanak-kanak dan remaja, tayangan video pendidikan dan ceramah kesedaran kepada kaum ibu. Aktiviti bersama kanak-kanak kebanyakannya dijalankan oleh relawan-relawan dari kalangan ahli Kelab Rakan HALUAN (KeARAH-IPT) UIAM Kuantan.
Di samping itu, HALUAN juga telah berjaya mengagihkan pakaian terpakai dan telekong wanita kepada 140 orang mangsa banjir. Tidak ketinggalan juga, HALUAN turut menyampaikan saguhati kepada pelajar-pelajar cemerlang dalam peperiksaan PMR yang baru lalu.
Menurut Sdr Abd Bashir, sambutan masyarakat terhadap usaha-usaha bantuan HALUAN adalah amat memberangsangkan, di mana mereka telah melahirkan rasa terharu, gembira dan terhutang budi kepada relawan-relawan. Malah, mereka juga melahirkan rayuan dan harapan agar HALUAN dapat meneruskan usaha membantu mereka dan melawat kampung-kampung mereka di masa akan datang. Dari pengamatan Sdr Abd Basir, beberapa keluarga mangsa perlu di beri perhatian kerana kemiskinan dan kes-kes ibu beserta keluarga yang ditinggalkan oleh suami.
Pada hari terakhir misi, seramai 50 orang relawan HALUAN telah membersihkan sekolah dan kemudahan awam di Kg Mambang. Manakala sekumpulan relawan lain membersihkan Sek Men Sains Sultan Ahmad Shah (SHAH,) yang juga merupakan pusat operasi misi bantuan banjir HALUAN di Pekan. Manakala relawati dari HALUANITA telah menjalankan kerja-kerja pembersihan di pusat penempatan KEMAS Peramu.
Dengan kepulangan kumpulan terakhir relawan HALUAN seramai 98 orang ke tempat masing-masing, maka berakhirlah misi bantuan banjir di Pekan. Walau bagaimanapun, HALUAN akan membuat susulan kepada perkara-perkara yang melibatkan kebajikan dan pendidikan mangsa-mangsa banjir.
Pihak Urusetia misi bantuan banjir HALUAN di Pekan merakamkan rasa terima kasih kepada semua yang terlibat, samada secara langsung atau tidak. Tahniah kepada semua relawan-relawan HALUAN yang telah sanggup berkorban demi kesejahteraan masyarakat kita. Sanjungan juga ditujukan kepada semua pihak yang terlibat, termasuklah pihak berkuasa seperti Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3,) pengurusan penempatan banjir dan sekolah-sekolah, Yayasan Tun Rahah, Hospital Pekan, klinik-klinik kesihatan di Kg Ubai dan daerah-daerah lain, juga tidak ketinggalan jawatankuasa dan penduduk kampung serta mangsa-mangsa banjir sendiri. Terima kasih dan tahniah juga kepada semua masyarakat prihatin yang memberi sumbangan berbentuk pakaian, makanan, wang dan sokongan kepada mangsa-mangsa banjir. Setiap kekurangan dan kesilapan dari pihak HALUAN dan relawan-relawan HALUAN harap dapat dimaafkan.
Sesungguhnya hanya kepadaNya akan dikembalikan segala sesuatu. Dan semua yang hidup pasti akan merasai kehilangan apa yang disayanginya samada nyawa, harta dan kehidupan (masa). Begitulah pengajaran penting yang melintasi sanubari dan mindaku semasa melihat keadaan banjir yang melanda negeri Pahang amnya, dan daerah Pekan khususnya.
Inilah ceritaku.
Sekembalinya dari misi menghantar sepasukan sukarelawan dari Kuala Lumpur melalui jalan darat pada 22hb Disember 2007 melalui jalan Kuantan – Muadzam Shah – Rompin – Pekan, saya dan seorang relawan dari Kelantan ditugaskan membuat tinjauan di tempat baru sepanjang jalan kampung persisir sungai Pahang iaitu dari Paloh Hinai hingga ke Pekan. Jalan ini mengambil masa perjalanan 3 jam walhal jika melalui jalan biasa, ianya hanyalah mengambil masa 40 minit saja.
Kami pun mengumpul maklumat-maklumat penting. Kami dimaklumkan oleh orang-orang kampung di Paloh Hinai bahawa jalan ini masih ditengelami banjir di beberapa tempat, ada tempat-tempat yang air banjir mencecah sampai ke paras dada, ada bahagian jalan yang rosak akibat hakisan banjir dan terdapat lebih 10 kampung masih ditengelami banjir di ketika itu.
Ini tentulah mendebarkan kerana kedalaman air banjir adalah susah untuk diduga, terutamanya semasa memandu, dan banyak tempat terdapat arus air yang deras melintasi jalan. Dari pengalaman terdahulu dari Kg Ubai ke Pekan, trak tentera berkapasiti 10 tan pun boleh tersangkut.

Rakan relawan sedang meninjau; Keselamatan mesti diutamakan.
Tetapi dengan bermatlamatkan misi ‘Mendidik Dan Berbakti’ dan menaiki kenderaan 4WD Ford Ranjer, kami memberanikan diri dan bertawakkal.
Di sepanjang perjalanan 40km ke Jalan Pekan-Kuantan ini, kelihatan banyak lembu, kenderaan dan mangsa banjir disepanjang jalan. Ada yang memeriksa kenderaan, terutamanya di tempat-tempat tinggi. Kami dimaklumkan bahawa semasa banjir besar, rata-rata jalan ini dinaiki air sedalam 1 kaki dan ada yang sampai 5 kaki.
Berbagai paras wajah terbayang , ada yang sayu, tenang, marah, bersemangat dan suka-ceria, terutama sekali dari kalangan kanak-kanak. Hampir semua bangunan-bangunan seperti balai penghulu, dewan orang ramai, klinik, sekolah dan masjid dinaiki air.

Balai Penghulu Mukim Temai – pun tenggelam.
Dari banyak-banyak kampong yang kami lalui itu, kami telah membuat keputusan untuk membuat tinjauan lanjut di kampung Temai, meliputi Temai Hulu, Temai Tengah dan Temai Hilir. Perkampungan ini terletak lebih 20km dari kg Paloh Hinai. Kami terpaksa mengharungi air deras merentasi jalan sedalam 1 kaki untuk sampai ke situ.
Di sini kami menanyakan penduduk kampung yang berada sepanjang jalan beberapa maklumat penting seperti penempatan mangsa banjir, nama dan nombor telepon tok empat dan penghulu, serta keadaan kesihatan dan bekalan makanan mereka.
Kelihatan dari jalan terdapat penempatan mangsa banjir di dewan orangramai yang masih ditengelami air paras dada dan perlu mengunakan sampan untuk perhubungan. Kami juga dimaklumkan terdapat penempatan di sebuah sekolah rendah yang turut ditengelami air dengan mangsa sekitar 400 orang.

Nun di belakang pokok kelihatan pusat penempatan banjir - balai orang ramai.
Bayangkanlah bagaimana di situ sajalah mereka makan, tidur dan beraktiviti terutamanya kaum ibu dan anak-anak. Tentulah ada masaalah dan ganguan emosi, mungkin juga masaalah social, di tempat sebegini.
Tetapi inilah ‘sasaran’ khidmat pasukan kami yang selanjutnya sebagai ‘relief team’. Setelah mendapat maklumat yang dihajati, kami pun bergerak pulang menjejaki perjalanan sejauh 25km. Dalam perjalanan itu kami disapa seorang lelaki yang seolah-olah melambai memerlukan bantuan kenderaan. Kamipun berhenti menghampirinya dan dia pun terus menerangkan hajatnya.
Apalagi, kami pun menawarkan khidmat untuk mengangkut bukan sahaja seorang tadi, tapi 3 keluarga yang terkandas selama 2 minggu di rumah orang tua mereka.
Maka kelihatan rumah baru sederhana saiznya yang hampir siap dan bertiang yang digenangi air pada paras lantai. Dari kejauhan kelihatan keadaan dalam rumah agak kelam-kabut, penghuninya mengemas barang ke dalam beg dan karung makanan. Si suami di jalan melaung-laung supaya urusan dipercepatkan sikit, sedangkan keadaan di dalam rumah dengan para ibu dan anak-anaknya bertambah sibuk. Melihat situasi sebegitu, kami memberitahu si suami itu supaya bertenang, dan kami boleh menunggu.
Dari jauh kelihatan sepasang warga emas barangkali ibubapanya, berpelukan dengan anak cucunya terdesak melepaskan mereka pergi . Kami pun tidak menanyakan soalan atau berbual lanjut, sebaliknya kami terus menbantu mengangkat beg pakaian, barang-barang dan anak mereka kedalam 4WD kami. Suasana sangat tegang dan pilu.

Beg dan barang diangkut susun dibelakang 4WD – 3 keluarga terlibat.
Dalam lambaian perpisahan itu , kelihatan si ibu tadi mengesatkan mukanya, mungkin airmata pilu, dan si bapa kelihatan tenang tetapi sedih. Jadi 3 keluarga yang menumpangi kami ini, 14 orang kesemuanya naiklah kederaaan kami di depan dan di belakang, dengan rakan relawan bertindak pengawal keselamatan, mengharung air dan menuju ke Kg Paloh Hinai.
Dalam perjalanan itu ada anak yang menangis dan ada yang suka, mungkin kerana dapat balik ke rumah dan melihat daratan. Kedengaran seorang ibu di kerusi belakang masih teresak-esak sedih, mungkin mengenangkan orang tuanya yang dikatakan masih agak uzur.
Keadaan hening seketika dan saya hanya membiarkan keadaan itu untuk difahami. Dalam perjalanan itu seorang ibu lain bersebelahan kerusi saya memandu yang memangku anak merenggek lapar susu.
Dalam perjalanan sejauh 15km itu, keadaan agak tenang kerana kenderaan dipandu perlahan untuk keselamatan, memandangkan keaadan bahagian belakang kenderaan yang sarat dengan barang dan penumpang.
Maka setelah 20 minit berlalu, sampailah kami ke Kg Paloh Hinai. Kami ditunjukkan 2 buah kenderaan mereka yang diletakkan di situ semasa banjir untuk keselamatan dari ditengelami air. Setelah berhenti dan menurunkan penumpang serta barang muatan, kami difahamkan terdapat satu keluarga yang tidak mempunyai kederaan untuk ke rumah mereka. Lalu kami pun menawarkan khidmat kami. Rupa-rupanya rumah keluarga ini berhampiran dengan lokasi yang kami tuju, iaitu iaitu Kg. Permatang Badak. Apa lagi, naiklah keluarga ini, walaupun mereka pada awalnya agak berat untuk menumpang kami, mungkin kerana takut menyusahkan kami.
Keadaan menjadi bertambah ramah. Mereka menceritakan kepada kami keadaan orang tua mereka dan keluarga mereka. Kami pun menerangkan pengenalan pasukan sukarelawan HALUAN serta akitvitinya. Seperti biasa dalam misi seperti ini, kami meminta nama orang tua mereka dan nombor telepon orang terdekat. Rupanya mereka ini adalah suadara Tok Empat Temai Hilir.
Lalu kami terus ke rumah mereka di satu taman perumahan di Kg Permatang Badak. Setelah menurunkan mereka, kami pun bersalaman dan sempat dihadiahkan pisang kelat-manis, sebagai kenangan katanya.
Itulah catatan perjalanan kami. Rupanya, khidmat medik tersangat kekurangan, di mana banyak lagi kampung-kampung yang tidak mendapat kunjungan medik, terutama sekali dari kalangan warga emas yang enggan berpindah. Mereka agak tersisih dari bantuan perubatan dan bekalan makanan, berbanding mangsa di pusat penempatan banjir.
Sebelum berakhir saya teringat kepada satu rangkap lagu atau syair, ‘aku menulis bukan kerna nama, kerna sifat kasih, pada sesama insan, yang mengharapkan kasih sayangMu.’
Sekian.
Catatan:
Abu Ahmad, Pandan Damai 2, Kuantan.
24/12/07
HALUAN yang terus bergerak aktif dalam bidang kebajikan dan pendidikan telah berkampung di Pekan bagi menghulurkan bantuan bagi membantu dan meringankan bebanan mangsa-mangsa banjir di daerah Pekan sejak awal banjir pada 14 Disember 2007 sehingga ke hari ini.

Menurut Yang Di Pertua HALUAN Cawangan Pahang, Tn Hj Ramli b. Ngah, aktiviti-aktiviti kebajikan yang disumbangkan oleh HALUAN selain memberi khidmat kesihatan (medik) oleh Kelab Kesihatan HALUAN (KKH) termasuklah mengadakan program pendidikan bagi mengisi masa lapang pelajar disamping menghiburkan mereka dengan aktiviti yang berfaedah. Relawati-relawati dari HALUANITA turut memberi bakti yang sangat besar, mendekati anak-anak, ibu-ibu dan warga emas.
Relawan-relawan HALUAN yang datang dan pergi silih berganti dari beberapa buah negeri terdiri dari kalangan profesional, kaunselor, pensyarah, guru dan pelajar-pelajar IPT telah bergerak ke pusat pertempatan banjir, khususnya di sekolah-sekolah terpilih bagi mengadakan aktiviti-aktiviti seperti kelas Al Quran, bimbingan kaunseling, tayangan video, kuiz, melukis dan sukaneka.

Menurut Tn Hj Ramli Ngah lagi, sambutan yang diberikan oleh mangsa banjir, terutamanya pelajar-pelajar sekolah, adalah amat memberangsangkan. Mereka amat berminat dan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam aktiviti yang dianjurkan. Mereka ingin menghilangkan rasa bosan kerana terpaksa tinggal di pusat pemindahan dalam tempoh masa yang lama hingga melewati seminggu. Pelajar-pelajar sekolah yang terlibat adalah berumur antara 7 hingga 17 tahun, merangkumi lelaki dan perempuan.

Antara sekolah-sekolah yang dijadikan pusat pertempatan mangsa banjir yang telah dikunjungi oleh HALUAN ialah Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah, Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah (SHAH,) SM Dato` Mahmud Mat, SK Sri Maulana, SK Sinar Mutiara, SK Permatang Kelebang, SK Kg Acheh, SK Kg. Ubai dan IKM Pekan.
Tn Hj Ramli turut menyatakan bahawa ada di kalangan pelajar-pelajar sekolah ini sangat rapat dan mesra dengan para relawan dari HALUAN sehingga ada yang sedih berpisah untuk pulang ke rumah masing-masing. Ini kerana HALUAN telah menempatkan relawan-relawannya untuk turut tinggal di Sekolah Agama Tg. Ampuan Fatimah (SMATAF) dan Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah (SHAH) bagi mengajar dan mendampingi anak-anak di sana. SHAH telah dijadikan bilik oprerasi Misi Bantuan Haluan sepanjang berkhidmat di Pekan ini.

HALUAN juga telah mendapat kerjasama yang sangat erat daripada Pejabat Pelajaran Daerah Pekan dan Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan (MGKK) Daerah Pekan dalam menganjurkan program-program mendidik dan bermesra di beberapa buah sekolah pada setiap malam. Sebanyak 5 buah sekolah telah terlibat. Majlis bermula dengan solah maghrib, solah hajat, ceramah motivasi yang disusuli dengan tayangan video dan diakhiri dengan bermesra dalam kumpulan. Pelajar-pelajar akan di kumpulkan mengikut kategori umur dan para relawan HALUAN serta kaunselor akan memberi bimbingan serta nasihat disamping menguji minda mengenai fardhu ain dan lain-lain. Bagi lebih menghiburkan mereka, hadiah berupa makanan ringan juga disediakan dan diberikan kepada pelajar-pelajar yang terlibat.
Menurut Tn Hj Ramli lagi, program sukaneka turut diadakan di waktu siang di beberapa sekolah-sekolah terpilih. Jelas tampak keseronokan di wajah mereka bila dapat bersukaneka dan bergaul mesra dengan rakan-rakan. Dengan cara ini masa lapang mereka boleh dimanfaatkan dengan perkara yang lebih berfaedah dan membina jiwa.
Sesuai dengan motto HALUAN “mendidik dan berbakti,” beliau berharap usaha yang dilakukan oleh pihak HALUAN ini sedikit sebanyak dapat memberi kegembiraan kepada anak-anak mangsa banjir ini di samping memberi pendidikan kepada mereka agar lebih bersyukur dengan ujian banjir dari Allah ini. Mereka diharapkan agar dapat belajar bersungguh-sungguh bagi memajukan diri dan keluarga sehingga berjaya dengan cemerlang di dunia dan di akhirat.
Aktiviti HALUAN ini tidak akan tamat di sini sahaja. HALUAN akan cuba berusaha menjejaki mereka dengan membuat lawatan ke perkampungan mereka selepas ini kelak, InsyaAllah. Sentuhan mesra HALUAN ini sememangnya akan sentiasa di kenang oleh mereka sehinggakan ada dari kalangan pelajar-pelajar ini yang melakarkan logo HALUAN dalam kertas lukisan bot mereka. Tahniah kepada relawan dan relawati HALUAN dari kalangan remaja Kelab Rakan HALUAN (KeARAH) - IPT yang telah menghiburkan mereka.
Tulisan oleh Sdr Abd. Bashir Abd. Ghani, SU HALUAN Pahang, yang mengetuai relawan-relawan HALUAN berkampung di Pekan.