HALUAN Sokong Halatuju Peranan Baru Universiti Awam Malaysia

HALUAN Sokong Halatuju Peranan Baru Universiti Awam Malaysia

HALUAN Sokong Halatuju Peranan Baru Universiti Awam Malaysia

KENYATAAN MEDIA
Untuk Siaran Segera

8 Jun, 2018

HALUAN Sokong Halatuju Peranan Baru Universiti Awam Malaysia

1. HALUAN menyokong gesaan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik supaya semua universiti awam di negara ini bersikap terbuka kepada masyarakat, termasuk memudahkan mereka memasuki institusi berkenaan untuk meraih ilmu, bertukar idea dan berdialog.

2. Gesaan itu memang kena pada masanya ketika Malaysia sedang menuju era baru serta sejajar dengan jaminan kerajaan bahawa ia akan memastikan kualiti pendidikan serta kebebasan akademik dan kebebasan bersuara dan berpersatuan, pemberian autonomi yang sewajarnya kepada semua institusi pengajian tinggi awam. Terangkum juga kebebasan pelajar untuk mentadbir kesatuan mereka sendiri seperti di negara maju, yang terkandung di dalam janji ke-50 Kerajaan Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu demi mengembalikan wibawa universiti awam dan pengajian tinggi.

3. Cadangan membenarkan semula mahasiswa menganjur sebarang bentuk program debat, forum atau wacana intelek seperti yang pernah berlaku di era 1980-an dan sebelumnya, akan memberi peluang kepada mereka memahami isu semasa, meluaskan pengetahuan serta berfikiran kritis. Peluang sebegini sangat penting dalam mempersiapkan generasi muda untuk menjadi pemimpin yang mempunyai idealisme serta berupaya menghadapi dan menangani cabaran masa depan dengan lebih matang serta berwibawa.

4. Begitu juga dengan perancangan untuk membuang pelbagai bentuk halangan fizikal yang merentangi pintu masuk ke universiti yang kelak akan menjadi simbol keterbukaan institusi berkenaan menerima kedatangan orang ramai, kesediaan berkongsi ilmu dengan masyarakat, serta bertukar idea dan berdialog dengan mereka. Langkah interactive consultative ini , dalam jangkamasa panjang, akan menyuburkan universiti awam sebagai pusat tumpuan kecemerlangan pendidikan serta sejajar dengan salah satu fungsi institusi pendidikan tinggi untuk memasyarakatkan ilmu serta penemuan yang didapati daripada penyelidikan yang dijalankan oleh pakar dan para ilmuwan di pusat pengajian berkenaan.

5. Sehubungan dengan halatuju baru itu, HALUAN mencadangkan supaya Kerajaan segera melaksanakan usaha untuk memansuhkan atau meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (1971) dan Akta-akta IPT yang berkaitan, dan menggantikannya dengan undang-undang komprehensif dan yang lebih baik, seperti dijanjikan dalam manifesto pilihan raya yang lalu, bagi mencapai matlamat berkenaan.

DR ABDULLAH SUDIN ABD RAHMAN
Presiden
Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN)

###